KUNJUNGAN ke Pasar Geylang Serai selalunya lengkap dengan serba-serbi keperluan dapur.
Namun, semalam, pengunjung di pasar popular itu, yang kebanyakannya di sana sibuk membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidiladha, pulang dengan kekecewaan dan jumlah beg plastik yang sedikit daripada selalunya.
Mereka yang ditemui Berita Harian (BH) di pasar itu semalam rata-rata terkejut dan hampa apabila mendapati bahawa semua gerai menjual ikan dan makanan laut ditutup.
Ini setelah beberapa kes jangkitan Covid-19 melibatkan 12 lagi pasar dan pusat makanan dikenal pasti Kementerian Kesihatan (MOH) kelmarin.
Sebahagian besar kes adalah penjual ikan yang dipercayai dijangkiti semasa ke Pelabuhan Perikanan Jurong bagi mendapatkan bekalan ikan.
Sehingga semalam, kelompok itu kini melibatkan 13 pasar dan pusat makanan.
Dua daripadanya, Pasar dan Pusat Makanan Hong Lim dan Pasar dan Pusat Makanan Chong Boon di 453A Ang Mo Kio Avenue 10 masing-masing telah ditutup sejak kelmarin dan semalam, selama dua minggu, bagi memutuskan rantaian jangkitan dan membolehkan pembersihan menyeluruh dijalankan di premis itu.
Lagi 11 pasar atau pusat makanan di mana penjual ikan dikesan diuji positif bagi Covid-19 adalah: Pusat Makanan Amoy Street, Pasar dan Pusat Makanan Chong Pang, Pasar Whampoa, Blok 11 Telok Blangah Crescent, Pasar Taman Jurong, Pasar Redhill, Pasar Geylang Bahru, Pasar Geylang Serai, Pasar Blok 527 Ang Mo Kio, Pasar Blok 726 West Coast dan Pasar Bukit Timah.
Ketika lawatan BH di Pasar Geylang Serai sekitar 10 pagi semalam, bahagian gerai menjual ikan dan makanan laut kelihatan sunyi dan kosong, manakala bahagian gerai yang menjual daging, sayur-sayuran dan rempah-ratus sibuk dengan orang ramai yang berbelanja jelang sambutan Hari Raya Haji esok.
Antara mereka ialah Cik Nur Fariza Suleman, 22 tahun.
"Agak terkejut juga sebab kami datang ke sini untuk beli udang tapi apabila masuk, kedai ikan dan makanan laut semua tutup. Terpaksa batalkan rancangan itu dan hanya beli keperluan masakan lain," kata beliau, yang tinggal di Woodlands.
Cik Sarimah Asari, 37 tahun, turut berkongsi pandangan serupa.
"Kami tidak tahu yang kedai ikan dan makanan laut di sini akan tutup hari ini. Agak terkejut. Rasa hampa juga sebab kami datang dari jauh," kata pegawai logistik itu yang tinggal di Bukit Panjang.
Dalam satu kenyataan semalam, Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) berkata semua gerai menjual ikan dan makanan laut di pasar yang diuruskan agensi itu atau pengendali yang dilantik agensi itu tidak dibenarkan dibuka pagi semalam.
Langkah itu adalah sebagai langkah berjaga-jaga untuk mengelak daripada sebarang jangkitan terus merebak.
Gerai yang tidak menjual ikan atau makanan laut boleh terus beroperasi sementara ujian Covid-19 bagi pegerai yang terjejas dilaksanakan dalam tempoh beberapa hari seterusnya, tambah NEA.
Pegerai terjejas sudah atau akan menerima SMS Amaran Risiko Kesihatan (HRW) daripada MOH untuk menjalani ujian reaksi rantaian polimerase (PCR) di pusat ujian tertentu.
Sehingga mereka diuji negatif, mereka perlu mengasingkan diri dan tidak boleh keluar rumah. Hanya setelah menerima keputusan ujian PCR negatif, mereka akan boleh menyambung semula perniagaan.
Laporan lanjut:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg