Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeran $20j, ruang santai dan kediaman hidup berdikari antara usaha perkasa belia
Geran $20j, ruang santai dan kediaman hidup berdikari antara usaha perkasa belia
Antara lebih 20 inisiatif di bawah Pelan Belia SG – pelan hala tuju lima tahun Singapura bagi pembangunan belia
Geran $20j, ruang santai dan kediaman hidup berdikari antara usaha perkasa belia
Geran bernilai $20 juta bagi 3,000 projek pimpinan belia, 12 ‘ruang ketiga’ fizikal baharu, dan pilihan kediaman berpatutan bagi belia hidup berdikari akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang.
Ketiga-tiga usaha itu adalah antara lebih 20 inisiatif di bawah Pelan Belia SG – pelan hala tuju lima tahun (2026 hingga 2030) Singapura bagi pembangunan belia.
Pelan itu dilancarkan pada 25 Julai oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Menteri Negara Kanan (Pendidikan), Encik David Neo, di Forum Belia SG di Pusat Konvensyen Suntec City.
Sebagai usaha kebangsaan, pelan itu berhasrat membina belia Singapura yang yakin, terhubung serta berdaya menyumbang di tengah-tengah dunia yang tidak menentu.
Tiga teras utama itu merupakan aspirasi penting belia hari ini, seperti yang didapatkan menerusi maklum balas Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) dan Majlis Belia Kebangsaan (NYC).
MCCY dan NYC telah mengadakan sesi libat urus dengan lebih 60,000 belia serta mengumpul lebih 415,000 maklum balas daripada golongan belia dan pihak berkepentingan antara November 2024 hingga Mac 2026.
Dalam satu kenyataan bersama MCCY dan NYC pada 25 Julai, 76 peratus belia menyuarakan keyakinan terhadap masa depan Singapura.
Namun, 66 peratus daripada belia bimbang tentang masa depan mereka sendiri.
Selain itu, 8 peratus belia – daripada 3,500 belia yang ditinjau di bawah Tinjauan Belia Kebangsaan (NYS) pada suku keempat 2025 hingga suku pertama 2026 – mengakui bahawa mereka tidak mempunyai rakan yang akrab.
Ini menunjukkan bahawa lingkaran sosial mereka semakin mengecil dalam persekitaran digital hari ini yang serba terhubung.
Belia juga menganggap hubungan kekeluargaan sebagai perkara penting, dengan 93 peratus menyifatkan hubungan keluarga yang erat sebagai matlamat hidup yang utama.
MCCY dan NYC berkata: “Belia di Singapura tetap optimis dan berhasrat untuk menyumbang kepada masyarakat, meskipun berdepan ketidakpastian dalam dunia yang kian berubah.
“Namun, ikatan bersama rakan dan keluarga – yang menjadi sistem sokongan utama golongan muda – berisiko terhakis dalam dunia yang serba digital.”
Kenyataan tersebut menambah bahawa cabaran yang dihadapi belia Singapura bukanlah sesuatu yang unik.
“Di seluruh dunia, golongan muda sedang mengharungi gabungan tekanan ekonomi, sosial dan teknologi yang belum pernah berlaku sebelum ini,” tambah kenyataan itu.
Sesuai dengan itu, kenyataan itu menyatakan pelan belia tersebut – kerjasama antara sektor awam, masyarakat dan swasta – bertujuan memberikan belia sokongan positif serta membantu mereka berkembang dalam dunia yang kian bergolak.
Setakat Julai 2026, lebih 200 rakan kongsi telah menyatakan komitmen untuk menyumbang kepada lebih 20 inisiatif yang disediakan di bawah pelan tersebut.
Yayasan Mendaki merupakan antara mereka yang akan terlibat untuk menjalankan inisiatif ‘Kredit Ingin Tahu’ atau Curiosity Credit serta meluaskan peluang bimbingan.
Program ‘Kredit Ingin Tahu’ itu merupakan antara inisiatif yang akan disediakan menerusi Pelan Belia SG, di mana belia berusia 13 hingga 17 tahun daripada badan bantu diri bakal mendapat kredit peribadi untuk mempelajari kemahiran mengikut minat mereka.
Selain itu, rangkaian 12 ‘ruang ketiga’ atau third-spaces baharu juga akan disediakan, di mana belia boleh berhimpun, berinteraksi dan berseronok.
Ruang ketiga itu akan disediakan di serata Singapura termasuk kawasan kediaman.
Antaranya ialah MEMBINA Community di Kampong Gelam, The Collective di Woodlands, dan Circle di Kelab Masyarakat (CC) Nee Soon Central.
Ruang ketiga itu merupakan tambahan kepada Jalur Somerset yang akan direka semula khusus untuk belia menjelang 2028.
Jalur Somerset – sebuah daerah dinamik rekaan belia – akan menyediakan program dan aktiviti mengikut keperluan serta minat belia.
Sementara itu, pengendali swasta juga akan menawarkan lebih 100 unit kediaman untuk belia hidup berdikari.
Menurut NYS 2025, seramai 95 peratus belia mempunyai matlamat utama untuk memiliki tempat kediaman sendiri.
Lantas, dua pengendali swasta – Coliwoo dan Eco-Energy – akan menyediakan kediaman pada kadar diskaun bagi belia berusia 21 hingga 35 tahun untuk menimba pengalaman hidup berdikari.
Kadar sewa itu ditawarkan pada $1,800 hingga $2,000 sebulan, berbanding harga asal $2,500 hingga $3,000.
NYC juga akan memperuntukkan $20 juta daripada Dana Belia Kebangsaan (NYF) untuk menyokong sehingga 3,000 projek belia bagi lima tahun akan datang.
Ini susulan tinjauan belia kebangsaan 2016 hingga 2025, yang mendapati bahawa 8 daripada 10 belia menganggap sumbangan kepada masyarakat sebagai matlamat utama kehidupan.
Melalui geran itu, belia boleh menggunakan pelbagai sokongan dan wadah untuk mengubah idea menjadi projek berimpak positif kepada masyarakat.
Bantuan kewangan itu akan dilaksanakan menerusi Geran Mikro baharu sebanyak $1,000 yang dibuka sepanjang tahun.
Ini turut merangkumi wadah Pasaran Tindakan Belia yang diadakan dua kali setahun untuk projek belia yang berpotensi agar mereka dapat membentangkan cadangan untuk mendapatkan dana lebih tinggi dan sokongan daripada rakan kongsi swasta, awam serta filantropi, seperti geran Young ChangeMakers.