Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GE2025: Parti Kuasa Rakyat perkenal dua wajah baru di Tampines

Apr 12, 2025 | 6:35 PM
Anggota Parti Kuasa Rakyat (dari kiri) Encik Martinn Ho, Encik Peter Soh, Cik Arbaah Haroun dan Encik Derrick Sim, selepas sesi berinteraksi dengan penduduk di Pasar Bulat dan Pusat Makanan Tampines pada 12 April.
Anggota Parti Kuasa Rakyat (dari kiri) Encik Martinn Ho, Encik Peter Soh, Cik Arbaah Haroun dan Encik Derrick Sim, selepas sesi berinteraksi dengan penduduk di Pasar Bulat dan Pusat Makanan Tampines pada 12 April. - Foto ST

Parti Kuasa Rakyat (PPP) memperkenalkan dua wajah baru pada 12 April, menjelang Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).

Seorang daripada mereka merupakan bekas penjawat awam sementara seorang lagi pula pengasas firma teknologi hijau.

Kedua-dua calon – Encik Martinn Ho, 64 tahun; dan Encik Peter Soh, 65 tahun – diperkenalkan selepas sesi berinteraksi dengan penduduk di Pasar Bulat dan Pusat Makanan Tampines.

Menurut akaun LinkedIn, Encik Ho, pernah bertugas di Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sebagai timbalan jurutera utama, lapor The Straits Times (ST).

Setiausaha Agung PPP, Encik Goh Meng Seng, berkata parti itu mempunyai “calon-calon yang baik” walaupun parti itu kecil.

Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, bersama pasukannya sedang berinteraksi dengan penduduk di Pasar Bulat dan Pusat Makanan Tampines pada 12 April.
Setiausaha Agung Parti Kuasa Rakyat (PPP), Encik Goh Meng Seng, bersama pasukannya sedang berinteraksi dengan penduduk di Pasar Bulat dan Pusat Makanan Tampines pada 12 April. - Foto ST

Menjawab kritikan di media sosial yang menyifatkan barisan calon parti tersebut sebagai dalam kalangan pekerja kolar biru dan kurang fasih berucap, Encik Goh, berkata:

“Mereka adalah orang Singapura biasa yang luar biasa. Mereka berani untuk tampil dan berkhidmat.”

Menurut laporan ST pada Mac, pasukan PPP di GRC Tampines akan diketuai oleh Encik Goh.

Calon lain yang dijangka bertanding di kawasan itu termasuk pengerusi parti PPP, Encik Derrick Sim, 44 tahun, seorang perancang kewangan; eksekutif landskap, Encik Vere Nathan, 26 tahun; dan usahawan, Cik Arbaah Haroun, 50 tahun. 

Namun, Encik Goh menambah bahawa pencalonan mungkin berubah menjelang GE.

Semasa sesi interaksi dengan penduduk di pasar yang terletak dalam Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Tampines Changkat yang baru dibentuk, 10 anggota parti dan relawan kelihatan mengedarkan risalah dan berbual dengan penduduk.

Risalah itu mengandungi ringkasan manifesto parti itu yang dilancarkan pada 4 April di laman web PPP.

Ia merupakan manifesto pertama yang dikeluarkan parti politik menjelang GE2025.

Dasar utama yang diusulkan termasuk bayaran bulanan $300 untuk setiap anak daripada keluarga dengan pendapatan isi rumah bawah 70 persentil daripada kalangan penduduk, sehingga anak tersebut tamat sekolah menengah.

PPP turut mencadangkan sumbangan yang dberikan pekerja kepada Tabung Simpanan Pekerja (CPF) dikurangkan kepada 5 peratus, berbanding 20 peratus kini.

Ia bagi meningkatkan pendapatan yang boleh digunakan pekerja. Ia usulan di samping pengecualian Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi barang keperluan asas dan perkhidmatan penjagaan kesihatan.

Setakat ini, PPP dijangka bertanding di GRC Tampines dan GRC Ang Mo Kio, meskipun terdapat kemungkinan pertembungan beberapa penjuru di kededua GRC itu.

Parti Pekerja (WP) dan Parti Perpaduan Nasional (NSP) turut dijangka bertanding di GRC Tampines.

Sementara itu, GRC Ang Mo Kio, yang diketuai oleh Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, turut dijangka menyaksikan Parti Bersatu Singapura (SUP) bertanding di sana.

Setiausaha Agung SUP, Encik Andy Zhu, berkata pada 10 April bahawa partinya bertekad bertanding di GRC tersebut, meskipun terdapat “parti ketiga”.

Walaupun perbincangan telah diadakan antara SUP dengan PPP, kededua pihak gagal mencapai persetujuan mengenai parti manakah yang perlu menarik diri.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg