Parti Demokratik Singapura (SDP) telah memperkenalkan barisan calonnya yang akan bertanding di Pilihan Raya Umum (GE) 2025 di GRC Sembawang.
Mereka ialah Naib Pengerusi parti, Encik Bryan Lim; Timbalan Ketua Dasar parti, Encik James Gomez; Bendahari parti, Cik Surayah Akbar; serta dua anggota, Encik Alfred Tan dan Encik Damanhuri Abas.
Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi SDP, Profesor Paul Tambyah, semasa sesi bertemu media di Kampung Admiralty pada 6 April.
Berucap kepada media, Profesor Tambyah berkata:
“Ini adalah pasukan GRC Sembawang... Saya rasa kami agak yakin kerana kami mempunyai pasukan yang berpengalaman dengan veteran politik.
“Kami bukan membawa masuk beberapa CEO yang tiba pada saat akhir, tetapi kami mempunyai individu yang telah berkhidmat di lapangan di Sembawang, di (GRC Marsiling-Yew Tee) dan di Sembawang West, jadi tanpa mengira bagaimana Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) membahagikan kawasan pilihan raya, kami percaya bahawa kami mempunyai pasukan yang dapat memberi khidmat dengan baik kepada penduduk.”
Kini, GRC Sembawang diterajui pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang diketuai oleh Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Ia turut dianggotai Dr Lim Wee Kiak, Cik Mariam Jaafar, Cik Poh Li San dan Encik Vikram Nair.
Pasukan tersebut mengalahkan pasukan Parti Perpaduan Nasional (NSP) dengan 67.29 peratus undi pada GE2020.
Pengumuman calon itu menguatkan lagi strategi utara SDP, iaitu memberi tumpuan kepada kawasan-kawasan di bahagian utara Singapura seperti yang pernah dikongsi ketua SDP, Dr Chee Soon Juan pada Mac lalu.
Sebelum ini, Dr Chee telah mengumumkan beliau akan bertanding di SMC Sembawang West yang baru ditubuhkan, dan Profesor Tambyah akan bertanding sekali lagi di SMC Bukit Panjang.
Parti itu juga berhasrat untuk bertanding di GRC Marsiling-Yew Tee, kawasan yang kini diterajui oleh Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Pasukan SDP untuk GRC Sembawang terdiri daripada mereka yang pernah bertanding di GE sebelum ini serta muka baru.
Apabila ditanya Berita Harian (BH) mengapa SDP mengetengahkan dua calon Melayu, Profesor Tambyah menjawab:
“Kita memilih individu bukan berdasarkan kaum mereka. Tetapi Sembawang mempunyai sekitar 65 peratus penduduk Cina.
“Maka, pasukan kami mencerminkan komposisi penduduk di kawasan itu.”
Encik Damanhuri, yang pernah bertanding dalam GE2015 dan 2020 sebagai sebahagian daripada pasukan SDP di GRC Marsiling-Yew Tee berkata jika dipilih, beliau ingin menyumbang seperti yang pernah dilakukan Anggota Parlimen (AP) GRC Aljunied, Encik Faisal Manap, yang telah berjaya membawa perubahan.
Antara isu yang ingin ditumpukannya ialah kadar perceraian dan penyalahgunaan dadah.
“Jika kita beri mereka harapan, bercakap dengan mereka dan berikan kesedaran, mereka boleh berubah, dan saya pernah lakukannya.
“Kita perlu beri mereka jaminan walau seteruk mana pun mereka, mereka boleh berubah dan ini perlu mula dari masyarakat Melayu sendiri kerana ia lebih berkesan,” ujar kaunselor itu.
Tambah Encik Damanhuri yang pernah menjadi Pengarah di Kolej Islam Muhammadiyah, untuk melakukan perubahan tersebut, penting untuk mempunyai suara alternatif dari masyarakat Melayu.
Cik Surayah pula yang sudah mengganggotai SDP selama 19 tahun, merupakan ketua pengumpulan dana untuk parti tersebut. Ibu tiga anak itu turut mempunyai perniagaan penerbitan muziknya sendiri.
Menurutnya, beliau sudah membuat lawatan rumah ke rumah di GRC Sembawang sejak 2022 dan beliau harap dapat mengeratkan lagi hubungan dengan penduduk.
Mengenai tumpuannya bagi masyarakat Melayu, Cik Surayah berkata:
“Buat masa ini, penjagaan kesihatan, kos sara hidup, serta perumahan merupakan isu buat mereka. Jadi, ketiga-tiga perkara ini akan kami suarakan.”
Dalam pada itu, sesi bertemu media itu turut menyaksikan SDP mengedarkan risalah dan beramah tamah dengan penduduk di sekitar Kampung Admiralty, di mana mereka turut bertembung dengan pasukan NSP.
Ahli-ahli kedua-dua parti itu saling bertegur sapa dan kelihatan mesra.
NSP sebelum ini telah menyatakan hasratnya untuk turut bertanding di GRC Sembawang.
Dalam satu laporan The Straits Times (ST) pada 6 April, NSP melahirkan hasrat bertemu dengan SDP bagi mengelakkan pertembungan tiga penjuru di GRC Sembawang, kata Setiausaha Agung NSP, Encik Spencer Ng.
Encik Ng turut memperkenalkan seorang calon baru, jurulatih renang dan pemandu kereta sewa peribadi, Encik Raiyian Chia, 46 tahun.
Kedua-dua SDP dan NSP sebelum ini telah menyatakan hasrat mereka untuk bertanding di GRC Sembawang dan SMC Sembawang West yang baru dibentuk.
Sembawang West merupakan salah satu daripada enam SMC baru dalam GE 2025.
GRC Sembawang adalah medan pertempuran yang biasa bagi SDP, yang telah bertanding di kawasan tersebut pada GE 2006 dan 2011.
Namun, mereka kalah kepada PAP di kedua-duanya, memperoleh 23.3 peratus undi pada 2006 dan 36.1 peratus pada 2011.
NSP bertanding di GRC itu pada 2015 dan 2020 dan juga kalah kepada PAP.
Pada GE 2025, GRC Sembawang akan menyaksikan 133,919 pengundi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg