Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Garis masa pertikaian keluarga Lee jadi tumpuan umum

Nov 3, 2025 | 6:55 PM
Oxley Road, garis pertikaian
Rumah di 38 Oxley Road, milik Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew - Foto ST

Apabila wasiat Perdana Menteri Pengasas, mendiang Encik Lee Kuan Yew, dibaca pada 12 April 2015, kurang dari sebulan selepas kematiannya, tiga anaknya berselisih faham mengenai nasib rumahnya di 38 Oxley Road.

Pertikaian keluarga ini mula diketahui umum pada 14 Jun 2017, apabila Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling, mengecam abang sulung mereka, Perdana Menteri ketika itu, Encik Lee Hsien Loong, di media sosial.

Mereka menuduh beliau cuba menghalang perobohan rumah mendiang bapa mereka yang bertentangan dengan kehendaknya, lapor The Straits Times (ST).

Mereka percaya bapa mereka mahu rumah itu dirobohkan tanpa sebarang kompromi, tetapi Encik Lee Hsien Loong berpendapat bapanya bersedia mempertimbangkan alternatif jika pemerintah memutuskan sebaliknya.

Ini timbul kerana perbezaan tafsiran mereka mengenai klausa perobohan dalam wasiat bapa mereka.

Walaupun pertikaian peribadi semakin hangat, satu jawatankuasa menteri yang melapor kepada Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Encik Teo Chee Hean, ditubuhkan pada Jun 2016 untuk menyediakan pelan cadangan mengenai pelbagai pilihan bagi rumah tersebut.

Beliau berkata prosedur yang betul perlu diambil kira sebelum membuat keputusan mengenai 38 Oxley Road. 

Encik Lee Kuan Yew mengakui dalam satu surat bertarikh 27 Disember 2011 yang ditulis kepada Kabinet, bahawa semua ahli Kabinet secara sebulat suara merasakan bahawa 38 Oxley Road tidak patut dirobohkan.
Encik Lee Kuan Yew mengakui dalam satu surat bertarikh 27 Disember 2011 yang ditulis kepada Kabinet, bahawa semua ahli Kabinet secara sebulat suara merasakan bahawa 38 Oxley Road tidak patut dirobohkan. - Foto MCCY

Berikut adalah apa yang berlaku selepas pertikaian itu menjadi tumpuan:

19 Jun 2017: Encik Lee Hsien Loong mendedahkan pertikaian keluarga kepada umum, mengeluarkan kenyataan dan video permohonan maaf. 

3-4 Jul 2017: Encik Lee Hsien Loong menangkis dakwaan penyalahgunaan kuasa di Parlimen, menyatakan tiada bukti berkaitannya dan bahawa beliau serta pemerintah mengikuti prosedur betul.

Beliau mendedahkan, mendiang Encik Lee Kuan Yew meluluskan rancangan membangunkan semula rumah itu, menunjukkan beliau terbuka kepada pilihan lain selain merobohkannya selepas kematiannya.

6 Jul 2017: Selepas sesi Parlimen, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee mengeluarkan kenyataan bersama, menyatakan mereka akan berhenti mengkritik abang mereka, asalkan kehendak mereka dan bapa mereka mengenai rumah 38 Oxley Road tidak diserang atau disalah tafsir.

Encik Lee Kuan Yew dan isterinya, Cik Kwa Geok Choo, di rumah mereka di Oxley Road bersama tiga anak mereka, (dari kiri) anak lelakinya, Lee Hsien Loong dan Lee Hsien Yang, serta anak perempuan Lee Wei Ling.
Encik Lee Kuan Yew dan isterinya, Cik Kwa Geok Choo, di rumah mereka di Oxley Road bersama tiga anak mereka, (dari kiri) anak lelakinya, Lee Hsien Loong dan Lee Hsien Yang, serta anak perempuan Lee Wei Ling. - Foto LEE FAMILY

2 Apr 2018: Jawatankuasa menteri mengeluarkan laporan mereka menggariskan tiga pilihan bagi rumah tersebut: mengekalkannya sepenuhnya dengan mewartakannya sebagai monumen negara atau untuk pemuliharaan, mengekalkan hanya bilik makan ruang bawah tanah yang bersejarah, atau membenarkan ia dirobohkan sepenuhnya.

Laporan itu menyatakan keputusan mengenai pilihan mana yang akan dipilih akan diserahkan kepada pemerintah akan datang, kerana tiada keputusan yang diperlukan pada masa itu. Dr Lee berkata beliau berhasrat untuk terus tinggal di rumah tersebut.

Jawatankuasa itu menyatakan mereka menilai bahawa 38 Oxley Road mempunyai kepentingan seni bina, warisan dan sejarah dan diiringi dengan laporan 31 halaman oleh Lembaga Warisan Negara (NHB).

15 Okt 2024: Persoalan mengenai nasib rumah itu timbul semula selepas kematian Dr Lee pada 9 Oktober 2024. Beliau telah tinggal di rumah itu hingga akhir hayatnya.

Encik Lee Hsien Yang berkata beliau akan memohon untuk merobohkan rumah itu bagi membina kediaman kecil peribadi. 

Kementerian Pembangunan Negara (MND) menyatakan ia telah mengambil maklum pos Encik Lee Hsien Yang dan akan mempertimbangkan isu hartanah tersebut pada masa sesuai, mengikut kehendak mendiang Encik Lee Kuan Yew dan kepentingan awam.

Pertanyaan mengenai nasib rumah itu timbul semula selepas kematian Dr Lee pada 9 Oktober 2024. Beliau telah tinggal di rumah tersebut sehingga akhir hayatnya.
Pertanyaan mengenai nasib rumah itu timbul semula selepas kematian Dr Lee pada 9 Oktober 2024. Beliau telah tinggal di rumah tersebut sehingga akhir hayatnya. - Foto ST

21 Okt 2024: Encik Lee Hsien Yang membuat permohonan kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk merobohkan rumah tersebut.

24 Okt 2024: NHB mengumumkan ia akan menjalankan kajian mengenai 38 Oxley Road untuk menilai sama ada ia layak dipelihara sebagai monumen negara.

NHB berkata kajian oleh jawatankuasa penasihat Pemeliharaan Tapak dan Monumen akan menentukan sama ada tapak itu layak dipelihara berdasarkan kepentingan sejarah, warisan, dan seni rekaannya.

Bilik makan bawah tanah di 38 Oxley Road. Di sinilah anggota pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) membincangkan penubuhan parti baru.
Bilik makan bawah tanah di 38 Oxley Road. Di sinilah anggota pengasas Parti Tindakan Rakyat (PAP) membincangkan penubuhan parti baru. - Foto Fail

25 Okt 2024: Encik Lee Hsien Yang menyeru Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, untuk membuat keputusan mengenai nasib 38 Oxley Road.

3 Nov 2025: Pemerintah mengumumkan ia berniat untuk mewartakan tapak 38 Oxley Road sebagai monumen negara, selepas menilai ia mempunyai kepentingan sejarah dan kebangsaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg