Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ladang pertanian menegak dalam bangunan tertinggi di dunia dilancar di S’pura

Bernilai $80j, ladang hidroponik dipacu AI ini boleh hasilkan sehingga 2,000 tan sayur setahun
Jan 7, 2026 | 6:49 PM
Ladang pertanian, S’pura, agroteknologi Greenphyto, keselamatan makanan
Presiden Tharman Shanmugaratnam (kanan) diberi taklimat oleh pengasas firma agroteknologi Greenphyto, Cik Susan Chong (kiri), tentang sayur-sayuran yang ditanam di ladang pertanian menegak dalam bangunan syarikat itu yang terletak di Tukang Innovation Drive pada 7 Januari. Bersama Tuan Presiden ialah (dua dari kiri) Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; dan Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad (dua dari kanan, terselindung). - Foto ST

Keupayaan pengeluaran makanan Singapura kini dipertingkat dengan pelancaran ladang pertanian menegak dalam bangunan yang tertinggi di dunia oleh syarikat agroteknologi tempatan, Greenphyto, pada 7 Januari.

Ladang hidroponik bernilai $80 juta itu beroperasi dengan memanfaatkan automasi sepenuhnya dan dipacu oleh kecerdasan buatan (AI) serta robot perkilangan canggih.

Terletak dalam bangunan lima tingkat, ladang pertanian menegak setinggi 23.3 meter itu mampu menghasilkan sehingga 2,000 tan sayur-sayuran setahun pada kapasiti penuh.

Bangunan tersebut terletak dalam kawasan seluas dua hektar – sama seperti kira-kira tiga padang bola sepak – di Tukang Innovation Drive dekat Jurong West.

Syarikat Greenphyto dalam kenyataannya berkata ladang itu boleh menjana hasil tanaman yang “45 kali lebih besar” berbanding pertanian tradisional.

Merasmikan pelancaran bangunan lima tingkat tersebut ialah Presiden Tharman Shanmugaratnam, yang hadir selaku tetamu terhormat.

Turut hadir ialah Menteri Kemampanan dan Sekitaran merangkap Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, Cik Grace Fu; Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Pertahanan), Encik Zaqy Mohamad; dan Menteri Negara Kanan (Pejabat Perdana Menteri), Encik Desmond Tan.

Bercakap kepada media di majlis pelancaran, Encik Zaqy berkata ladang pertanian menegak dalam bangunan itu menunjukkan bagaimana agroteknologi boleh menjadi huraian bagi menangani isu kekangan tanah dan sumber di Singapura.

Ini selain menyumbang kepada daya tahan bekalan makanan tempatan.

“Hasil pengeluaran Greenphyto telah menunjukkan cara kita boleh memanfaatkan kawasan tanah yang terhad di Singapura (bagi pertanian), di mana hanya 1 peratus daripada keluasan tanah kita boleh digunakan untuk pertanian.

“Kegiatan pertanian hari ini boleh dijalankan dalam persekitaran perkilangan, dengan kita boleh menjana hasil tanaman yang jauh lebih tinggi berbanding pertanian tradisional.

“Inilah hala tuju kita dari segi bekalan makanan, bukan sahaja untuk mengatasi isu kekangan tanah, bahkan juga kebergantungan pada tenaga, air, dan tenaga kerja, untuk menjadikan pertanian mampan di Singapura,” kata beliau.

Hasil tanaman ladang hidroponik itu telah mula dijual dalam pasaran tempatan sejak 2025 di bawah jenama Hydrogreens yang boleh didapati di 95 pasar raya dan kedai runcit serata Singapura, termasuk FairPrice dan Sheng Siong.

Sayur-sayuran yang dijual termasuk kai lan, chye sim, daun salad – dipasarkan dengan nama Mambo Lettuce – pada harga antara $3.15 dengan $5.50.

Sementara itu, Encik Zaqy turut menekankan pentingnya menangani kos pengeluaran supaya harga sayur-sayuran boleh dimampui orang ramai, serta menggalak pengguna dan perniagaan menyokong produk tempatan.

“Terdapat banyak faktor yang perlu dipertimbangkan sebelum sesebuah ladang itu boleh berjaya,” kata beliau.

“Saya rasa yang lebih penting ialah bagaimana mereka (Greenphyto) akan menangani kos pengeluaran sedang mereka memperluaskan operasi bagi memastikan harga sayur-sayuran boleh dimampui, dan hampir setara dengan apa yang kita bawa masuk daripada negara lain,” kata beliau.

Keupayaan AI dan teknologi yang dimanfaatkan di ladang pertanian itu telah dibangunkan dengan sokongan Program Pemimpin Digital oleh Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA), serta dana daripada Agensi Makanan Singapura (SFA) menerusi Dana Transformasi Kelompok Agro-Makanan (ACT).

Dalam pada itu, Encik Zaqy turut menyentuh tentang usaha pemerintah dalam memastikan ladang pertanian kecil di sini dapat kekal berdaya maju dan mampu menjalani transformasi ke arah pertanian berteknologi tinggi.

“Kami sedang menyemak cara mempertingkatkan fasa seterusnya bagi dana (ACT) ini, dan pastinya, kami akan terus meneliti cara membantu mereka dari segi modal, terutamanya perbelanjaan awal untuk menyokong transformasi.

“Kami memahami bahawa ini bukan sekadar tentang membawa masuk teknologi baru, tetapi juga untuk mendedahkan mereka kepada apa yang sesuai untuk Singapura, dan bagaimana kita boleh meningkatkan penyelidikan dan pengembangan (R&D), sama ada dalam teknologi genetik dan mutu benih atau bidang lain yang boleh kita bantu,” kata beliau.

Ladang baru Greenphyto itu dilancarkan menyusuli penutupan beberapa ladang pertanian berteknologi tinggi di Singapura.

Cabaran yang menjejas ladang sedemikian termasuk kos modal dan tenaga yang tinggi, gangguan rantaian bekalan menyusuli pandemik Covid-19, dan keyakinan yang semakin lemah dalam kalangan pelabur.

Antaranya, pada November 2025, akhbar The Straits Times melaporkan bahawa ladang agroteknologi Growy Singapore ditutup kurang setahun selepas pelancaran rasminya.

Secara berasingan, VertiVegies membatalkan rancangannya untuk membina ladang menegak dalam bangunan pada sekitar 2022, manakala I.F.F.I pula menutup ladang dalam bangunannya yang seluas 38,000 meter persegi.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg