Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Gelagat penduduk S’pura semasa ‘musim sejuk’ cuit hati netizen

Jan 14, 2025 | 10:51 AM
Dengan suhu cuaca Singapura yang menurun kerana lonjakan monsun, pencipta kandungan di Singapura muatnaikkan parodi video tentang kesejukan dialami di pulau ini. Antaranya ialah Hafidz Abdul Rahman (kiri) dan Fauzi Azzhar (kanan).
Dengan suhu cuaca Singapura yang menurun kerana lonjakan monsun, pencipta kandungan di Singapura muatnaikkan parodi video tentang kesejukan dialami di pulau ini. Antaranya ialah Hafidz Abdul Rahman (kiri) dan Fauzi Azzhar (kanan). - Foto TANGKAP LAYAR INSTAGRAM ASONOFAPEACH dan TIKTOK FAUZIAZZHAR

Penduduk Singapura kini menikmati pengalaman luar biasa pada awal Januari ini dengan cuaca dingin yang membuat ramai menggunakan baju sejuk seperti sweater dan jaket mereka.

Dengan suhu menurun serendah 21.6 darjah Celsius, Singapura yang biasanya panas dan bahang kini terasa seolah-olah berada dalam ‘musim sejuk’.

Di media sosial pengguna TikTok Fauzi Azzhar telah membuat parodi video dan merakam dirinya dengan gaya dramatik dan berkata dengan berlebihan, “Wah cuaca di Singapura sangat sejuk, mesti gunakan jaket!”

Beliau juga melompat-lompat, menunjukkan reaksi sejuknya yang berlebih-lebihan, sambil membuatkan netizen terhibur dengan kelakuannya yang lucu dan bersemangat.

Video itu telah menerima lebih 340,000 tontonan dan lebih 25,000 ‘likes’.

View post on TikTok

Menjelaskan parodinya itu, beliau berkata: “Singapura biasanya panas dan bahang sepanjang tahun. Jadi apabila suhu turun ke sekitar 20 darjah Celsius seperti sekarang pada Januari 2025, ia menjadi satu fenomena khas untuk kami. Cuaca sejuk seperti ini jarang berlaku dan ituah sebabnya saya terperanjat apabila ia berlaku.”

Seorang pengguna TikTok, Nadirah Hargreeves, telah meninggalkan komen yang berkata: “Cuaca hujan dan sejuk di Singapura bermakna akhirnya dapat memakai jaket musim sejuk percutian saya.”

View post on Instagram
 

Pencipta kandungan Hafidz Abdul Rahman, yang lebih dikenali sebagai @asonofapeach di media sosial, juga telah memuatnaikkan video memakai jaket tebal perak di rumah, dengan kapsyen, “Perkembangan hidup terkini”. (Life lately)

Video itu telah mencapai lebih 65,000 tontonan dan lebih 3,000 ‘likes’.

Seorang lagi pencipta kandungan, @popculturebf atau Zahir Latif telah berkongsi video di Instagram tentang kebiasaan orang Singapura, lebih-lebih lagi orang Melayu yang suka pakai jaket walaupun cuaca panas.

Mengimbau kembali, memori pertamanya memakai jaket adalah semasa tadika. “Ibu bapa saya akan memakaikan jaket apabila hujan!” ujar beliau kepada BH.

View post on Instagram
 

Beliau juga berkata fesyen orang Melayu adalah ‘terbaik’, kerana tak kira cuaca, kita tetap boleh lapiskan pakaian.

Dengan cuaca lebih sejuk sekarang, Zahir percaya ramai yang menyambut baik suhu ini, kerana tidak perlu lagi menghidupkan penghawa dingin.

“Cuaca di Singapura akan sentiasa rasa bahang, jadi suhu yang lebih rendah ini pasti membuatkan hidup lebih selesa,” tambah beliau.

Menurut PUB, agensi air negara, cuaca dingin ini adalah hasil lonjakan monsun, peningkatan mendadak kelajuan angin yang menyebabkan udara sejuk bergerak ke selatan di Laut China Selatan.

PUB juga telah mengeluarkan amaran mengingatkan orang ramai supaya berwaspada, terutamanya di kawasan rendah yang berisiko banjir, kerana hujan lebat dijangka berterusan antara 10 hingga 13 Januari.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg