Gerakan Pekerja mengalu-alukan langkah-langkah baru untuk menyokong pekerja yang menganggur tanpa pilihan melalui bantuan kewangan sementara dan peningkatan kepada cuti ibu bapa yang dibayar pemerintah yang diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, dalam ucapan sulung Rapat Hari Kebangsaan (NDR) beliau pada Ahad.
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, berkata beliau gembira melihat “langkah-langkah baik dan berani” dalam ucapan Encik Wong yang memberi sokongan praktikal kepada rakyat Singapura dalam menangani keperluan pekerjaan, keluarga, perumahan dan pendidikan.
“Bersama, usaha ini akan membentuk sebuah masyarakat yang lebih berjaya, penyayang dan terangkum,” tulis beliau dalam satu catatan di Facebook pada 18 Ogos.
Dalam ucapan NDR beliau di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central di Ang Mo Kio pada 18 Ogos, Encik Wong mengumumkan sebuah Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru yang akan memberi tumpuan pada usaha membantu pekerja berpendapatan rendah dan pertengahan yang hilang pekerjaan, seperti diberhentikan kerja atau hilang pekerjaan kerana syarikat gulung tikar.
Di bawah skim ini, pekerja yang terjejas boleh mendapat sokongan sehingga $6,000 secara keseluruhan selama tempoh sehingga enam bulan.
Namun, mereka perlu menjalani latihan, menyertai sesi bimbingan kerjaya dan khidmat pemadanan kerja demi memastikan mereka dapat mencari peluang pekerjaan lebih baik.
Encik Wong turut mengumumkan ibu bapa yang bekerja yang layak dengan bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2025 boleh mengambil Cuti yang Dikongsi Ibu Bapa (SPL) selama enam minggu dalam fasa pertama.
Ini akan dinaikkan kepada 10 minggu bagi bayi warga Singapura yang dilahirkan pada atau selepas 1 April 2026 dalam fasa kedua.
Encik Ng berkata NTUC telah lama memperjuangkan daya utama mengadakan sokongan kewangan sementara untuk pekerja yang menganggur tanpa pilihan, yang timbul daripada pendekatan NTUC bersama pekerja dan pemimpin kesatuan.
“Saya amat menghargai PM Wong dan pemerintah kerana menyahut seruan Gerakan Pekerja,” kata beliau.
“Para Anggota Parlimen (AP) pekerja secara aktif memperjuangkan hak ibu bapa yang bekerja dan pengumuman hari ini mengenai cuti ibu bapa yang dikongsi (bagi ibu bapa dengan anak baru lahir) sememangnya berita amat baik!
“NTUC akan terus berada di samping pekerja kerana #EveryWorkerMatters (setiap pekerja penting),” tambah beliau.
Beberapa AP pekerja turut menyambut baik langkah-langkah baru yang diumumkan untuk membantu pekerja dan juga ibu bapa yang bekerja.
Penolong Setiausaha Agung NTUC dan AP SMC Pioneer, Encik Patrick Tay, berharap Skim Bantuan Pencari Kerja SkillsFuture baru itu akan mengurangkan kebimbangan pekerja yang hilang pekerjaan dan memberikan dorongan sedang mereka mencari pekerjaan baru.
Selain bantuan kewangan, Encik Tay berharap skim itu mudah diakses pencari kerja, disepadukan dengan bimbingan kerjaya dan khidmat pemudahan pekerjaan, sambil memberi insentif kepada pencari kerja untuk kembali bekerja, seperti yang dinyatakan Encik Wong dalam ucapannya.
“Ini penting kerana saya percaya ini akan memperkasa mereka yang menganggur tanpa pilihan dengan sumber yang diperlukan bagi pencarian pekerjaan secara aktif dan peningkatan kemahiran, membantu mereka mendapatkan pekerjaan baru yang memenuhi matlamat kerjaya mereka.
“Saya juga berharap skim itu akan menyediakan perlindungan yang memberi jaminan untuk pekerja, termasuk golongan karyawan, pengurus dan eksekutif (PME) kita, agar mereka boleh bangkit kembali bekerja dengan bantuan daripada skim ini,” kata beliau di Facebook.
Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) South East dan AP GRC Marine Parade, Encik Mohd Fahmi Aliman, pula berkata skim baru itu serta peningkatan lain kepada SkillsFuture seperti tokokan kredit $4,000 pada Mei untuk rakyat Singapura berusia 40 tahun dan ke atas, dan elaun latihan yang diberikan di bawah Program Peningkatan SkillsFuture untuk pekerja yang ambil kursus latihan, adalah “pakej” untuk membantu pekerja.
“Ini akan memberi satu kesan yang begitu bagus sekali kepada setiap individu yang mahu bertukar kerja, untuk mencari kemahiran yang lebih tinggi. Ini adalah semangat pembelajaran sepanjang hayat.
“Oleh itu, saya ingin menguar-uarkan kepada semua supaya mengambil peluang ini untuk terus mempertingkatkan diri mereka,” kata beliau, yang juga Pengarah Divisyen Operasi dan Mobilisasi NTUC.
Penolong Setiausaha Agung NTUC, Cik Yeo Wan Ling, pula berkata pengumuman berkenaan peningkatan kepada cuti ibu bapa yang dibayar pemerintah akan menyediakan lebih banyak kemajuan di tempat kerja dalam membiasakan golongan bapa menggalas lebih banyak tanggungjawab penjagaan keluarga.
Cik Yeo, yang juga Pengarah Unit Wanita dan Keluarga di NTUC, turut berkata beliau gembira langkah cuti bersalin dan cuti paterniti yang dipertingkat itu akan terus dilanjutkan kepada individu yang bekerja sendiri dan pekerja bebas.
“Lebih ramai rakyat Singapura memilih menjadi pekerja bebas disebabkan sifat fleksibel pekerjaan sedemikian, ramai yang melakukan demikian kerana mereka adalah penjaga kepada orang tersayang.
“Langkah-langkah ini sudah pasti akan memberikan kelegaan kepada masyarakat ini,” kata beliau, yang juga AP GRC Pasir Ris-Punggol.
“
Ini akan memberikan satu kesan yang begitu bagus sekali kepada setiap individu yang mahu bertukar kerja, untuk mencari kemahiran yang lebih tinggi. Ini adalah semangat pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu, saya ingin menguar-uarkan kepada semua untuk mengambil peluang ini untuk terus mempertingkatkan diri mereka

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg