Menjelang Ramadan, umat Islam Singapura akan bersiap sedia untuk Hari Raya, termasuk menyediakan pakaian baru.
Ada yang membeli atau menempah berhelai-helai pakaian, hingga menyebabkan pembaziran.
Dengan keprihatinan terhadap pembaziran dalam industri fesyen, pereka Cik Hafizah Ghazali, memperjuangkan amalan fesyen yang mampan dan beretika.
Jenamanya Hafizah Ghazali menyokong pendekatan berhemah semasa menyediakan pakaian untuk musim perayaan.
Dengan pelancaran koleksi Hari Raya, Cik Hafizah berkongsi dengan Berita Minggu, bagaimana fesyen boleh tetap bergaya dan pada masa yang sama kekal mampan.
Jenama Hafizah Ghazali, memulakan perjalanannya dalam fesyen mampan pada 2015.
Walaupun beliau sentiasa meminati bidang reka pakaian, pengalamannya menyelaraskan inisiatif pemuliharaan untuk sebuah pertubuhan bukan pemerintah (NGO) pada 2016 yang mendorongnya untuk menjenamakan semula labelnya menjadi jenama fesyen perlahan atau slow fashion, serta fesyen mampan pada 2018.
“Saya mahu menggabungkan kecintaan saya terhadap fesyen dengan tanggungjawab terhadap alam sekitar,” jelas Cik Hafizah.
“Kami menghasilkan pakaian dalam jumlah kecil, berkualiti tinggi dan boleh tahan lama berbanding pakaian yang dihasilkan secara besar-besaran yang mengikut trend pantas atau fast fashion.
“Kami bekerjasama dengan rumah pengeluaran kecil dan tukang yang mengamalkan standard etika ini,” tambahnya.
Jenama itu juga mengikut dasar bebas plastik dan telah melancarkan inisiatif seperti buy-one-plant-one program di mana pembelian setiap baju akan dipadankan dengan langkah menanam satu pokok.
Walaupun kesedaran tentang kemampanan semakin meningkat, Cik Hafizah mengakui bahawa menyokong fesyen lebih hijau bukanlah tanpa cabaran.
“Maklum balas bercampur-campur, tetapi kebanyakannya positif.
“Selama bertahun-tahun, kami telah membina masyarakat pelanggan yang menyokong, terutamanya dalam kalangan generasi muda yang lebih cenderung untuk mengamalkan tabiat membeli-belah yang mampan,” kongsinya.
Dalam kemeriahan membeli-belah barangan Hari Raya, Cik Hafizah menggalakkan pengguna membuat pilihan pakaian yang bijak.
“Labur dalam pakaian berkualiti tinggi yang tahan lama, pilih pakaian serba boleh yang boleh dipakai selepas Raya dan senang dipadankan dengan pakaian harian.
“Paling penting, pilih sesuatu yang sesuai dengan gaya peribadi anda daripada membeli ikut sesuka hati,” nasihat Cik Hafizah.
Beliau juga mengingatkan masyarakat tentang makna yang lebih mendalam di sebalik Ramadan dan Hari Raya.
“Kesederhanaan dan penjagaan alam sekitar berakar umbi dalam kepercayaan agama kita.
“Ramadan adalah masa untuk muhasabah secara rohani dan mengamalkan kesyukuran.
“Menyelaraskan tabiat membeli-belah dengan nilai-nilai ini dapat membantu kita menjalani Ramadan dengan penuh bermakna tanpa membazir,” ujarnya.
Untuk koleksi rayanya, Cik Hafizah telah mendapat inspirasi daripada koleksi raya pertamanya 10 tahun lalu, menerapkan batik, kain yang kaya dengan budaya dan sejarah.
“Batik adalah ringan, kainnya tidak panas, dan boleh tahan lama. Ia mengatasi trend bermusim dan meraikan ketukangan tempatan,” kata Cik Hafizah.
Koleksi ini menampilkan kain yang dibuat sepenuhnya daripada bahan gantian semula jadi seperti kapas organik dan buluh.
“Keselesaan adalah kunci, terutamanya dengan iklim Singapura.
“Poliester tidak boleh digunakan seharian di luar dengan keadaan cuaca yang panas,” tambahnya.
Beliau juga menekankan kepentingan mengubah kegunaan dan mengitar semula pakaian selepas raya.
“Pakaian yang anda tidak mahu lagi selalunya adalah pakaian yang anda tidak perlukan pada mulanya.
“Berhati-hati menilai pembelian anda untuk mengelakkan ‘minda pakaian pakai buang’.
“Bagi pakaian yang ditempah untuk majlis khas, pertimbangkan cara dan potongan lain untuk menyesuaikan baju itu bagi acara santai atau untuk kelas agama,” kata Cik Hafizah.
Di luar bidang fesyen, Cik Hafizah melanjutkan usaha kelestariannya melalui Pokokita, inisiatif penanaman pokok yang dilancarkannya pada 2020.
“Kami menanam pokok untuk setiap pembelian yang dibuat. Ini bukan sahaja mengimbangi jejak alam sekitar pengeluaran pakaian tetapi juga melibatkan masyarakat dalam usaha penghutanan semula,” jelasnya.
Pada Mei 2024, Pokokita berkembang ke Palestin.
“Apabila penempatan terus berlaku, tanah Palestin semakin banyak diambil dan pokok asli dicabut.
“Semasa memperjuangkan hak asasi manusia rakyat Palestin, kebimbangan alam sekitar sering diabaikan,” kata Cik Hafizah.
Sambutan kepada Pokokita sangat positif, dengan kedua-dua pelanggan dan orang ramai menunjukkan sokongan padu.
“Fesyen mampan dan advokasi alam sekitar berjalan seiring.
“Jenama saya lebih daripada sekadar jenama pakaian, ia adalah advokasi berasaskan tindakan.
“Melalui advokasi kami ini, kita semua memberi kesan secara kolektif ke atas bumi ini,” ujar Cik Hafizah.
Cik Hafizah mengingatkan masyarakat supaya berbelanja secara sederhana.
“Pilih kualiti berbanding kuantiti, pilih reka bentuk yang boleh kekal lama dan pilih fabrik semula jadi, yang ringan seperti kapas dan sutera.
“Dengan perubahan kecil dan penuh perhatian, kita boleh menyambut Raya dengan gaya dan kemampanan,” jelasnya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg