Pertarungan tiga penjuru dijangka berlaku di GRC Sembawang, dan ini akan memberi penduduk lebih banyak pilihan untuk menggunakan hak demokratik mereka semasa keluar mengundi, kata Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung.
Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan berkempen berdasarkan nilai parti, rekod pencapaian pasukan, dan rancangan mereka untuk kawasan perwakilan kumpulan pada masa akan datang, kata Encik Ong semasa acara masyarakat Sembawang pada 6 April.
Pada awal hari itu, Parti Demokratik Singapura (SDP) memperkenalkan pasukannya untuk GRC Sembawang bagi Pilihan Raya Umum 2025 (GE2025), di sebuah acara media di Kampung Admiralty, lapor The Straits Times (ST).
Parti Perpaduan Nasional (NSP) juga mengadakan sesi berinteraksi dengan penduduk di kawasan pembangunan bersepadu di Woodlands itu. Kededua parti pembangkang itu telah menyatakan hasrat bertanding di Sembawang.
“Pagi ini, Sembawang sangat sibuk, dengan kehadiran dua parti politik – ditambah PAP, tiga parti politik,” kata Encik Ong.
Encik Ong berkata pertarungan tiga penjuru dijangka berlaku, memandangkan setiap parti mempunyai idea dan visi masing-masing untuk Singapura.
Beliau menjangkakan pertandingan sengit, tetapi pertarungan tiga penjuru tidak akan mengubah cara pasukannya bertanding dalam GE2025 ini.
“Kami akan bertanding dengan tiga pendekatan: berdasarkan nilai kami sebagai parti, berdasarkan rekod pencapaian kami dan juga berdasarkan rancangan kami untuk masa depan, dan kami mempunyai rancangan yang sangat menarik untuk Sembawang,” tambahnya.
SDP menyatakan mereka akan bertanding di GRC Sembawang dan SMC Sembawang West, sebagai sebahagian “strategi kawasan utara” mereka.
Ketua SDP, Dr Chee Soon Juan, akan bertanding di Sembawang West, yang kini diwakili Cik Poh Li San. Kawasan Cik Poh telah dipindahkan menjadi kerusi tunggal untuk pilihan raya akan datang, walaupun Sembawang kekal sebagai GRC lima anggota.
Encik Ong memberitahu wartawan walaupun Dr Chee adalah “seorang yang lebih terkenal di peringkat nasional, yang telah meninggalkan Bukit Batok untuk datang ke sini”, beliau percaya penduduk Sembawang bersikap adil.
Pada acara Hari Keluarga di Sun Plaza pada 6 April, Encik Ong mengulas pencapaian pasukannya dalam lima tahun lalu, termasuk pembukaan Laluan Thomson-East Coast (TEL) dan Northern Explorer Loop sepanjang 25 kilometer, yang menghubungkan Sembawang, Woodlands dan Yishun.
Rancangan Sembawang untuk lima tahun akan datang akan dibentangkan dalam beberapa minggu, termasuk pelan untuk daerah pesisir selepas Limbungan Kapal Sembawang dipindahkan.
Encik Ong hadir bersama pasukannya, termasuk Encik Vikram Nair, Cik Poh Li San dan Cik Mariam Jaafar, serta dua wajah baru, Encik Gabriel Lam dan Encik Ng Shi Xuan.
Dr Lim Wee Kiak, anggota parlimen (AP) kawasan Canberra, tidak hadir tetapi mengucapkan terima kasih kepada penduduk Canberra atas sokongan mereka.
Encik Lam, 42 tahun, dan Encik Ng, 35 tahun, baru dilantik sebagai penasihat kedua kepada pertubuhan akar umbi di Canberra. Encik Lam adalah Ketua Pegawai Operasi (COO) Shalom International Movers, sementara Encik Ng adalah pengarah di Powermark Battery and Hardware.
Ditanya mengenai senarai calon PAP untuk Sembawang, Encik Ong berkata senarai itu akan diketahui dalam masa terdekat.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg