Sebagai peniaga, bukan mudah untuk Encik Husin Yusof Ibrahim mencari masa untuk bercuti mahupun berehat daripada perniagaannya.
Lantaran itu, penutupan pasar Geylang Serai selama tiga bulan sehingga Oktober ini, memberi sedikit kelegaan kepada pemilik kedai Tokoh Hajah Ayenon itu.
Setelah sekian lama merancang, akhirnya beliau mendapat masa lapang untuk memenuhi impian menunaikan umrah bersama isteri pada September ini.
“Sebelum ini, saya memang sudah ada perancangan untuk melakukan umrah cuma belum ada kesempatan.
“Memandangkan kini saya sudah mempunyai cuti, saya ambil peluang ini,” ujar Encik Husin, 57 tahun, yang telah giat dalam perniagaan keluarganya sejak 1987.
Tokoh Hajah Ayenon merupakan kedai yang dimulakan arwah ayahnya pada 1967, di mana mereka mula menjual perkakas rumah.
Kini, kedai tersebut dikenali dengan menjual pakaian Muslim dan Muslimah seperti baju kurung, tudung dan telekung.
Encik Husin percaya bahawa cabaran selama tiga bulan ini dapat diatasi jika beliau melakukan persiapan awal.
“Kalau kita hidup berlandaskan agama, tidak ada masalah.
“Kita tenang sahaja, yang penting kita kena ada persediaan,” katanya, yang sudah mula melakukan persiapan awal sejak sebelum bulan puasa lagi.
Ini seperti memastikan adanya dana simpanan agar beliau dapat menghadapi tempoh penutupan ini dengan tenang.
Selain cabaran dari segi kewangan, Encik Husin percaya bahawa mengekalkan pelanggan untuk terus mengunjungi kedainya selepas penutupan pasar Geylang Serai juga merupakan sesuatu yang mencabar.
Namun, beliau yakin bahawa ia dapat diatasi dengan melayani pelanggan dengan cara yang baik dan ikhlas.
“Pelanggan yang sudah lama dengan kita akan selesa. Kalau kita layan mereka dengan baik, mereka akan datang kembali,” ujar beliau.
Beliau turut bersyukur atas sokongan yang diberikan pihak berkuasa seperti Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) yang mengecualikan harga sewa kedai buat semua peniaga lantas meringankan beban kewangannya.
Untuk menambah pendapatan kedainya, Encik Husin juga akan mengusahakan mencari pasar lambak supaya anak lelaki sulungnya dapat bantu menjual barangan kedainya selama tiga bulan ini.
Menurut Encik Husin, anak sulungnya yang berusia 29 tahun itu, mempunyai minat dalam perniagaan dan mengharapkan beliau untuk meneruskan perjuangan yang telah lama dibina keluarganya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg