Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, menjangkakan sekurang-kurangnya seorang anggota baru ditambah ke dalam pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) di GRC Sembawang pada pilihan raya umum (GE) akan datang, sambil berkata ia sebahagian proses pembaharuan parti pemerintah itu pada setiap kitaran pilihan raya.
“Setakat ini, saya menjangkakan sekurang-kurangnya seorang anggota baru dalam pasukan ini,” katanya kepada wartawan di luar pelancaran Bazar Raya Utara@Woodlands pada 23 Februari.
“Saya belum tahu siapakah beliau, (dan) seperti anda juga, saya tidak sabar ingin tahu, dan apabila saya tahu, saya akan segera memperkenalkannya,” kata beliau, menjawab pertanyaan mengenai kemungkinan ada perubahan pada GRC Sembawang, lapor The Straits Times.
Selain Encik Ong, yang merupakan menteri utama bagi kawasan undi itu, Anggota Parlimen (AP) lain di GRC Sembawang ialah Encik Vikram Nair, Dr Lim Wee Kiak, Cik Poh Li San dan Cik Mariam Jaafar.
Kesemua mereka hadir pada pelancaran bazar Ramadan tahunan itu, kecuali Cik Poh, yang berada di luar negara bagi urusan kerja.
Apabila ditanya sama ada beliau menjangkakan anggota baru kerana GRC itu sedang berkembang, atau seseorang akan keluar, Encik Ong menarik perhatian bahawa PAP sentiasa menyegarkan barisannya pada setiap pilihan raya.
“Ini adalah tradisi PAP, pada setiap pilihan raya, kami cuba menyegarkan semula satu perempat hingga satu pertiga daripada semua calon kami... jadi memandangkan ini (kawasan undi) lima orang, saya mesti menjangkakan seorang atau malah dua orang akan ditukar,” katanya.
“Ini adalah perkara yang selalu berlaku setiap kali pilihan raya. Sangat sedikit GRC yang boleh melalui pilihan raya tanpa menukar mana-mana anggota mereka, jadi saya sangat menjangkakannya... Jadi saya tidak sabar menunggu siapa pun orang itu.”
Beliau menambah bahawa orang baru itu akan disokong, dan akan “disepadukan dengan cepat” dan dibimbing, untuk memastikan “dari hari pertama, beliau boleh mula bergerak dan mula berkhidmat kepada penduduk”.
Turut dilihat pada acara itu ialah mantan Ketua Pegawai Eksekutif bagi operasi Singapura di SingPost, Encik Shahrin Abdol Salam, yang meletak jawatan pada awal 2025, kurang setahun selepas beliau berpindah ke syarikat perkhidmatan pos nasional itu dari syarikat pengendali kereta api SMRT.
Encik Shahrin meletak jawatan “untuk mengejar peluang di luar syarikat”, kata SingPost. Sejak meletak jawatan, beliau tidak mengumumkan langkah seterusnya.
Ketika ditanya sama ada kehadiran Encik Shahrin itu adalah petunjuk bahawa beliau adalah seorang yang berpotensi menjadi calon pilihan raya, Encik Ong berseloroh: “Hakikat bahawa saya tidak memperkenalkannya di pentas bermakna saya tidak tahu.”
Apabila ditanya lebih lanjut mengenai Encik Shahrin, beliau menggesa agar jangan membuat spekulasi.
Tetapi Encik Ong berkata Encik Shahrin “agak sering” muncul di kawasan itu, dan beliau menganggapnya sebagai seorang “kawan sangat lama” yang bekerja bersamanya sejak zamannya dalam kesatuan.
Encik Ong timbalan setiausaha agung di Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC) dari 2011 hingga 2012.
Apabila didekati, Encik Shahrin enggan mengulas.
Encik Ong turut menjawab soalan mengenai peranan dan kesediaannya bagi pilihan raya akan datang, yang harus diadakan menjelang November.
Berkata beliau “sentiasa bersedia... sejak tahun lepas (2024)”, menteri itu menambah bahawa peranannya ialah mengetuai pasukan GRC Sembawang, dan meyakinkan penduduk agar “terus bekerjasama” dengan mereka.
Encik Ong juga berharap beliau dapat kekal di kawasan undi itu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg