Topik diikuti
Pergi ke BHkuGerakan berjalan pantas dilancar di utara S’pura
Gerakan berjalan pantas dilancar di utara S’pura
Ye Kung: HPB akan rintis ciri-ciri baru dalam aplikasi ‘Healthy 365’ di utara mulai Jun
Gerakan berjalan pantas dilancar di utara S’pura
Penduduk Singapura yang menetap di kawasan utara kurang bersenam berbanding penduduk di bahagian lain di negara ini, dan secara amnya mempunyai tahap kesihatan kurang memuaskan.
Demikian menurut Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, ketika melancarkan gerakan berjalan pantas baru di Sembawang Central yang bertujuan meningkatkan tahap kesihatan penduduk di kawasan tersebut.
Justeru, beberapa program kesihatan akan dilaksanakan di bahagian utara terlebih dahulu dan sekiranya berjaya, ia bakal diperluaskan ke serata negara.
“Di utara, situasi kesihatan tidak begitu ideal. Kadar darah tinggi (penduduk) lebih tinggi, begitu juga kadar diabetes kami,” kata Encik Ong pada 12 April.
“Memandangkan situasi ini, kami melaksanakan beberapa program di utara terlebih dahulu. Kami berharap setelah ia berjaya, kami dapat memperluaskannya ke seluruh Singapura.”
Berjalan pantas merupakan senaman paling ringkas dan paling mudah dimulakan bagi ramai orang, kata Encik Ong, yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Sembawang.
Berdasarkan data yang dikumpul oleh Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), masa median yang diluangkan untuk aktiviti fizikal bagi penduduk di utara ialah 100 minit setiap minggu, berbanding median nasional iaitu 120 minit, jelas Encik Ong.
Golongan dewasa disyorkan untuk melakukan sekurang-kurangnya 150 minit senaman dengan kadar sederhana – termasuk berjalan pantas – setiap minggu.
Pada 12 April, Encik Ong telah mengetuai aktiviti berjalan pantas beramai-ramai di Bukit Canberra yang melibatkan 500 penduduk bagi merasmikan gerakan berjalan pantas ‘Let’s Jalan’ di Sembawang Central.
Program ini merupakan usaha sama dengan Majlis Sukan Singapura (SportSG) dan Pusat Penuaan Aktif (AAC) bagi menggalak penduduk menubuhkan kelab berjalan pantas serta menggalak mereka melakukan aktiviti fizikal secara tetap.
Setakat ini, terdapat tujuh kelab berjalan pantas dengan keahlian melebihi 280 orang di Sembawang Central.
Selaras dengan gerakan baru ini, HPB juga akan menguji ciri-ciri baru dalam aplikasi Healthy 365 sebagai projek perintis di kawasan tersebut.
Kementerian Kesihatan (MOH) sebelum ini telah mengumumkan penerapan ciri-ciri gamifikasi atau unsur permainan baru dalam aplikasi tersebut semasa perbahasan Belanjawan pada Mac.
Menurut MOH, ciri tersebut bakal diperkenalkan secara berperingkat mulai Jun 2026.
Dalam satu kenyataan bersama Persatuan Rakyat (PA) pada 12 April, HPB memaklumkan bahawa ciri baru tersebut merangkumi peta lokasi sudut kecergasan, taman-taman, serta laluan berjalan kaki seperti rangkaian penghubung taman dan jejak warisan.
Ciri penunjuk arah ini juga boleh digunakan untuk merancang laluan berjalan kaki, selain menawarkan cadangan senaman bagi setiap sudut kecergasan yang dikunjungi.
Ini bertepatan dengan tujuan pengenalan ciri tersebut iaitu menggalak penduduk untuk bersenam.
Pengguna bakal memperoleh 20 mata kesihatan ‘Healthpoints’ apabila mereka mendaftar masuk (check-in) di lokasi-lokasi yang ditetapkan.
Bonus sebanyak 300 ‘Healthpoints’ pula akan diberikan kepada penduduk yang tidak aktif atau baru memulakan aktiviti fizikal, sebagai galakan untuk mereka mengamalkan gaya hidup aktif.
Mata ganjaran tersebut boleh digunakan untuk menebus pelbagai ganjaran, termasuk baucar pasar raya dan pengangkutan.
Ciri ini akan diuji di Woodlands dan Sembawang Central, dengan butiran lanjut bakal diumumkan pada Jun.
Ditanya sebab penduduk di utara didapati kurang sihat berbanding kawasan lain, Encik Ong berkata terdapat kemungkinan penduduk yang aktif di utara tidak menggunakan aplikasi Healthy 365, yang merupakan antara sumber data HPB.
“Saya benar-benar tidak tahu. Kita bukanlah ada lebih banyak stesen MRT atau perhentian bas berbanding kawasan lain, tetapi inilah yang ditunjukkan oleh data Healthy 365,” jawab beliau.
Encik Ong berharap gerakan ini akan mendapat sambutan “supaya aktiviti berjalan kaki menjadi sebahagian daripada cara hidup semua rakyat Singapura”.
