Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE2025: NSP rancang jumpa SDP, elak pertarungan tiga penjuru di GRC Sembawang

Apr 7, 2025 | 5:23 PM
Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Paul Tambyah (kiri), dan Setiausaha Agung Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Spencer Ng (kanan), dilihat bersama anggota parti dan sukarelawan mereka di Kampung Admiralty pada 6 April.
Pengerusi Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Paul Tambyah (kiri), dan Setiausaha Agung Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Spencer Ng (kanan), dilihat bersama anggota parti dan sukarelawan mereka di Kampung Admiralty pada 6 April. - Foto ST

Parti Pembangkang, Parti Perpaduan Nasional (NSP), ingin bertemu dengan Parti Demokratik Singapura (SDP), bagi perbincangan untuk mengelakkan pertarungan tiga penjuru di GRC Sembawang, kata setiausaha agung NSP, Encik Spencer Ng, pada 6 April.

Pasukan Parti Tindaan Rakyat (PAP) yang mewakili GRC Sembawang pula terdiri daripada Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, Dr Lim Wee Kiak, Encik Vikram Nair, Cik Mariam Jaafar dan Cik Poh Li San.

Berucap semasa acara perjumpaan penduduk di Kampung Admiralty, Encik Ng, 45 tahun, berkata beliau akan mengetuai pasukan NSP untuk GRC Sembawang.

Encik Ng turut memperkenalkan wajah baru, jurulatih renang dan pemandu sewa persendirian, Encik Raiyian Chia, 46 tahun, kepada media, sambil berkata inilah antara senarai calon NSP untuk Sembawang, lapor The Straits Times (ST).

Ditanya mengenai senarai calon NSP yang lain untuk GRC Sembawang, Encik Ng berkata parti itu akan mengumumkan calon-calon tersebut pada masa yang sesuai.

Encik Chia menyertai parti ini dua hingga tiga tahun yang lalu, dan telah berinteraksi dengan penduduk Sembawang sejak 2022, menurut laman media sosial NSP.

Wajah baru NSP di GRC Sembawang, Encik Raiyian Chia (kanan), merupakan jurulatih renang dan pemandu sewa persendirian. Beliau bergambar bersama Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng.
Wajah baru NSP di GRC Sembawang, Encik Raiyian Chia (kanan), merupakan jurulatih renang dan pemandu sewa persendirian. Beliau bergambar bersama Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng. - Foto ST

Wajah baru lain yang berpotensi, Cik Verina Ong, juga dilihat di Sembawang, walaupun beliau tidak hadir pada acara 6 April.

“NSP memberi peluang kepada orang seperti kami, rakyat Singapura biasa, untuk tampil berkhidmat. Kebimbangan penduduk berkisar mengenai kos sara hidup, kemampanan dan jaminan pekerjaan,” kata Encik Chia.

Semasa sesi 6 April itu, anggota-anggota NSP bertemu dengan anggota-anggota SDP di ruang atrium Kampung Admiralty. Kedua-dua pihak saling bersalaman dan kelihatan mesra.

Kededua parti sebelum ini telah menyatakan niat mereka untuk bertanding di GRC Sembawang dan SMC Sembawang West yang baru diwujudkan. Sembawang West adalah salah satu daripada enam kerusi tunggal baru untuk Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

NSP merancang bertemu SDP pada 9 atau 10 April untuk mengetahui niat SDP, kata Encik Ng.

“Kami menghormati pilihan SDP, tetapi NSP fokus pada kerja masyarakat dan membina kepercayaan dengan penduduk,” kata Encik Ng, sambil menambah NSP aktif di Sembawang sejak 2011.

“Kami ingin memahami mengapa SDP mahu bertanding di SMC baru, sedangkan mereka ada banyak GRC lain,” tambahnya.

“Kami akan berbincang untuk pemahaman lebih mendalam dan ingin mengelakkan pertarungan tiga penjuru.”

Encik Ng merujuk kepada pengumuman Ketua SDP, Dr Chee Soon Juan, pada Mac yang menyatakan beliau akan bertanding di SMC Sembawang West, selepas SMC Bukit Batok menjadi sebahagian GRC Jurong East-Bukit Batok.

Pada Pilihan Raya Umum 2020, PAP memenangi kerusi di GRC Sembawang, dengan 67.29 peratus undi, mengalahkan NSP yang memperolehi 32.71 peratus.

Pada masa itu, NSP menampilkan Encik Ng,  penolong bendahari, Encik Ivan Yeo, ahli majlis eksekutif, Encik Sebastian Teo, Encik Yadzeth Hairis, dan Encik Sathin Ravindran.

SDP kali terakhir bertanding di GRC tersebut pada 2011.

Encik Ng berkata di peringkat nasional, NSP akan menampilkan sekurang-kurangnya tiga calon baru pada GE2025, dengan 30 hingga 35 ahli bersedia untuk bertanding. Beliau menambah calon-calon lain akan diumumkan kemudian.

Selain Sembawang, kawasan keutamaan lain untuk parti itu adalah GRC Tampines dan SMC Tampines Changkat yang baru dibentuk.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg