Topik diikuti
Pergi ke BHkuGeran baharu ringankan kos operasi ladang S’pura dek krisis Timur Tengah
Geran baharu ringankan kos operasi ladang S’pura dek krisis Timur Tengah
Geran sekali sahaja pastikan pengeluaran makanan tempatan tidak terganggu dengan kos tenaga, logistik meningkat
Geran baharu ringankan kos operasi ladang S’pura dek krisis Timur Tengah
Agensi Makanan Singapura (SFA) bakal melancarkan geran baharu bagi membantu pengeluar pertanian tempatan mengimbangi peningkatan perbelanjaan operasi akibat krisis di Timur Tengah.
Langkah ini turut memastikan pengeluaran makanan tempatan berjalan lancar dan tidak terganggu.
Geran Sokongan Daya Tahan Perniagaan Ladang sekali sahaja itu yang jumlahnya tidak didedahkan bertujuan meringankan beban kos tenaga, logistik dan kargo yang meningkat, kata SFA pada 31 Julai.
Peningkatan perbelanjaan ini berlaku di samping cabaran tenaga kerja sedia ada, serta dorongan untuk menjadi lebih produktif menerusi penggunaan teknologi pertanian dan penternakan lebih meluas.
Ketika mengumumkan langkah baru itu pada 31 Julai, Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, berkata geran baharu tersebut akan meringankan tekanan kos bahan api, baja dan lain-lain.
“Kami ingin menyokong mereka agar kapasiti (pengeluaran) tempatan terus mampan, dan membantu mereka mengharungi krisis ini,” kata Cik Fu, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan.
Beliau berkata demikian semasa melawat Pusat Penetasan Akuakultur Prime di Pulau Ketam, berhampiran pesisir Pulau Ubin.
Geran Sokongan Daya Tahan Perniagaan Ladang itu akan diambil daripada komponen peningkatan keupayaan teknologi Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan, yang dilancarkan pada 2021 dengan peruntukan bernilai $60 juta.
Suntikan kedua bernilai $70 juta di bawah dana berkenaan telah diumumkan pada Mac lalu.
Semua ladang tempatan yang memegang lesen ladang sah setakat 1 Ogos, dan telah menyumbang kepada pengeluaran tempatan bahan serat atau protein layak menerima sokongan ini.
Ini merangkumi ladang yang mengeluarkan sayur-sayuran berdaun atau berbuah, cendawan dan tauge, serta ladang yang mengeluarkan telur ayam dan makanan laut.
Ladang sedemikian membentuk sebahagian besar daripada 206 ladang berlesen di Singapura.
Sokongan yang diberikan akan berubah bergantung pada jenis dan jumlah hasil pengeluaran ladang berkenaan, kata agensi itu, sambil menambah ia akan menghubungi pihak ladang untuk menyampaikan maklumat lanjut pada Ogos.
SFA berkata geran baru ini diberikan di samping geran tunai sekali sahaja yang diumumkan baru-baru ini.
Geran tersebut membolehkan syarikat kecil dan sederhana (SME), termasuk ladang tempatan, menerima $500 bagi setiap pekerja tempatan sehingga jumlah maksimum $2,500 bagi setiap syarikat.
Menyusuli siri cabaran yang dihadapi ladang tempatan sejak beberapa tahun kebelakangan ini – daripada penurunan pengeluaran hingga penutupan ladang – Singapura telah memansuhkan sasaran pengeluaran tempatan ‘30 menjelang 30’ pada November 2025.
Matlamat itu sebelum ini menyasar untuk mengeluarkan 30 peratus daripada keperluan pemakanan negara secara tempatan menjelang 2030.
Sasaran 2030 itu digantikan dengan matlamat baharu bagi pengeluaran tempatan untuk memenuhi 20 peratus daripada keperluan serat dan 30 peratus daripada keperluan protein penduduk Singapura menjelang 2035.
“
“Kami ingin menyokong mereka agar kapasiti (pengeluaran) tempatan terus mampan, dan membantu mereka mengharungi krisis ini.”