Bagi Cik Putri Kamilah Yunus, 22 tahun, mengadakan majlis persandingan di kolong blok bukan demi menjimatkan kos semata-mata.

Malah, ia juga membolehkannya menghidupkan tradisi majlis persandingan setempat yang dijayakan bersama keluarga dan rakan-rakan.

Justeru, beliau dan suaminya, Encik Adib Abqari Abdul Razak, 24 tahun, memilih untuk mengadakan persandingannya baru-baru ini di kolong Blok 711, Jurong West Street 71, pada 7 Jun lalu, dengan menjemput sekitar 1,300 tetamu.

Diinspirasi oleh majlis perkahwinan Melayu tradisional, Cik Putri Kamilah Yunus, bersama suaminya, Encik Adib Abqari Abdul Razak, memilih mengadakan majlis persandingan di kolong Blok 711, Jurong West Street 71, pada 7 Jun lalu, dengan kehadiran sekitar 1,300 tetamu.
Diinspirasi oleh majlis perkahwinan Melayu tradisional, Cik Putri Kamilah Yunus, bersama suaminya, Encik Adib Abqari Abdul Razak, memilih mengadakan majlis persandingan di kolong Blok 711, Jurong West Street 71, pada 7 Jun lalu, dengan kehadiran sekitar 1,300 tetamu. - Foto ihsan PUTRI KAMILAH YUNUS

Majlis suasana ala kampung dirancang, untuk mengembalikan kemeriahan dan semangat kejiranan yang semakin jarang dilihat hari ini, lengkap dengan amalan merewang, hidangan tulang merah, durian serta pelbagai reruai makanan yang menyediakan sajian secara langsung.

Sehari sebelum itu, pada 6 Jun, Cik Putri dan suaminya melangsungkan akad nikah di Masjid Ar-Raudhah, di Bukit Batok, dalam majlis yang dihadiri sekitar 150 tetamu, sebelum mengadakan majlis bertandang bagi pihak pengantin lelaki di Mamanda Grand Ballroom, The Chevrons.

Bagi Cik Putri Kamilah Yunus, bersama suaminya, Encik Adib Abqari Abdul Razak,  (dalam gambar),  majlis persandingan dan bertandang di kolong blok menjadi peluang mengumpul ahli keluarga, sahabat serta jiran, dalam suasana penuh meriah.
Bagi Cik Putri Kamilah Yunus, bersama suaminya, Encik Adib Abqari Abdul Razak, (dalam gambar),  majlis persandingan dan bertandang di kolong blok menjadi peluang mengumpul ahli keluarga, sahabat serta jiran, dalam suasana penuh meriah. - Foto PUTRI KAMILAH YUNUS

Walaupun beliau enggan berkongsi perbelanjaan keseluruhan yang ditampungnya, Cik Putri berkongsi majlis persandingan di kolong blok menelan belanja sekitar $40,000.

Menurut Cik Putri, jumlah itu masih jauh lebih rendah berbanding kos yang diperlukan, sekiranya beliau memilih dewan ballroom atau hotel, untuk menampung jumlah tetamu yang sama.

Namun, beliau menegaskan wang bukan faktor utama di sebalik keputusan tersebut.

Sebaliknya, beliau mahu mengembalikan budaya merewang, apabila ahli keluarga dan saudara-mara berganding bahu menyediakan buah tangan, menyusun dekorasi serta membantu menguruskan atur cara majlis.

“Saya juga mahu menghidupkan semula nostalgia perkahwinan Melayu dahulu dan menyambut tetamu dengan layanan yang baik serta makanan yang banyak,” katanya.

Dekorasi majlis perkahwinan yang indah menceriakan suasana kolong blok.
Dekorasi majlis perkahwinan yang indah menceriakan suasana kolong blok. - Foto PUTRI KAMILAH YUNUS

Bagi mewujudkan suasana itu, tetamu bukan sahaja dihidangkan lima jenis air balang, malah turut menikmati sajian apam balik, roti jala, durian segar dan tulang merah.

Ahli keluarga juga membuka reruai mini serta reruai bunga, sebagai tarikan tambahan kepada tetamu.

Menurut Cik Putri, beliau turut memilih konsep ala carte, dengan mendapatkan sendiri setiap vendor berbanding mengambil pakej lengkap.

Kebanyakan vendor pula merupakan kenalan bapanya yang pernah berkecimpung dalam industri perkahwinan.

Beliau berkata majlis di kolong blok juga menawarkan lebih banyak fleksibiliti, kerana ruang tersebut boleh ditempah beberapa hari lebih awal, bagi membolehkan persiapan dibuat secara berperingkat, selain tidak terlalu terikat dengan had masa seperti di dewan ballroom.

Mengenang semula majlis tersebut, Cik Putri berkata melihat wajah gembira keluarga dan tetamu membuatkan beliau berasa semua usaha yang dicurahkan benar-benar berbaloi.