“Macam mana anda pergi ke tandas?”
Demikian antara soalan yang paling kerap diajukan netizen kepada Encik Fadly Ahmad, pengendali kren, yang juga pengguna akaun @sgtowercrane di TikTok.
Encik Fadly, berusia awal 50-an tahun, telah menjadi sensasi di media sosial kerana berjaya mencuri perhatian ramai mengenai kehidupan harian kerjanya menerusi video-videonya berada dalam kabin kren.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Encik Fadly berkata antara soalan yang diterimanya termasuk mengenai bagaimana beliau menyahut ‘panggilan alam’.
“Saya guna botol kecil untuk buang air kecil dan baldi kecil yang dilapik dengan plastik dan kertas untuk membuang air besar,” jelasnya dengan nada santai sambil tertawa.
Walaupun nampak mudah, cara tersebut membolehkannya untuk terus bekerja pada ketinggian sekitar 40 meter tanpa perlu turun ke bawah.
Menurut Encik Fadly, yang sudah bekerja sebagai pengendali kren sekitar 10 tahun, beliau terdorong untuk menceburi bidang itu selepas mendapat galakan daripada kenalannya yang juga seorang pengendali kren.
Beliau menjalani kursus yang ditawarkan Penguasa Bangunan dan Pembinaan (BCA), yang memberi penekanan kepada aspek keselamatan dan kemahiran teori serta praktikal untuk mengendalikan kren.
“Mulanya, saya gementar pada ketinggian, tapi saya putuskan untuk mengatasi rasa takut itu dan mencuba kerjaya ini,” katanya.
Encik Fadly kini bekerja enam hari seminggu, bermula dari 8 pagi hingga 5 petang, dengan peluang untuk bekerja lebih masa sehingga 7 malam.
Tambahnya, tapak pembinaan yang jauh dari kawasan perumahan membenarkan pengendali kren bekerja sehingga 9 malam.
Untuk sampai ke kabin kren di tapak pembinaan, Encik Fadly perlu memakai topi keledar, abah-abah serta sarung tangan dan memanjat tangga yang tingginya bersamaan dengan 15 tingkat bangunan.
Beliau mengambil masa sekitar lima minit untuk mendaki krennya itu.
Encik Fadly pernah mengendalikan kren setinggi 50 tingkat di satu lagi tapak pembinaan sebelum ini.
Kabin kren tempat beliau melakukan kerjanya merupakan sebuah ruang kerja yang kecil tetapi dilengkapi keperluan asas.
Di sinilah Encik Fadly menghabiskan sebahagian besar harinya, termasuk melakukan kerjanya, bersolat, dan kadangkala memasak.
Ruang dalam kabin itu juga cukup untuk beliau baring ketika masa rehat.
“Kalau saya masak, saya gunakan periuk elektrik kerana tidak boleh ada api di dalam kabin,” ujarnya.
Encik Fadly yang sudah berumah tangga juga gemar membawa bekal makanan dari rumah.
“Apabila saya pesan makanan dari luar, saya gunakan sejenis sistem kapi (pulley) di mana makanan yang diikat dalam plastik, akan digantung pada cangkuk dan kemudian saya menariknya perlahan naik ke kabin kren,” katanya.
Kebanyakan video TikToknya menunjukkan beliau memasak atau sedang makan semasa waktu rehat dan ada pula beliau menunjukkan netizen tentang peralatan keselamatan yang digunakan.
Videonya tentang memasak nasi goreng ikan bilis dalam kabin kren mendapat lebih 1.9 juta tontonan buat masa ini, menjadikannya video paling popular di akaunnya.
Namun, di sebalik kehidupan yang kelihatan menarik di TikTok, pekerjaan sebagai pengendali kren datang dengan cabaran besar.
Encik Fadly menjelaskan bahawa beliau perlu sentiasa memastikan keselamatan pekerja di bawah semasa memindahkan muatan berat dari satu lokasi ke lokasi yang lain.
“Kami perlu pastikan muatan tidak berada di atas sesiapa. Penyelia di bawah akan meniup wisel untuk memberi amaran kepada pekerja lain agar menjauhi kawasan tertentu,” jelasnya.
Kerja juga akan dihentikan jika berlaku hujan lebat kerana keadaan sedemikian boleh menjejas penglihatan dan keselamatan.
Dalam situasi sebegitu, Encik Fadly akan menutup tingkap kabin dan memakai kasut getah sebagai langkah berjaga-jaga.
Bagi mereka yang berminat untuk menjadi pengendali kren, Encik Fadly memberi nasihat:
“Anda perlu banyak kesabaran kerana kerja ini perlukan anda bersendirian untuk jangka masa yang lama. Cari cara untuk kekal bermotivasi dan jangan lupa bahawa keselamatan amat penting.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg