Berbeza dengan kebanyakan pasangan yang memilih untuk mengadakan majlis persandingan berskala besar, guru pendidikan luar darjah, Cik Syakirah Nasri, bersama suaminya, Encik Azim Ramli, memilih untuk melangsungkan majlis akad nikah secara sederhana di masjid pada 2025.

Bercakap kepada Berita Minggu (BM), Cik Syakirah berkata mereka berasa tertarik dengan suasana ala kampung di Masjid Petempatan Melayu Sembawang, yang membolehkan beliau mengadakan majlis kecil-kecilan yang hanya dihadiri keluarga serta kenalan rapat.

Beliau dan suami, kededuanya berusia 28 tahun, telah mengadakan majlis kedua di Malaysia kerana kebanyakan saudara-mara Cik Syakirah berada di sana.

Menurut Cik Syakirah, keseluruhan kos majlis di Singapura dan Malaysia pula kurang daripada $15,000, mencerminkan keinginannya untuk memberi tumpuan kepada kehidupan selepas berkahwin dan komitmen masa depan, berbanding mengadakan majlis yang mewah.

Cik Syakirah dan suaminya memilih majlis di masjid kerana tertarik dengan suasana kampung dan persekitarannya yang lebih tenang serta sederhana.
Cik Syakirah dan suaminya memilih majlis di masjid kerana tertarik dengan suasana kampung dan persekitarannya yang lebih tenang serta sederhana. - Foto ihsan SYAKIRAH NASRI

“Disebabkan kebanyakan keluarga saya berada di Malaysia, saya rasa tidak perlu mengadakan majlis besar di Singapura,” katanya.

Beliau berkata sejak awal lagi, beliau memang berhasrat mengadakan akad nikah di masjid kerana menginginkan suasana yang lebih tenang dan bermakna.

Masjid Petempatan Melayu Sembawang pula dipilih kerana seni binanya yang mengingatkannya kepada suasana kampung, selain menawarkan ruang yang lebih intim berbanding lokasi lain.

Selepas akad nikah di Singapura, pasangan itu mengadakan kenduri kecil di Malaysia, bagi memberi peluang kepada ahli keluarga di sana meraikan hari bahagia mereka.

Cik Syakirah berkata antara perkara yang paling dititikberatkan adalah memastikan wang simpanan mereka digunakan untuk perkara yang benar-benar memberi manfaat selepas berkahwin.

Beliau dan suami memilih untuk memperuntukkan wang yang lebih pada fotografi, kerana percaya gambar perkahwinan merupakan kenangan yang akan disimpan.

“Manakala perbelanjaan untuk cincin dan beberapa perkara lain secara seadanya.

“Kami fikir lebih baik gunakan wang itu untuk rumah, simpanan dan kehidupan selepas kahwin,” katanya.

Beliau turut menyedari semakin ramai rakan sebayanya memilih majlis yang lebih kecil berikutan peningkatan kos sara hidup dan harga rumah.

“Saya rasa ramai pasangan muda sekarang memilih majlis yang lebih sederhana, kerana mereka perlu fikir tentang rumah, kos sara hidup dan tanggungjawab selepas berkahwin,” katanya.

Mengimbas kembali hari bersejarah itu, Cik Syakirah berkata beliau tidak akan mengubah apa-apa.

“Yang paling penting bagi saya adalah hari akad nikah, kerana itulah permulaan sebenar sebuah perkahwinan.

“Saya akan syorkan mengadakan majlis perkahwinan di masjid kepada pasangan lain, kerana ia lebih tenang, sederhana dan memberi ruang untuk kami benar-benar menghargai detik itu,” katanya.