Mengadakan majlis perkahwinan di bawah blok jarang menjadi pilihan pasangan pengantin baru, tetapi beberapa syarikat perancangan perkahwinan berkata permintaan telah bertambah kebelakangan ini.

Malah, mereka telah mula menawarkan semula perkahwinan di kolong blok selepas melihat minat yang semakin meningkat daripada pasangan yang mempertimbangkan semula lokasi itu sebagai pilihan untuk meraikan hari bahagia mereka.

Amalan mengadakan majlis perkahwinan berskala besar sehingga sekitar 1,000 tetamu di kolong blok HDB terhenti apabila sekatan Covid-19 diperkenalkan pada 2020, sekali gus mendorong lebih ramai pasangan beralih kepada majlis yang lebih kecil di dewan ballroom dan hotel.

Tarikan untuk mengadakan majlis perkahwinan di dewan ballroom dan hotel adalah jelas.

Mengadakan majlis perkahwinan di dewan ballroom dan hotel masih membentuk sebahagian besar tempahan, kata beberapa penyedia khidmat perkahwinan yang dihubungi Berita Minggu (BM), kerana tempat sedemikian menawarkan kelengkapan kemudahan seperti pendingin hawa.

Majlis yang diadakan di dewan ballroom dan hotel juga mengurangkan ketidaktentuan logistik, keperluan menempah khidmat pembersihan, dan meniadakan kemungkinan majlis diganggu oleh cuaca panas terik atau hujan lebat.

Namun, keinginan mengundang lebih ramai tetamu dan mengadakan majlis di ruang yang boleh dihiasi mengikut cita rasa sendiri, mendorong bakal mempelai mempertimbangkan semula kolong blok sebagai lokasi majlis, kata beberapa syarikat penyedia khidmat perkahwinan.

Sebagai contoh, Ijab Qabul Weddings dan Syuk & Co, yang masing-masing mengendalikan sekitar 60 hingga 70 majlis setahun, berkata mereka melihat peningkatan dalam bilangan bakal mempelai yang bertanya dan menunjukkan minat mengadakan majlis di kolong blok.

Malah, jurucakap Ijab Qabul Weddings berkata kira-kira 30 peratus majlis yang dikendalikannya, kini diadakan di kolong blok, sekali gus mendorong syarikat itu memperkenalkan pakej khas bagi lokasi tersebut.

Cik Miera Faziera Mohamed Rafee dan suaminya, Encik Muhammad Arjuna Lim, memilih untuk mengadakan majlis persandingan di kolong blok kerana gemar dengan suasana bergotong-royong serta berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama tetamu kerana tempoh penggunaannya lebih panjang berbanding di ‘ballroom’.
Cik Miera Faziera Mohamed Rafee dan suaminya, Encik Muhammad Arjuna Lim, memilih untuk mengadakan majlis persandingan di kolong blok kerana gemar dengan suasana bergotong-royong serta berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama tetamu kerana tempoh penggunaannya lebih panjang berbanding di ‘ballroom’. - Foto ihsan MIERA FAZIERA MOHAMED RAFEE

Peruntukan wang sentiasa menjadi perkara pertama yang dibincangkan bakal mempelai, sebelum perkara lain seperti lokasi dan vendor, kata perancang perkahwinan White Vellum, Cik Ainur Rosyieqa Mohamad Anuar.

Menurut Cik Ainur, pandemik Covid-19 mengubah cara pasangan muda merancang perkahwinan.

Ada yang membuat perancangan sehingga dua tahun setengah sebelum tarikh majlis berlangsung.

Kini, lebih ramai bakal mempelai mengutamakan kehidupan selesa selepas berkahwin, seperti pemilikan rumah dan kewangan yang stabil, berbanding majlis yang terlalu mewah.

Bagi bakal mempelai yang mempunyai matlamat rumah tangga seperti ini, mengadakan majlis di kolong blok adalah satu pilihan tepat.

Mengajukan pandangan berbeza, pengarah bersama Ijab Qabul Weddings, Encik Aidil Hadri dan Cik Linda Hashim, yang berkecimpung dalam industri perkahwinan lebih sedekad, pasangan yang memilih kolong blok lazimnya bukan sekadar mahu menjimatkan kos.

“Kolong blok memberi lebih banyak fleksibiliti. Kalau ada tambahan tetamu yang diundang, kita boleh sahaja tambah meja.

“Pasangan juga boleh mengadakan lebih banyak live station dan menggunakan ruang kolong blok sepanjang hari, berbanding ballroom yang biasanya hanya disewa untuk empat atau lima jam sahaja,” kata Encik Aidil.

Namun, beliau berkata kos majlis di kolong blok tidak semestinya lebih murah, kerana perbelanjaan logistik seperti dekorasi, tandas mudah alih dan kawasan solat, boleh menyebabkan perbelanjaan keseluruhan menghampiri lokasi di ballroom.

Sementara itu, pengasas Syuk & Co, Encik Syukri Azman, berkata pasangan hari ini lebih gemar memilih konsep yang mencerminkan personaliti mereka, serta memberi pengalaman bermakna kepada tetamu.

Bercakap kepada BM, pentadbir logistik, Cik Miera Fazira Mohamed Rafee, 32 tahun, yang baru mendirikan rumah tangga baru-baru ini, turut merealisasikan impiannya mengadakan majlis persandingan di kolong blok dengan menjemput sekitar 1,000 tetamu dalam suasana ‘tradisional’.

“Saya memang dari dulu nak kahwin bawah blok,” katanya.

Beliau berkata suasana gotong-royong bersama ahli keluarga serta peluang meluangkan lebih banyak masa bersama tetamu menjadi antara sebab utama beliau memilih lokasi itu.

Tambahan pula, tempoh penggunaan yang lebih panjang berbanding ballroom, memberi ruang kepada keluarga meraikan hari istimewa itu tanpa perlu tergesa-gesa.

Suasana gotong-royong dan kemesraan bersama keluarga menjadi antara sebab utama Cik Miera Faziera Mohamed Rafee memilih kolong blok sebagai lokasi persandingannya.
Suasana gotong-royong dan kemesraan bersama keluarga menjadi antara sebab utama Cik Miera Faziera Mohamed Rafee memilih kolong blok sebagai lokasi persandingannya. - Foto ihsan MIERA FAZIERA MOHAMED RAFEE

“Saya cuma nak buat ibu bapa saya gembira,” katanya.