Topik diikuti
Pergi ke BHkuGaya hidup santai, prospek niaga tarik warga S’pura pindah ke JB
Sanggup ulang-alik S’pura-JB, berpindah rentasi Tambak turut libatkan kos serta cabaran tersendiri
Gaya hidup santai, prospek niaga tarik warga S’pura pindah ke JB
Semasa kecil, Encik Noor Sobri Mohamed Noor tidak suka tinggal di Johor Bahru.
Setiap hari, beliau perlu bangun seawal 5 pagi untuk menempuh perjalanan dari rumahnya ke sekolah di Singapura.
Beliau dan anggota keluarganya warga Singapura, tetapi orang tuanya memilih untuk menetap di Johor Bahru.
Justeru, semasa beliau berusia 18 tahun dan layak dikerah menjalani Perkhidmatan Negara (NS), beliau ‘pulang’ ke Singapura.
Namun, hampir dua dekad kemudian, Encik Sobri, yang kini berusia 37 tahun memilih untuk berpindah ke Johor Bahru sekali lagi, membina keluarga di tempat yang suatu ketika dahulu tidak disukainya.
“Dulu saya tidak suka tinggal di Johor sebab perlu berulang-alik ke Singapura setiap hari.
“Tetapi apabila sudah dewasa, saya mula melihat Johor dengan lensa yang berbeza,” kata Encik Sobri, yang kini menetap di Iskandar Puteri bersama isteri dan lima anaknya, kesemuanya warga Singapura.
Encik Sobri, pengasas perniagaan gunting rambut Lufts Barber, berpindah ke Iskandar Puteri pada 2022.
Menurut beliau, keputusan itu didorong keinginan memberikan lima anaknya persekitaran pembelajaran yang lebih santai dan menyeluruh berbanding di Singapura, selain menikmati ruang kediaman yang lebih luas.
Menjelang pembukaan Laluan Sistem Transit Laju (RTS) Link Johor Bahru-Singapura pada Februari 2027, yang dijangka memudahkan perjalanan merentas sempadan, serta pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), minat warga Singapura untuk menjadikan Johor sebagai tempat tinggal atau mengembangkan perniagaan semakin mendapat perhatian, menurut beberapa pakar.
Selain kos sara hidup yang lebih rendah, persekitaran kehidupan harian yang lebih santai, serta peluang perniagaan yang lebih luas pula menjadi antara sebab utama mereka berbuat demikian, menurut beberapa warga Singapura yang dihubungi Berita Minggu (BM).
Pendidikan, kesejahteraan anak
Kelima-lima anak Encik Sobri, berusia antara lima dengan 13 tahun, kini bersekolah di sebuah sekolah antarabangsa – beliau enggan nama sekolah itu diterbitkan – di Tebrau.
Menurutnya, anak-anaknya sebelum ini bergelut dengan rentak kurikulum di Singapura, sehingga prestasi subjek Matematik anak sulungnya merosot.
Namun, selepas berpindah sekolah, beliau mendapati anaknya lebih menikmati pembelajaran dan berjaya mencatat keputusan cemerlang tanpa perlu menghadiri kelas tuisyen secara berterusan.
Pandangan itu selaras dengan pemikiran ejen hartanah Propnex, Cik Nur Syafiqah Abdul Rahman, yang berpindah ke Johor pada 2023 dan menghantar anak perempuannya, lapan tahun, ke sekolah antarabangsa Marlborough College Malaysia.
“Terdapat ibu bapa memilih sekolah antarabangsa di Johor kerana mahu anak-anak mereka berkembang secara holistik melalui kegiatan pendidikan mengunjungi kawasan semula jadi, drama, pengucapan awam dan sukan yang disepadukan terus dalam waktu persekolahan, tanpa tekanan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE),” jelasnya.
Pakar ekonomi Universiti Nasional Singapura (NUS), Dr Timothy Wong, berkata pendidikan antara pertimbangan terpenting bagi keluarga Singapura yang ingin berpindah ke Johor.
“Pendidikan kekal sebagai keutamaan keluarga Singapura.
“Walaupun terpaksa berdepan kesulitan perjalanan berulang-alik merentas sempadan, mereka tidak akan bertolak ansur dari segi mutu pendidikan anak-anak,” ujar Dr Wong.
Minat pindah meningkat
Minat warga Singapura untuk menetap di Johor turut dapat dilihat melalui peningkatan pertanyaan yang diterima Cik Syafiqah, yang juga pengasas bersama inisiatif MoveToMalaysia, sebuah platform perundingan bagi perkhidmatan penempatan semula warga Singapura ke Johor.
Beliau kini menerima sehingga 10 pertanyaan sebulan, berbanding dua hingga tiga pertanyaan dua tahun lalu.
Sesi webinar percuma anjuran pasukannya turut menarik lebih 100 peserta, manakala acara fizikal yang dijadualkan pada 31 Oktober telah menerima lebih 300 pendaftaran awal, dengan sasaran 500 hingga 700 pengunjung.
Bagaimanapun, Cik Syafiqah menegaskan bahawa peningkatan pertanyaan tidak semestinya bermakna lebih ramai akan segera berpindah.
Setakat ini, beliau telah membantu sekitar lima keluarga berpindah ke Johor, dengan proses terpantas mengambil masa enam bulan kerana perlu melibatkan perancangan kewangan, persekolahan anak serta urusan dokumen dan imigresen.
Justeru, beliau menasihatkan keluarga Singapura supaya menyewa kediaman terlebih dahulu bagi menilai kesesuaian kehidupan di Johor, termasuk keperluan berulang-alik merentas sempadan, sebelum membuat komitmen membeli hartanah.
Bagi pengasas Frenchella by BidadariKek, Cik Nur Syafawani Adnan, yang memindahkan operasi bakerinya ke Johor Bahru, pembukaan RTS Link kelak dijangka memudahkan perjalanan merentas sempadan, terutama pada hari apabila beliau perlu membawa sendiri bekalan produknya ke Singapura.
“Saya tidak mempunyai kereta sendiri, jadi kemudahan pengangkutan awam seperti RTS Link pasti akan memudahkan perjalanan saya antara Johor dengan Singapura,” katanya.
Perbelanjaan tinggi
Menurut Dr Wong, keluasan tanah di Johor membolehkan keluarga Singapura mendapatkan kediaman lebih besar pada harga yang secara relatifnya lebih rendah berbanding di Singapura.
Namun, Encik Sobri menepis anggapan perpindahan ke Johor semestinya membawa penjimatan.
Beliau mendedahkan bahawa perbelanjaan bulanan keluarganya kini sekitar 10 hingga 20 peratus lebih tinggi berbanding ketika menetap di Singapura, terutamanya disebabkan yuran sekolah antarabangsa yang boleh mencecah RM3,000 ($940) bagi setiap anak.
“Dari segi kewangan, perbelanjaan kami tinggi sedikit sebab yuran sekolah antarabangsa.
“Tapi dari segi nilai kehidupan, kami dapat duduk di rumah besar dalam kawasan berpagar dan berkawal, jauh berbeza berbanding di Singapura,” kongsinya.
Cik Syafiqah pula berkata peningkatan minat terhadap kediaman di Johor turut memberi kesan kepada pasaran sewa, termasuk di kawasan East Ledang dan Eco Botanic.
“Dulu semasa saya mula menyewa rumah sebandung, harganya sekitar RM5,800.
“Sekarang unit yang sama boleh mencecah RM 9,000 sebulan.
“Dari segi pasaran sewa sahaja, kita sudah nampak betapa tingginya permintaan,” ujarnya.
Peluang niaga untuk berkembang
Selain kediaman dan gaya hidup, Johor turut menawarkan peluang kepada syarikat kecil dan sederhana (SME) Singapura untuk mengembangkan perniagaan.
Menurut ejen hartanah komersial MovetoMalaysia, Encik Shamir Wahid, pelaburan gergasi syarikat korporat di Johor berpotensi mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan lebih kecil melalui kesan penumpuan atau agglomeration effect.
Fenomena itu berlaku apabila kehadiran syarikat besar menarik pembekal, pekerja dan keluarga mereka, sekali gus meningkatkan permintaan terhadap pelbagai barangan dan perkhidmatan.
“Pada pendapat saya, salah satu peluang terbesar ialah ekosistem yang sedang terbentuk.
“Apabila syarikat besar bertapak di sesebuah kawasan, perniagaan lain cenderung muncul di sekelilingnya,” jelas pengasas bersama itu.
Menurut beliau, peluang itu merangkumi pusat tuisyen, program pengayaan, kedai gunting rambut, restoran, kafe, pusat kecergasan dan perkhidmatan profesional yang memenuhi keperluan penduduk setempat.
Bagi Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Studio Five Group, Encik Rayden Yuzz, 40 tahun, Johor sudah lama menjadi sebahagian daripada strategi pengembangan syarikatnya.
Syarikat media kreatif itu membuka pejabat pertamanya di Johor Bahru pada 2016 untuk mendapatkan akses kepada bakat kreatif Malaysia, selain memanfaatkan kedekatan lokasi Singapura dan kos tenaga kerja.
“Bagi kami, beroperasi di Singapura dan Johor bukan sekadar soal menguruskan kos, tetapi memanfaatkan kelebihan terbaik kedua-dua tempat.
“Gabungan antara persekitaran perniagaan strategik Singapura dengan bakat kreatif Malaysia yang pelbagai memberikan kami kelebihan daya saing unik, sekali gus membolehkan kami menawarkan perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan,” terangnya.
Sementara itu, pengasas Football Code Academy (FCA), Encik Roslee Tay, 34 tahun, mula beroperasi di Johor pada Januari 2026 selepas mengenal pasti permintaan terhadap latihan bola sepak berstuktur untuk kanak-kanak di Iskandar Puteri.
Beliau berkata kedekatan Johor dengan Singapura membolehkan akademi itu menarik keluarga dari kedua-dua negara, selain memanfaatkan kemudahan latihan dan jadual yang lebih fleksibel.
Sejak dilancarkan, FCA telah berkhidmat kepada lebih 90 keluarga, dengan pemain daripada lebih 14 kewarganegaraan, termasuk Singapura.
“Bagi kami, Johor bukan sekadar alternatif yang lebih murah kepada Singapura.
“Kami melihatnya sebagai pasaran yang mempunyai potensi dan identitinya sendiri, tempat kami boleh membina FCA untuk jangka panjang,” katanya.
Bagi Encik Shamir, peluang perniagaan di Johor tidak semestinya memerlukan syarikat meninggalkan Singapura, sebaliknya kedua-dua lokasi boleh saling melengkapi.
“Saya melihatnya sebagai gabungan Singapura dan Johor.
“Singapura kekal sebagai lokasi yang kukuh untuk ibu pejabat, kewangan, modal, hubungan antarabangsa dan pelbagai fungsi bernilai tinggi.
“Johor pula menawarkan ruang, struktur kos berbeza, akses kepada tenaga kerja Malaysia dan pasaran yang semakin berkembang.
“Dengan lebih banyak pelaburan besar memasuki Johor, saya fikir peluang untuk SME akan menjadi semakin menarik.
“Syarikat besar mungkin menjadi gelombang pertama.
“Perniagaan yang menyediakan perkhidmatan kepada pekerja, keluarga, pembekal dan masyarakat mereka pula mungkin menjadi gelombang seterusnya,” kata Encik Shamir.