Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Garis panduan guna nombor NRIC dikemas kini

Pemerintah berhasrat hentikan amalan sembunyikan nombor NRIC; mohon maaf kerana tidak selaras dengan lebih baik antara agensi pemerintah
Dec 14, 2024 | 6:13 PM
Menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 14 Disember, pemerintah akan memberhentikan amalan menyembunyikan nombor NRIC.
Menurut kenyataan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 14 Disember, pemerintah akan memberhentikan amalan menyembunyikan nombor NRIC. - Foto fail ST

Badan pemantau privasi data Singapura sedang mengemas kini garis panduan tentang cara nombor Kad Pengenalan (NRIC) boleh dikumpul, digunakan dan dikongsi.

Ini menyusuli kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Penerangan dan Pembangunan Digital (MDDI) pada 14 Disember bahawa pemerintah berhasrat memberhentikan amalan menyembunyikan nombor NRIC.

Semakan di laman web Suruhanjaya Perlindungan Data Peribadi (PDPC) menunjukkan bahawa garis panduan itu tidak lagi tersedia.

Satu notis di laman web itu menyatakan: “Dokumen tersebut tidak tersedia buat sementara waktu kerana ia sedang dikemas kini.”

Akhbar The Straits Times (ST) telah menghubungi Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) untuk maklumat lanjut.

PDPC ialah sebahagian daripada IMDA.

Dalam garis panduan 2018, PDPC menasihatkan orang ramai supaya tidak memberikan nombor NRIC penuh mereka kepada syarikat, melainkan ia diperlukan secara sah atau diperlukan untuk membuktikan identiti seseorang.

Kata PDPC, nombor NRIC “berpotensi boleh digunakan untuk mendedahkan banyak maklumat berkaitan dengan individu berkenaan”.

PDPC juga menasihatkan orang ramai untuk memberi data peribadi lain, seperti nombor telefon bimbit atau nombor NRIC separa (contohnya, dengan menjadikan S0123456A sebagai ****456A), untuk pengesahan.

Pada 9 Disember, Penguasa Pengawalan Korporat dan Perakaunan (Acra) melancarkan portal barunya, Bizfile, yang membolehkan orang ramai melihat nombor NRIC penuh orang lain menggunakan fungsi carian secara percuma, tanpa perlu melanggan masuk portal itu.

Fungsi tersebut diberhentikan buat sementara waktu pada 13 Disember selepas maklum balas orang ramai.

Namun, dalam kenyataan pada 14 Disember, MDDI berkata orang ramai boleh meneka dengan baik nombor NRIC penuh seseorang daripada nombor yang disembunyikan menggunakan algoritma asas, “terutama jika tahun kelahiran orang itu diketahui.”

Justeru, MDDI berkata “tidak perlu menyembunyikan nombor NRIC, dan tidak ada banyak nilai untuk berbuat demikian”.

Ia menambah bahawa pemerintah berhasrat mengubah amalan tersedia yang melibatkan langkah menyembunyikan nombor NRIC “hanya selepas menjelaskan isu itu”.

Menurut MDDI lagi, tindakan Acra terhadap portal Bizfile “mendahului hasrat pemerintah”.

Ia memohon maaf kerana tidak menyelaras dengan lebih baik antara agensi, dan menyebabkan keprihatinan orang ramai.

Sebagai sebuah agensi awam, Acra dikecualikan daripada peruntukan di bawah Akta Perlindungan Data Peribadi (PDPA) – set undang-undang yang mengawal pengumpulan, penggunaan dan pendedahan data peribadi oleh pertubuhan.

Profesor Madya Undang-undang Universiti Pengurusan Singapura (SMU), Encik Eugene Tan, berkata pendirian pemerintah pada 14 Disember ialah konsisten dengan PDPA, tetapi “bercanggah dengan pemahaman dan tahap keselesaan orang ramai” mengenai penggunaan nombor NRIC.

“Peralihan rasmi dalam amalan untuk mendedahkan nombor NRIC penuh tidak boleh abaikan realiti kehidupan.

“Rakyat Singapura telah menjadi sensitif terhadap nombor NRIC penuh mereka didedahkan kepada umum, dan telah menerima serta menghayati perkara ini,” kata Encik Tan.

Tambahnya, satu kempen pendidikan awam boleh menukar tanggapan orang ramai dan pertubuhan terhadap amalan tidak menyembunyikan nombor NRIC.

Beliau juga berkata bahawa agensi awam boleh meneruskan penggunaan nombor NRIC penuh hanya apabila amalan itu “diterima secara meluas.”

MDDI berkata ia akan menjalankan usaha pendidikan awam bersama PDPC pada 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg