Semasa pilihan raya Dewan Undangan Negeri 1955, yang pertama disertai oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang baru ditubuhkan, 38 Oxley Road, rumah keluarga setiausaha agung parti, Encik Lee Kuan Yew, menjadi ibu pejabat parti dan pejabat pilihan raya.
Sidang media diadakan di situ, sepanduk dan poster dibuat di anjungnya dan isteri anggota PAP menjahit reben bunga untuk suami mereka di rumah itu.
Pekerja pos Melayu yang terjejas dalam mogok Pos Singapura pada 1952 berterima kasih kepada Encik Lee atas bantuan guamannya yang lalu dan dikatakan telah memanfaatkan diri mereka sebagai penghantar utusan, berkumpul di hadapan beranda menunggu untuk dihantar mengikut keperluan.
Mereka mengedarkan risalah kempen di kawasan Tanjong Pagar.
Terdapat banyak bangunan zaman penjajahan yang mengingatkan kita kepada masa lalu sebagai sebahagian daripada empayar British, tetapi tidak banyak penanda fizikal yang menjadi saksi kepada laluan kita menuju kemerdekaan.
Bekas Dewan Bandaraya (City Hall) merupakan monumen penting dalam hal ini.
Pada 16 September 1963, Encik Lee membacakan Proklamasi Malaysia dari tangganya, mengumumkan berakhirnya pemerintahan penjajah dan pembentukan Persekutuan Malaysia, yang termasuk Singapura sebagai negara anggota.
Di anak-anak tangga itu jugalah Encik Lee mengangkat sumpah sebagai perdana menteri pertama Singapura, menandakan pencapaian Singapura dalam pemerintahan sendiri dalaman sepenuhnya.
Pada 3 Disember 1959, orang ramai berkumpul di luar Dewan Bandaraya untuk menyaksikan pelantikan Encik Yusof Ishak sebagai Yang di-Pertuan Negara pertama Singapura.
Acara itu juga menandakan penyampaian sulung lagu Majulah Singapura, lambang negara dan bendera negara.
Apabila memikirkan monumen negara di Singapura, 38 Oxley Road mungkin tidak terlintas di fikiran.
Banglo satu tingkat abad ke-19 yang rupanya tidak begitu menonjol itu adalah kediaman peribadi Encik Lee, perdana menteri pengasas Singapura, dari 1950-an hingga kematiannya pada 2015.
Ia bukan bangunan rasmi pemerintah mahupun mercu tanda utama.
Bagaimanapun, ia telah menjadi penting secara nasional, mencetuskan perdebatan sama ada untuk memelihara atau merobohkannya.
Dalam episod terbaru kisah yang sedang berlangsung, anak lelaki Encik Lee, Encik Lee Hsien Yang, pemilik hartanah itu kini, telah memohon kepada Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) untuk merobohkan rumah itu.
Lembaga Warisan Negara (NHB) menjawab dengan menyatakan bahawa ia akan menjalankan kajian tapak itu untuk menentukan sama ada hartanah itu mempunyai “peri penting sejarah, warisan dan seni bina negara yang layak untuk dipelihara”.
Ini adalah selaras dengan fungsi berkanunnya untuk menasihati pemerintah berkenaan perkara yang berkaitan dengan warisan negara Singapura, termasuk pemuliharaan tapak bersejarah.
Dalam catatan Facebook, Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia, Encik Edwin Tong, menyatakan keperluan untuk mendekati perkara itu “dengan fikiran terbuka” dan tidak menghalang atau menutup sebarang pilihan pada peringkat ini.
Walaupun kajian lanjut akan dijalankan untuk menilai sama ada hartanah itu layak dipelihara, adalah berguna untuk merenungkan peri penting 38 Oxley Road dalam ingatan kolektif Singapura dan kesedaran sejarah negara.
Tidak lama selepas Pendudukan Jepun pada awal 1946, Encik Lee Kuan Yew mula menyewa 38 Oxley Road.
Cik Lee (Cik Kwa Geok Choo) berpindah ke rumah itu selepas majlis perkahwinan mereka pada 1950.
Pasangan itu membeli rumah itu pada 1965.
Pada tahun 1950-an, kebanyakan kegiatan undang-undang dan politik Encik Lee berlaku di 38 Oxley Road.
Petikan daripada buku mengenai sejarah PAP, Men In White, menggambarkan pentingnya sejarah lokasi itu: “(Jika) dinding rumah bapa pengasas Republik Singapura ini boleh bercakap, mereka akan menceritakan bagaimana ahli kesatuan sekerja, wartawan, penjawat awam, karyawan dan cendekiawan tidak putus-putus memasuki pintu pagarnya pada tahun 1950-an meminta untuk berjumpa Harry, Kuan Yew atau Encik Lee.”
Dalam dekad itu, Encik Lee, sebagai seorang peguam muda, kerap bertemu pemimpin kesatuan sekerja di rumahnya.
Melalui kerja undang-undangnya dengan kesatuan sekerja, beliau membina hubungan yang erat dengan pemimpin kesatuan sekerja dan pekerja yang terlibat dalam perjuangan antipenjajah.
Beliau mewakili kepentingan mereka dalam pertikaian pekerja dan mogok terhadap perniagaan kolonial British dan mula melibatkan kesatuan sekerja sebagai sokongan akar umbi yang penting untuk rancangan politiknya dan akhirnya wawasan untuk Singapura yang merdeka.
Rumah itu menjadi tuan rumah banyak perbualan peribadi.
Encik John Eber, naib presiden Malayan Democratic Union, membincangkan politik perlembagaan Singapura dengan Encik Lee.
Pada 1954, Superintendan Richard Byne Corridon dari Cawangan Khas melawat untuk membincangkan kes tahanan Encik Abdul Samad Ismail.
Encik Lee mewakili Encik Samad, ketua penyunting Utusan Melayu, atas permintaan Encik Yusof Ishak. Encik Dennis Bloodworth, seorang wartawan British Observer yang menyokong perjuangan anti-penjajahan, juga ditemui di Oxley.
Encik Lee juga menghulurkan bantuannya kepada golongan pelajar.
Pada 1954, pelajar daripada Sekolah Menengah Cina (Chinese Middle School) meminta bantuan guamannya bagi mereka yang telah ditangkap kerana merusuh.
Rumah itu berfungsi sebagai tempat perbincangan mereka secara senyap-senyap.
Rumah itu menjadi tumpuan kegiatan politik, menarik nasionalis daripada semua fahaman politik untuk berdebat, membincangkan dan merancang peralihan dari akhir pemerintahan penjajah kepada kemerdekaan.
Perbincangan yang diadakan di tempat ini adalah asas dalam merangka strategi untuk mencapai pemerintahan sendiri dan, akhirnya, mencapai kemerdekaan daripada penjajah British.
Encik Lee menceritakan pertemuan pada petang Sabtu di ruang makan bawah tanah rumah itu untuk mempertimbangkan kemungkinan menubuhkan parti politik.
Mesyuarat-mesyuarat ini dihadiri oleh individu yang menjadi tokoh utama dalam politik era itu – Dr Goh Keng Swee, Dr Toh Chin Chye, Encik S. Rajaratnam dan Encik K.M. Byrne.
Encik Lee teringat bahawa “bilik itu berada di bahagian rumah yang panas dan tidak selesa, tetapi jika suasananya suram, kami tidak begitu”.
Perbincangan itu digerakkan oleh keghairahan melancarkan perjuangan perlembagaan untuk kemerdekaan Singapura.
Kumpulan itu akhirnya termasuk pemimpin sayap kiri, Encik Lim Chin Siong, Encik Fong Swee Suan, Encik Samad dan Encik Devan Nair.
Mesyuarat itu diadakan secara rahsia dan akhirnya membawa kepada pembentukan PAP pada 1954.
Pada 1959, Singapura mencapai pemerintahan sendiri dalaman sepenuhnya.
PAP, yang diketuai oleh Encik Lee, memperoleh kemenangan besar dalam pilihan raya umum itu.
Pada masa ini, 38 Oxley Road berfungsi sebagai tempat untuk mesyuarat dan sesi strategi, dengan para pemimpin dan penggiat parti mengadakan mesyuarat larut malam, membincangkan taktik dan memperhalusi rancangan mereka untuk menyediakan Singapura bagi pemerintahan sendiri.
Pada awal 1960-an, perbincangan untuk menggabungkan Singapura dengan Persekutuan Tanah Melayu berlaku, termasuk di 38 Oxley Road.
Penggabungan itu bertujuan menangani isu ekonomi dan keselamatan Singapura dan melibatkan rundingan penuh dengan pemimpin British dan Malaya.
Penggabungan itu juga mencetuskan perpecahan dalam PAP yang membawa kepada kemunculan saingan Barisan Sosialis yang dikuasai sayap kiri.
Perbincangan dan mesyuarat strategi diteruskan di tempat itu dan akhirnya membawa kepada Singapura menyertai Persekutuan Malaysia pada 1963.
Selepas pembentukan Malaysia pada 1963, ketegangan muncul dengan pantas antara Singapura dengan kerajaan pusat Malaysia di Kuala Lumpur.
Kesan politik daripada ketegangan ini akhirnya membawa kepada pemisahan Singapura daripada Malaysia pada 1965.
Dalam tempoh peralihan ini, 38 Oxley Road sekali lagi menjadi tumpuan untuk perbincangan penting dan sesi perancangan strategik dengan tokoh-tokoh penting, ketika Singapura bersedia untuk masa depan yang tidak boleh dijangka dan tidak menentu sebagai sebuah negara yang merdeka.
Para penjawat awam kanan waktu itu teringat pergi ke rumah itu, terutama semasa krisis, untuk memberi taklimat kepada perdana menteri.
Dari 1965, 38 Oxley Road dikenali sebagai kediaman peribadi Perdana Menteri Pengasas, Encik Lee dan keluarganya.
Tetapi peranannya sebagai lokasi yang senyap dan penting tempat keputusan besar mengenai nasib politik Singapura dibuat dalam dekad sebelumnya tidak boleh dilupakan.
Encik Lee menyebut 38 Oxley Road beberapa kali dalam memoirnya, dalam konteks peristiwa penting dalam kehidupan peribadi dan politiknya.
Keputusan-keputusan yang dibuat di 38 Oxley Road pada 1950-an dan 1960-an adalah penting dalam sejarah negara kita.
Lokasi dan sejarahnya tidak seharusnya dipadamkan sepenuhnya daripada kesedaran kebangsaan kita.
Adakah sepatutnya nasib hartanah itu hanya untuk dipelihara atau dirobohkan?
Mungkin masa dan muhasabah diperlukan untuk mencapai satu persetujuan dengan hasrat peribadi Encik Lee Kuan Yew dapat dihormati sambil mengekalkan peri penting sejarah 38 Oxley Road.
Rencana ini kali pertama diterbitkan di The Straits Times pada 2 November 2024. Profesor Tan Tai Yong ialah profesor sejarah dan ahli Lembaga Warisan Negara (NHB).
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg