Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pasukan PAP di Tampines sedia hadapi sebarang kemungkinan

Mar 15, 2025 | 8:04 PM
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, (dari kiri) penasihat kedua badan akar umbi GRC Tampines, Dr Charlene Chen yang juga wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Tampines; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, Encik Desmond Choo; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran) Dr Koh Poh Koon dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng semasa melancarkan inisiatif SG60 Care untuk penduduk Tampines pada 15 Mac.
Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad (tengah) dan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, (dari kiri) penasihat kedua badan akar umbi GRC Tampines, Dr Charlene Chen yang juga wajah baru Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Tampines; Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North East, Encik Desmond Choo; Menteri Negara Kanan (Tenaga Manusia merangkap Kemampanan dan Sekitaran) Dr Koh Poh Koon dan Setiausaha Parlimen Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pengangkutan), Encik Baey Yam Keng semasa melancarkan inisiatif SG60 Care untuk penduduk Tampines pada 15 Mac. - Foto ST

Keadaan di mana seorang anggota pasukan di sesebuah kawasan undi digantikan pada saat-saat terakhir boleh berlaku dan mereka perlu sentiasa bersedia, kata Menteri Pembangunan Sosial dan Keluarga, Encik Masagos Zulkifli Masagos Mohamad. 

Pada masa yang sama mereka juga sentiasa bersedia menerima anggota baru untuk berkhidmat bersama, kata beliau lagi.

“Di Tampines, kami mengalami beberapa kejadian di mana kami terpaksa mengadakan perubahan pada saat-saat akhir... dan kami sentiasa bersedia mengalu-alukan kehadiran ahli baru yang bersedia untuk bertanding dan kami berharap mereka kekal, seperti Dr (Charlene) Chen,” kata Encik Masagos.

“Kami perlu bersedia menghadapi kemungkinan perpindahan, termasuk diri saya sendiri.

“Kami harus bersedia ditempatkan di lokasi yang diperlukan serta memastikan setiap individu yang ditempatkan berasa dialu-alukan dan menjadi sebahagian daripada pasukan,” ujar beliau lagi.

Pada 2020, Timbalan Perdana Menteri, Encik Heng Swee Keat telah berpindah dari GRC Tampines untuk bertanding di GRC East Coast pada Hari Penamaan Calon.

Encik Masagos, yang telah berkhidmat di Tampines sejak 2006, mengambil alih peranannya sebagai ketua pasukan PAP.

Encik Masagos berkata demikian semasa menjawab pertanyaan wartawan mengenai susunan pasukan GRC Tampines di satu acara masyarakat di Our Tampines Hub pada 15 Mac.

Mengiringi beliau di acara itu ialah Dr Charlene Chen, penasihat kedua badan akar umbi di GRC Tampines, yang telah diperkenalkan kepada penduduk di sana pada 2024. Ini selepas mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Tampines, Cik Cheng Li Hui meletak jawatan susulan pendedahan hubungannya dengan mantan Speaker Parlimen, Encik Tan Chuan-Jin.

Dua lagi wajah baru PAP turut hadir, termasuk Encik David Hoe, mantan arkitek perniagaan utama YTL PowerSeraya yang kini ketua filantropi di The Majurity Trust, sebuah badan amal berdaftar dan Encik Gabriel Lam, ketua pegawai operasi Shalom Movers.

Encik Hoe sebelum ini dilihat di GRC Jalan Besar bersama Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) Central, Cik Denise Phua pada Jun 2024.

Pada Februari, beliau bergambar bersama Encik Masagos pada pembukaan pusat Rangkaian Penduduk Tampines GreenVerge.

Inisiatif SG60 Care yang dilancarkan untuk penduduk Tampines pada 15 Mac bertujuan meringankan beban kos sara hidup mereka kata Pejabat Kawasan Pilihan Raya Tampines Barat.

Di bawah inisiatif itu, penduduk Tampines yang mempunyai kad CHAS berwarna biru dan jingga berpeluang membeli baucar OTH bernilai $60 pada kadar subsidi $50.

Baucar tersebut boleh digunakan sehingga akhir 2025 untuk membeli barangan runcit, produk penjagaan kesihatan, makanan dan minuman, serta di pusat pengayaan pelajar.

Penduduk boleh membeli baucar tersebut di lima Kelab Masyarakat (CC) Tampines — Tampines Central, Tampines Changkat, Tampines East dan Tampines – dari 24 Mac hingga 30 Jun 2025.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg