Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

George Goh umum slogan ‘Satu Peluang Untuk Perubahan’

Aug 14, 2023 | 8:43 PM
MAHU LEBIH TERBUKA, LEBIH TELUS: Encik George Goh Ching Wah berkata antara perubahan yang ingin beliau lakukan jika terpilih ialah menjadikan pejabat Presiden lebih terbuka dan telus.
MAHU LEBIH TERBUKA, LEBIH TELUS: Encik George Goh Ching Wah berkata antara perubahan yang ingin beliau lakukan jika terpilih ialah menjadikan pejabat Presiden lebih terbuka dan telus. - Foto BH oleh SHAFIQ APANDI

Satu Peluang Untuk Perubahan.

Itulah slogan kempen Pilihan Raya Presiden usahawan Encik George Goh Ching Wah, 63 tahun, yang beliau umumkan pada Isnin semasa satu dialog bersama sekumpulan belia di BISOUX Cafe di Selegie Road.

Encik Goh, yang telah mengumumkan hasratnya bersaing bagi jawatan presiden, berkata slogan beliau mencerminkan cabaran yang dihadapinya sebagai seorang bakal calon daripada sektor swasta.

“Sepanjang 30 tahun lalu tidak pernah ada calon daripada sektor swasta. Inilah saatnya. Saya harap pada masa akan datang ada lebih ramai calon daripada sektor swasta yang tampil untuk bertanding.

“Saya tahu ia mencabar. Sebelum membuat keputusan untuk bertanding, saya berbincang bersama isteri dan keluarga saya. Ini memang susah bagi saya. Bukan senang untuk orang daripada sektor swasta tampil.

“Dengan itu, saya harap anda dapat memberikan saya sokongan. Saya percaya kalau anda bersama saya, saya boleh menyuntik kesegaran dan perubahan,” kata Encik Goh, yang menahan tangisannya ketika mengenang perjalanannya.

Beliau juga berkongsi teras tumpuannya jika dipilih sebagai Presiden. Antara perubahan yang ingin beliau lakukan kepada pejabat Presiden ialah menjadikannya lebih terbuka dan telus.

Ini termasuk berkongsi dengan orang awam lebih luas tentang rang undang-undang yang telah ditandatangani Presiden, jawatan-jawatan utama yang dilantik Presiden, bilangan mesyuarat bersama Majlis Penasihat Presiden (CPA), lawatan diplomatik, ucapan Presiden dan usaha pengumpulan dana.

“Saya rasa ini pendekatan baik untuk kongsi bersama orang ramai apa yang dilakukan oleh Presiden dengan lebih telus. Saya akan cuba buat tahun pertama, dan kemudian akan mendapatkan maklum balas bagaimana saya dapat memperbaiki jawatan Presiden dengan lebih baik,” kata Encik Goh.

Selain itu, beliau ingin membina usaha Cabaran Presiden untuk mendekati lebih ramai golongan kurang bernasib baik. Ini termasuk menggembleng lebih ramai usahawan dan syarikat untuk mengumpul $1 billion bagi badan amal.

Semasa dialog bersama belia itu, Encik Goh menekankan bahawa beliau satu-satunya calon daripada sektor swasta yang akan membawa pengalaman dan pandangan yang bebas, tanpa sebarang baggage, atau beban disebabkan kaitan dengan sebarang parti politik atau pemerintah.

“Saya daripada sektor swasta. Tidak pernah ada kaitan dengan pemerintah dalam penggubalan dasar. Tidak pernah ada kaitan atau keahlian dalam parti politik. Tidak pernah ada peranan sebagai penasihat akar umbi.

“Saya juga tidak pernah duduk di lembaga syarikat kaitan pemerintah atau menerima wang dari luar negara,” kata Encik Goh.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg