Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

George Goh kurang faham tugas ketua pelaburan: Kok Song

Kok Song ingin temu George Goh selepas dakwaan kurang layak tanding jadi presiden
Aug 5, 2023 | 3:30 PM
BERAMAH MESRA: Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, bertemu dengan para peniaga dan pengunjung di Pasar Tiong Bahru pada Sabtu.
BERAMAH MESRA: Mantan ketua pegawai pelaburan GIC, Encik Ng Kok Song, bertemu dengan para peniaga dan pengunjung di Pasar Tiong Bahru pada Sabtu. - Foto BM oleh ANWAR SALEH

Peranan ketua pegawai pelaburan (CIO) Perbadanan Pelaburan Pemerintah (GIC) atau mana-mana institusi pelaburan adalah sama penting, jika tidak, lebih penting daripada peranan ketua pegawai eksekutif (CEO) organisasi itu, kata mantan CIO GIC, Encik Ng Kok Song.

Beliau bertanggungjawab melakar dan mengetengahkan cadangan pelaburan kepada lembaga pengarah GIC dan memastikan organisasi itu meraih keuntungan, kata Encik Ng lagi, semasa bertemu media pada Sabtu di Pasar Tiong Bahru.

Demikian antara ulasan Encik Ng, yang telah melahirkan hasrat bertanding di Pilihan Raya Presiden, berikutan komen usahawan Encik George Goh pada Jumaat.

JUMPA WARGA: Mantan ketua pegawai pelaburan, Encik Ng Kok Song, beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung di Pasar Tiong Bahru pada Sabtu.
JUMPA WARGA: Mantan ketua pegawai pelaburan, Encik Ng Kok Song, beramah mesra dengan para peniaga dan pengunjung di Pasar Tiong Bahru pada Sabtu. - Foto BM oleh ANWAR SALEH

Encik Goh, yang juga berharap bertanding di Pilihan Raya Presiden, berkata beliau tidak akan tampilkan diri sekiranya beliau sekadar mantan CIO, yang didakwanya berada di kedudukan kepimpinan kelima atau keenam dalam sesebuah pertubuhan.

“Saya rasa Encik Goh membuat kesilapan. Dia berpendapat bahawa CIO ialah ketua pegawai maklumat. CIO di GIC bukan ketua pegawai maklumat. Ia adalah ketua pegawai pelaburan. Dan itu adalah perbezaan yang sangat besar,” kata Encik Ng, yang menambah beliau ingin bertemu Encik Goh untuk menerangkan lebih lanjut mengenai peranan CIO dalam syarikat pelaburan.

“Saya ingin bertemu Encik Goh supaya kami berdua dapat duduk bersama dan berkongsi pengetahuan.

“Saya juga boleh berkongsi dengan Encik Goh pengetahuan saya tentang perniagaan pelaburan kerana beliau tidak pernah berkecimpung dalam perniagaan pelaburan, tetapi saya telah menghabiskan 45 tahun dalam perniagaan pelaburan.

“CIO adalah sama penting, jika tidak, lebih penting daripada CEO,” ujar Encik Ng.

Dalam pada itu, Encik Ng juga menyatakan perbezaan antara pengalaman dengan peranannya sebagai pegawai perkhidmatan awam di GIC berbanding mantan Menteri Kanan, Encik Tharman Shanmugaratnam yang berkhidmat sebagai ahli politik dan penggubal dasar.

Beliau juga menekankan bahawa walaupun Encik Tharman dan lembaga pengarah GIC meluluskan cadangan dasar yang diketengahkan oleh beliau, akhirnya, beliau yang memainkan peranan penting sebagai “penjana wang” untuk organisasi itu.

Pada Jumaat, video yang diterbitkan di saluran YouTube Encik Goh menyatakan kededua Encik Ng dan Encik Tharman mempunyai latar belakang sama, kerana pernah menggalas jawatan di Penguasa Kewangan Singapura dan GIC.

“Saya membuat cadangan dengan pasukan pengurusan saya. Apabila dasar diluluskan oleh lembaga, termasuk oleh Encik Tharman, saya perlu melaksanakan dasar tersebut. Saya harus memastikan dasar dan strategi itu berjaya,” kata Encik Ng.

TURUT PRIHATIN: Mantan ketua pegawai pelaburan,  Encik Ng Kok Song, berkata beliau juga pernah melalui cabaran menangani kos sara hidup yang  meningkat semasa bertemu peniaga dan pengunjung di Pasar Tiong Bahru pada Sabtu.
TURUT PRIHATIN: Mantan ketua pegawai pelaburan, Encik Ng Kok Song, berkata beliau juga pernah melalui cabaran menangani kos sara hidup yang meningkat semasa bertemu peniaga dan pengunjung di Pasar Tiong Bahru pada Sabtu. - Foto BM oleh ANWAR SALEH

Semasa lawatannya ke Pasar Tiong Bahru pada Sabtu, Encik Ng, yang ditemani tunangnya, Cik Sybil Lau, bertemu dengan peniaga gerai dan pengunjung, yang antara lain memberitahunya mengenai isu kos sara hidup yang bertambah dan menjadi keprihatinan mereka.

Encik Ng berkata beliau turut prihatin, tetapi mengingatkan mereka bahawa negara lain juga menghadapi masalah yang serupa.

Namun, warga Singapura bertuah kerana dolar yang kukuh membantu mengurangkan kesan kos sara hidup dan Presiden memainkan peranan penting untuk melindungi rizab yang membantu mengekalkan kekuatan dolar Singapura, ujarnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg