Sebuah gerabak tren MRT generasi pertama kini ditempatkan di Hospital Masyarakat St Andrew yang baru di Bedok, menjadikannya hospital pertama menerima sebuah gerabak tren penuh yang didermakan.
Kemudahan baru yang dibuka pada 20 November itu turut menempatkan sebuah bas SBS Transit dan teksi ComfortDelGro.
Kesemuanya digunakan untuk latihan pemulihan pesakit, menurut laporan The Straits Times (ST).
Kenderaan-kenderaan yang didermakan dan diletakkan bersebelahan dan berhampiran tempat letak kereta ini akan membantu pesakit menjalani fisioterapi dan terapi pekerjaan sebelum pulang ke rumah.
Hospital Masyarakat St Andrew di Bedok juga merupakan hospital pertama menggunakan gerabak sebenar, sepanjang lebih 23 meter dan selebar 3 meter, berbanding replika tren dan bas di Hospital Masyarakat Jurong (JCH).
Dalam wawancara sebelum pembukaan hospital, ahli terapi pekerjaan kanan, Encik Galvin Tan, berkata kenderaan sebenar memberi persekitaran latihan yang menyerupai keadaan sebenar.
Pesakit dan penjaga dapat berlatih naik turun daripada pengangkutan awam menggunakan tongkat atau kerusi roda tanpa tekanan berada di tempat awam.
Beliau menjelaskan latihan ini membantu pesakit membuat persediaan mental sebelum menaiki tren, bas atau teksi sebenar.
Di kemudahan Hospital Masyarakat St Andrew di Simei, ahli terapi pekerjaan membawa pesakit keluar dalam lawatan masyarakat yang melibatkan perjalanan bas singkat ke pusat membeli-belah berdekatan untuk makan tengah hari.
Ahli fisioterapi kanan, Encik Keen Austria, yang berpengalaman lebih sedekad, pula berkata latihan kekuatan yang dijalankan dalam kenderaan ini membantu meningkatkan keyakinan pesakit lebih awal, walaupun mereka belum bersedia kembali kepada rutin luar hospital.
Hospital masyarakat menjadi perantara bagi hospital besar dan rumah pesakit, memberi tumpuan kepada pemulihan serta persediaan hidup harian selepas pesakit pulang dari hospital.
Di Hospital Masyarakat St Andrew di Bedok, yang mempunyai 100 katil untuk rawatan masyarakat dan 140 katil untuk penjagaan peralihan, pesakit biasanya menetap di sana sehingga tiga minggu.
Sesi fisioterapi dan terapi pekerjaan dijalankan serentak bagi memulihkan kekuatan badan dan keupayaan melakukan tugas harian.
Gerabak tren itu didermakan oleh Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) pada 29 April, bas oleh SBS Transit pada 26 Jun, dan teksi oleh ComfortDelGro pada 7 Julai.
Menurut jurucakap SBS Transit, Cik Grace Wu, bas tersebut akan ditempatkan di hospital berkenaan selama tiga tahun sehingga April 2028.
Encik Austria berharap pesakit tidak hanya bergantung kepada teksi, kerana kebanyakan daripada mereka masih boleh kembali bergerak dalam masyarakat dengan latihan dan pendekatan terapi yang betul.
Gerabak MRT tersebut adalah antara 66 tren generasi pertama yang ditamatkan perkhidmatan pada September selepas berkhidmat selama 38 tahun.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital (CEO) Hospital Masyarakat St Andrew, Dr Loh Yik Hin, berkata keupayaan menggunakan pengangkutan awam merupakan langkah penting bagi pesakit warga emas untuk kembali kepada kehidupan normal dan berhubung semula dengan orang tersayang.
Beliau menegaskan kenderaan yang didermakan ini memberi mereka peluang untuk menjalani kehidupan lebih bermakna.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg