Meningkatkan keupayaan anak muda Melayu/Islam dalam penggunaan bahasa ibunda adalah antara tumpuan Setiausaha Agung Perikatan Demokratik Singapura (SDA), Encik Abu Mohamed, 74 tahun, dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025).
Apabila ditemui Berita Harian (BH) semasa satu lawatan ke Pulau Ubin pada 20 April, Encik Abu berkata:
“Dalam era moden ini, ramai golongan muda dalam masyarakat kita tidak mempunyai keupayaan bertutur dalam bahasa Melayu.
“Jangan cakap tentang bertutur secara pidato atau formal, bertutur dalam konteks perbualan pun sudah susah… tidak perlu tengok jauh, cucu-cucu saya pun mempunyai masalah ini.”
Encik Abu, yang juga presiden Pertubuhan Kebangsaan Melayu Singapura (PKMS) – salah satu parti dalam SDA – berkemungkinan besar salah seorang calon SDA yang bakal bertanding di GRC Pasir Ris-Changi yang baru dalam GE2025.
Selain itu, beliau ingin mengetengahkan isu seperti kos sara hidup.
“Isu bukan hanya terdapat di GRC Pasir Ris-Changi, ia terdapat di serata Singapura. Kami akan tumpukan kepada akar isu, antaranya faktor yang menyebabkan isu kos sara hidup.
“Apabila kita ada rumusan-rumusan yang bernas, kami mengharapkan pengundi akan membawa kami ke Parlimen,” jelasnya.
Semasa lawatan ke Pulau Ubin itu, Encik Abu disertai pengerusi SDA, Encik Desmond Lim, 57 tahun, dan muka baru parti itu, Encik Muhammad Faizal Mohmad, 42 tahun, yang merupakan anggota PKMS sejak 2016.
Pulau Ubin, yang sebelum ini di bawah GRC East Coast, akan disertakan dalam GRC Pasir Ris-Changi baru dalam GE2025, menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada Mac.
Difahamkan bahawa terdapat kira-kira 30 pengundi di Pulau Ubin.
Ini kali kedua anggota SDA melawat Pulau Ubin sempena GE2025.
Pada 18 April, satu pasukan perubatan yang merupakan sebahagian daripada SDA melawat pulau itu untuk menawarkan rawatan perubatan percuma kepada penduduk.
Anggota pasukan SDA lain yang bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol pada GE2020 – Encik Harminder Pal Singh, Encik Kuswadi Atnawi dan Encik Kelvin Ong – tidak hadir semasa lawatan ke Pulau Ubin pada 20 April.
SDA telah turun padang dan melawat kawasan Loyang pada 23 Mac dan kawasan Lengkok Mariam pada 13 April, kedua-duanya terletak di bawah GRC Pasir Ris-Changi.
Ini sekali gus mengukuhkan jangkaan yang mereka akan bersaing dalam GE2025 di GRC baru itu.
Namun, apabila ditanya tentang calon yang bakal bertanding, Encik Lim berkata butiran itu bakal dikongsi pada Hari Penamaan Calon iaitu 23 April.
“Pada Selasa depan (22 April), kami akan mengeluarkan manifesto kami,” dedahnya.
GE2025 juga akan menyaksikan pembentukan GRC Punggol baru di bahagian timur laut Singapura.
Pada 13 April, Encik Lim berkata bahawa Encik Abu sedang berhubung dengan Parti Pekerja (WP) mengenai sempadan baru itu.
Mengulas tentang kemungkinan terlibatnya SDA dalam persaingan tiga penjuru di sana, Encik Lim berkata:
“Kami pernah mengalaminya pada GE2020… kami bukan parti yang dengan sengaja mahukan persaingan tiga penjuru, kami bukan parti yang memulakan persaingan itu.
“Tetapi kami sentiasa komited kepada penduduk kami dan selepas setiap pilihan raya umum, kami sentiasa hadir di kawasan yang kami tandingi, iaitu GRC Pasir Ris-Punggol, dan kini GRC Pasir Ris-Changi.”
Pada 13 April, Encik Lim turut berkongsi bahawa satu lagi parti telah menyertai SDA tetapi beliau hanya akan mendedahkan sebarang butiran pada atau selepas Hari Penamaan Calon.
Ditubuhkan pada 2001, SDA kini terdiri daripada Parti Keadilan Singapura (SJP), yang dipengerusikan oleh Encik Lim, serta PKMS.
Kedua-dua GRC Pasir Ris-Changi dan GRC Punggol akan menggantikan GRC Pasir Ris-Punggol.
GRC Pasir Ris-Changi akan menyerap estet-estet di Pasir Ris dan beberapa bahagian paling timur GRC East Coast seperti estet perumahan Loyang dan Flora.
Ia akan terdiri daripada 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari GRC East Coast.
Dalam GE2020, SDA bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol dalam pertembungan tiga penjuru, menentang Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Suara Rakyat (PV).
Pasukan SDA, yang terdiri daripada Encik Lim, Encik Abu, Encik Harminder, Encik Kuswadi dan Encik Kelvin, menduduki tempat kedua dengan 23.67 peratus undi.
Mereka ditewaskan pasukan PAP – terdiri daripada Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean; Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary; Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Encik Sharael Taha, dan Cik Yeo Wan Ling – yang memperoleh 64.16 peratus undi.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg