Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelagat bikin video, sesi kongsi Gen G warnai Hari Penghargaan Guru BH

Nov 10, 2023 | 7:55 PM
MENGHARGAI GURU: Berita Harian (BH) menganjurkan Hari Penghargaan Guru di restoran The Malayan Council di Winstedt Road, pada Jumaat, dihadiri lebih 80 guru Bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah.
MENGHARGAI GURU: Berita Harian (BH) menganjurkan Hari Penghargaan Guru di restoran The Malayan Council di Winstedt Road, pada Jumaat, dihadiri lebih 80 guru Bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah. - Foto BH oleh KHALID BABA

Suasana bilik darjah biasanya riuh dengan suara murid sebelum kelas bermula dan menjadi tenang dan tenteram apabila guru sampai ke kelas.

Namun, dalam satu acara, sekumpulan guru pula yang riuh, mencuba sesuatu yang agak asing daripada tugas mengajar – mencuba aplikasi Capcut – aplikasi yang membolehkan sesiapa sahaja membuat dan menjadi editor video.

Gelagat mereka yang bersemangat berlumba mencari beberapa objek tertentu termasuk tisu basah, wang $10 dan cermin mata menambah keriuhan diiring dengan gelak ketawa melakukan pelbagai aktiviti mengisi suasana.

Suasana ‘kecoh’ itu mewarnai acara Hari Penghargaan Guru yang dianjurkan Berita Harian (BH) di restoran The Malayan Council, Winstedt Road. Ia dihadiri lebih 80 guru Bahasa Melayu sekolah rendah dan menengah.

Selain menjamu selera dengan makanan lazat, para guru menyertai bengkel mencipta video yang dikendalikan wartawan video BH, Encik Abdul Qayyum Sarip.

Dalam kumpulan sekitar lapan orang, guru-guru cuba membuat video ulasan makanan yang terbaik, dengan aplikasi menyunting video Capcut .

Dua kumpulan dengan video terbaik memenangi hadiah baucar NTUC dan GrabFood serta tiket wayang Golden Village. Pemenangnya akan diumumkan di Facebook dan Instagram BH pada 15 November.

Guru Sekolah Menengah Marsiling, Cik Rita Zarina Mohd Nazeer, 50 tahun, berkata: “Saya yakin kebolehan mencipta video adalah kemahiran yang penting dan relevan untuk guru kerana ia dapat memperluas wadah pengajaran, memandangkan pelajar masa kini aktif menggunakan media sosial, seperti TikTok.

“Dengan memanfaatkan wadah ini, pengajaran dapat menjadi lebih dinamik dan menarik.”

Dalam acara itu, wartawan BH, Encik Muhammad Izwandi Azman, berkongsi tentang perkembangan akhbar pelajar BH, Gen G, atau singkatan bagi Generasi Geliga.

Edisi terbaru Gen G, yang disasarkan kepada pelajar peringkat rendah dan menengah, bakal diterbit pada 8 Januari 2024.

Encik Izwandi menjelaskan bahawa antara ciri baru Gen G ialah seksyen ‘Ehwal Semasa’ yang merangkumi tiga tahap bacaan – peringkat mudah, sederhana dan lanjutan.

“Kami ingin memastikan akhbar ini dapat memenuhi pelbagai keperluan pelajar pada peringkat kemahiran bahasa yang berbeza,” kata Encik Izwandi, penulis Gen G.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg