Penduduk Melayu/Islam di Pulau Ubin akan terus diberi perhatian, serta keperluan mereka dijaga oleh pasukan baru GRC Pasir Ris-Changi, kata Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Sharael Taha.
Ini selepas Pulau Ubin, yang sebelum ini di bawah GRC East Coast, akan dimasukkan ke dalam GRC Pasir Ris-Changi yang baru dalam Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), menurut laporan Jawatankuasa Semakan Sempadan Pilihan Raya (EBRC) pada Mac.
Ini juga bermakna pulau itu tidak lagi di bawah jagaan AP GRC East Coast, Menteri di Pejabat Perdana Menteri yang juga Menteri Kedua (Pendidikan merangkap Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, yang memantau Siglap. Beliau tidak kelihatan bersama pasukan PAP dalam lawatan itu.
Encik Sharael berkata demikian selepas melawat Pulau Ubin bersama pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dari GRC Pasir Ris-Punggol yang diketuai Menteri Kanan, Encik Teo Chee Hean.
Menjelaskan tentang keprihatinan penduduk Melayu/Islam di pulau itu, beliau berkata:
“Pada hari ini, kami menziarahi penduduk Pulau Ubin untuk mengenal mereka dengan lebih baik lagi.
“Kami juga meyakinkan mereka bahawa kami akan teruskan kerja yang telah dilakukan Dr Maliki Osman dan pasukannya, serta memberi mereka jaminan bahawa kami akan terus berkhidmat untuk mereka,” ujar Encik Sharael yang bertemu satu daripada lima keluarga Melayu di sana.
Turut menyertai lawatan itu ialah Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan; Menteri Negara Kanan (Kesihatan merangkap Penerangan dan Pembangunan Digital), Dr Janil Puthucheary. Wajah baru PAP, Ketua Hal Ehwal Korporat Sembcorp untuk Singapura dan Asia Tenggara, Cik Valerie Lee, yang beberapa kali dilihat menyertai acara kemasyarakatan di Pasir Ris dan Punggol sebelum ini, juga hadir.
Mengenai isu-isu dihadapi oleh penduduk Pulau Ubin, Cik Lee menjelaskan:
“Antaranya ialah cabaran hidupan liar, dan oleh itu, kami menekankan bahawa kami akan bekerjasama rapat dengan Lembaga Taman Negara (NParks) pada masa depan untuk menangani isu tersebut.
“Di Pulau Ubin, terdapat juga ramai warga emas jadi kami akan terus memberi sokongan kepada mereka. Malah, kami telah mendapatkan beberapa nombor telefon mereka supaya kami boleh berhubung secara langsung dengan mereka untuk memberikan bantuan jika diperlukan.”
Tambahnya, beberapa penduduk di sana juga mengemukakan cabaran dalam menebus baucar yang disokong oleh pemerintah, seperti baucar iklim.
Cik Lee juga berkata terdapat kira-kira 30 pengundi di Pulau Ubin, tetapi pengaturan undi bagi mereka akan diumumkan pada masa terdekat.
Apabila ditanya tentang usaha yang diperlukan untuk memahami keperluan penduduk Pulau Ubin, Encik Tan berkata:
“Setiap penduduk, sama ada mereka berada di Pasir Ris, Changi atau Pulau Ubin, adalah penting bagi kami dan kami ingin mendekati mereka untuk dapat berkhidmat dengan lebih berkesan.”
Ditanya sama ada Encik Teo akan terus bertanding dalam GE2025, Encik Tan memberitahu media: “Saya rasa soalan ini akan dijawab pada masa akan datang.”
Semasa lawatan ke Pulau Ubin, pasukan PAP mendekati penduduk yang tinggal di rumah kampung yang berkongsi mengenai isu seperti kekurangan panel suria untuk membekalkan elektrik ke rumah mereka.
Kebanyakan penduduk yang ditemui merupakan warga emas yang mempunyai keluarga yang tinggal di Singapura.
Selain Perikatan Demokratik Singapura (SDA), ia tidak jelas jika parti lain akan bertanding untuk GRC Pasir Ris-Changi.
GE2025 akan menyaksikan pembentukan GRC Punggol baru di bahagian timur laut Singapura, dan GRC Pasir Ris-Changi yang baru di bahagian timur.
Kedua-dua GRC empat anggota itu akan menggantikan GRC Pasir Ris-Punggol lima anggota.
Dalam menjelaskan cadangannya, jawatankuasa itu berkata GRC Pasir Ris-Punggol menyaksikan peningkatan terbesar dalam bilangan pengundi sejak GE2020, dan jumlah itu akan terus berkembang dengan pembangunan perumahan baru.
GRC Pasir Ris-Changi baru akan menyerap estet-estet di Pasir Ris dan beberapa bahagian paling timur GRC East Coast seperti estet perumahan Loyang dan Flora.
Ia akan terdiri daripada 100,639 pengundi – 87,768 dari GRC Pasir Ris-Punggol dan 12,871 dari GRC East Coast.
GRC Punggol pula akan terdiri daripada 123,557 pengundi - gabungan 96,825 pengundi daripada GRC Punggol dengan 26,732 pengundi dari Punggol West.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg