Selepas dua kali gagal mengusahakan kedai bakeri di tanah air, Cik Nur Syafawani Adnan, warga Singapura, akhirnya menemui peluang untuk mengembangkan semula perniagaannya di Johor Bahru, tempat beliau dibesarkan sejak berusia lapan tahun.

Bagi pengasas Frenchella by BidadariKek itu, kos operasi lebih rendah, jaringan rakan semasa zaman sekolah serta pembekal yang dikenalinya sejak kecil, menjadi tarikan utama untuk kembali ke seberang Tambak selepas mendirikan rumah tangga dan menetap di Singapura.

“Selepas dua kali gagal, kami sedar sistem sokongan utama kami, iaitu rakan-rakan rapat yang boleh membantu mengendalikan perniagaan, sebenarnya berada di Johor, bukan Singapura,” jelas Cik Syafawani, kepada Berita Minggu (BM).

Ibu tiga anak itu membuka kedai bakeri pertamanya di Jalan Sultan bersama seorang rakan kongsi pada 2021, tetapi ia ditutup pada Februari 2022 akibat perbezaan pendapat antara mereka.

Beliau kemudian membuka kedai kedua di West Coast Drive pada Ogos 2025, tetapi ia ditutup selepas berdepan kesukaran membangunkan sistem operasi dan pasukan yang kukuh, sebelum memindahkan operasi ke Taman Perling pada November 2025.

Beliau kemudian melancarkan semula perniagaannya, kali ini beroperasi sepenuhnya secara dalam talian menerusi TikTok Shop, dengan Tart Frenchella yang menggunakan mentega Perancis dan sapuan coklat Nutella sebagai produk utama, selain pelbagai biskut dan pencuci mulut lain.

Bagi membina pasukan yang boleh dipercayai, Cik Syafawani mendapatkan bantuan rakan-rakan lama, termasuk seorang sahabat sekolah menengah yang memperkenalkan sepupunya sebagai akauntan syarikat, manakala adik seorang lagi rakannya kini mengendalikan pemasaran TikTok sepenuh masa.

Menurut Cik Syafawani, yang mempunyai autisme, sokongan itu amat bermakna kerana beliau tidak banyak membina jaringan sosial ketika menetap di Singapura.

Di Johor Bahru, beliau membayar sewa RM2,500 ($784) sebulan bagi kemudahan pengeluaran untuk membakar tat, selain menikmati harga bahan mentah lebih rendah.

“Penjimatan itu membolehkan saya mengambil lebih ramai pekerja dan meningkatkan pengeluaran sehingga berjaya mencatatkan jualan $100,000 menerusi TikTok Shop Singapura sepanjang Ramadan 2026,” kongsinya.

Namun, beliau berkata kejayaan itu tidak datang tanpa pengorbanan.

“Sebelum ini, saya terpaksa berulang-alik antara Singapura dengan Johor Bahru setiap dua hari, sambil membawa beg berat menaiki bas.

“Selain itu, saya harus membelanjakan hampir $2,000 untuk penginapan hotel selama sekitar lima minggu,” jelasnya.

Keadaan itu akhirnya mendorong Cik Syafawani menyewa apartmen studio seluas 55 meter persegi di Forest City pada 1 Januari lalu dengan sewa sekitar $500 sebulan.

Menurutnya, kediaman itu memberinya ruang untuk berehat dan memulihkan tenaga, serta memudahkannya membahagikan masa antara perniagaan di Johor Bahru dengan keluarganya di Singapura.

Bagaimanapun, operasi merentas sempadan masih mempunyai cabaran, kata beliau, terutamanya kos pengangkutan dan permit bagi menghantar tat yang dihasilkan segar setiap hari kepada pelanggan di Singapura.

“Setiap pagi, tat yang baru dihasilkan di Taman Perling dibawa masuk ke Singapura melalui khidmat pengangkutan berpermit.

“Tat itu kemudian dihantar ke gudang (di Singapura) untuk dibungkus dan diagihkan kepada pelanggan menerusi khidmat kurier.

“Ada kalanya, saya sendiri perlu menguruskan permit dan membawa bekalan merentas sempadan untuk memastikan pesanan pelanggan dipenuhi,” terangnya.

Bagi Cik Syafawani, penjimatan kos dan sokongan pasukan yang dipercayainya menjadikan cabaran itu berbaloi, malah mendorongnya berkongsi pengetahuan dengan usahawan Singapura lain.

Beliau kini menawarkan khidmat rundingan perniagaan selepas menerima banyak pertanyaan daripada pemilik perniagaan Singapura mengenai kos operasi, prosedur permit dan langkah yang perlu diambil sebelum memulakan perniagaan di Johor.

Namun, beliau menekankan kos lebih rendah sahaja tidak menjamin kejayaan, terutama bagi usahawan yang kurang mengenali persekitaran dan jaringan perniagaan setempat.

“Urusan perniagaan saya berjalan lancar kerana saya membesar di sini dan mempunyai rangkaian sokongan yang boleh dipercayai.

“Namun bagi mereka yang tidak mengenali selok-belok perniagaan di Johor, usaha yang jauh lebih besar diperlukan untuk memahami persekitaran setempat untuk mendapatkan bimbingan yang sesuai,” katanya.