Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Geran rumah ditambah, bantu keluarga di flat sewa miliki rumah

Feb 18, 2025 | 5:33 PM
Geran Perumahan Permulaan Baru bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah dan rentan yang menghadapi lebih banyak cabaran.
Geran Perumahan Permulaan Baru bertujuan membantu keluarga berpendapatan rendah dan rentan yang menghadapi lebih banyak cabaran. - Foto fail

Keluarga rentan yang menetap di flat sewa awam bersama anak mereka boleh menjangka lebih banyak bantuan untuk membeli dan memiliki rumah berikutan peningkatan Geran Perumahan Permulaan Baru, daripada $50,000 kepada $75,000. 

Geran itu boleh digunakan pembeli rumah kali kedua untuk membeli Flexi 2 bilik atau Standard 3 bilik dengan tempoh pajakan lebih singkat.  

Flat Standard terletak di kawasan seperti Woodlands, Yishun, Bukit Batok dan Sengkang dalam pelancaran terbaru.

Ia membentuk sebahagian besar bekalan perumahan dan mempunyai tempoh penginapan minimum (MOP) selama lima tahun tanpa sekatan lain apabila dijual semula.

Skim Perumahan Permulaan Baru juga akan diperluaskan kepada keluarga pembeli kali pertama yang menghadapi cabaran dalam membeli flat dengan pajakan penuh selama 99 tahun. 

Diumumkan Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong dalam Ucapan Belanjawan 2025 pada 18 Februari berkata skim yang diperluaskan itu bertujuan membantu keluarga rentan untuk memulakan kehidupan baru dan memiliki rumah sendiri pada kadar yang lebih berpatutan.

Encik Wong berkata: “Ia (Skim Perumahan Permulaan Baru) membantu keluarga (pembeli) kali kedua dengan anak yang tinggal di flat sewa awam untuk memulakan kehidupan baru mereka dan memiliki rumah sendiri dengan membeli flat baru pajakan lebih pendek dengan geran perumahan tambahan.”

Pada masa ini, hanya keluarga (pembeli) kali kedua yang layak menerima geran $50,000 untuk membeli flat Flexi 2 bilik atau Standard 3 bilik baru dengan pajakan yang lebih pendek, dari 45 hingga 65 tahun.

Sokongan itu akan diperluaskan kepada keluarga (pembeli) kali pertama yang tidak menerima sebarang subsidi. 

Keluarga yang ingin memiliki rumah buat kali pertama “biasanya menghadapi cabaran yang lebih utama dalam hidup, seperti menangani masalah perubatan dalam keluarga, atau membesarkan anak sebagai ibu bapa tunggal”.

“Justeru, keluarga ini mungkin menghadapi kesukaran untuk membeli flat dengan pajakan penuh selama 99 tahun, walaupun buat kali pertama,” tambah Encik Wong.

Golongan tersebut boleh membeli flat Flexi 2 bilik atau Standard 3 bilik baru dengan pajakan lebih pendek pada harga yang lebih berpatutan.

Keluarga kali pertama tidak akan layak menerima geran $75,000, tetapi boleh memanfaatkan Geran Perumahan CPF Dipertingkatkan, yang mengeluarkan sehingga $120,000.

Maklumat lanjut mengenai skim tersebut akan dikongsi semasa perbahasan belanjawan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Di samping itu, keluarga rentan, termasuk mereka yang mengalami tekanan kewangan lebih besar, bakal meraih skim Bantuan ComCare Dipertingkat – Bantuan Jangka Pendek hingga Sederhana (SMTA) ComCare dan Bantuan Jangka Panjang ComCare (LTA) – pada kadar yang lebih tinggi.

Sebagai contoh, sebuah isi rumah satu orang yang mendapat LTA bakal menerima tambahan $120 setiap bulan, menjadikan jumlah bantuan tunai kepada $760 setiap bulan.

Sementara itu, mereka yang mendapat sokongan daripada SMTA juga akan menerima lebih banyak berbanding sebelum ini, bergantung kepada komposisi isi rumah, keperluan dan pendapatan.

Golongan itu turut menerima bantuan kewangan melalui Skim ComLink+ yang diperkenalkan pada 2024, tambah Encik Wong.

Di bawah inisiatif itu, pembimbing dan sukarelawan keluarga bekerjasama dengan keluarga berpendapatan rendah dengan anak yang tinggal di rumah flat sewa HDB untuk menetapkan sasaran bagi matlamat lebih dekat dan jangka panjang, seperti mendapatkan pekerjaan dan menabung untuk rumah.

Apabila keluarga membuat kemajuan, mereka boleh mendapat sehingga $30,000 dalam jumlah pembayaran.  

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg