Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, secara rasmi melancarkan Gerbang Ikonik atau Iconic Arch yang terletak di simpang empat antara Joo Chiat Complex, Pasar Geylang Serai dan Wisma Geylang Serai pada 7 September.
Semasa berucap di majlis pelancaran di Plaza Perayaan di Joo Chiat Complex, Encik Wong berkata pembinaan gerbang itu merupakan detik penting dalam projek Jalur Budaya Geylang Serai (GSCB).
Projek naik taraf GSCB pertama kali diumumkan Menteri Kanan, Encik Lee Hsien Loong, semasa Rapat Hari Kebangsaan 2018 ketika berkhidmat sebagai Perdana Menteri.
Pembinaan Gerbang Ikonik dan kerja naik taraf lain di kawasan itu bertujuan menyuntik nafas baru dari Tanjong Katong Complex hingga Kelab Masyarakat Kampong Ubi.
Kerja naik taraf lain termasuk pembinaan bangku baru, tempat rehat berteduh dan perluasan tempat turun dan naik kenderaan di Joo Chiat Complex dan di luar kawasan Pasar Geylang Serai.
“Reka bentuk Gerbang Ikonik mencerminkan seni bina tradisional Melayu. Dan dengan jalan raya simpang empat di gerbang itu yang baru dicat ini akan menjadi penanda identiti bagi kawasan ini,” ujar Encik Wong.
Menurut Jawatankuasa GSCB, Gerbang Ikonik terdiri daripada tiga tiang yang diperbuat daripada struktur keluli dan disalut dengan panel aluminium. Ketiga-tiga tiang itu bertemu pada dua titik yang membentuk ‘kakinya’.
Tambahnya, Gerbang Ikonik setinggi sekitar 20 meter dan selebar sekitar 30 meter itu menandakan pintu masuk utama ke GSCB.
Sempena pelancaran rasmi gerbang itu, Gerbang Ikonik dan bumbung Pasar Geylang Serai bermandi cahaya berwarna-warni.
Jawatankuasa GSCB terdiri daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Pendidikan dan Ehwal Luar), Dr Mohamad Maliki Osman, selaku pengerusi; Penolong Ketua Eksekutif Persatuan Rakyat (PA), Cik Jeanie Tan; dan Ketua Perancang Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA), Cik Adele Tan.
Bercakap kepada media selepas majlis pelancaran, Dr Maliki berkata Gerbang Ikonik merupakan struktur pertama dibina di simpang jalan Singapura.
Selain itu, beliau berkata aspek-aspek pembaharuan di kawasan itu mencirikan kebudayaan Melayu.
“Di simpang empat itu, terdapat motif kain songket yang melambangkan warisan yang kita hargai. Reka bentuk tempat duduk baru yang dibina juga mempunyai ciri budaya Melayu.
“Saya harap pengunjung, terutamanya anak muda kita, dapat inspirasi dan mempelajari tentang budaya kita menerusi usaha ini,” ujar Dr Maliki.
Dr Maliki juga berkata projek naik taraf GSCB merupakan usaha pelbagai agensi pemerintah dan idea itu terhasil daripada maklum balas sekitar 10,000 individu daripada segenap lapisan masyarakat melalui satu siri sesi pendekatan pada 2019.
Agensi pemerintah terlibat dalam projek naik taraf itu termasuk Wisma Geylang Serai (WGS), Kementerian Pembangunan Negara (MND), Penguasa Tanah Singapura (SLA), Lembaga Pelancongan Singapura (STB), Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA), Lembaga Taman Negara (NParks), Lembaga Warisan Negara (NHB), Majlis Seni Kebangsaan (NAC), Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), Kawasan Undi Marine Parade, PA dan URA.
Gerbang Ikonik ialah rekaan firma arkitek BDP Architects (Southeast Asia) Pte Ltd yang telah dipilih untuk menyelenggarakan projek naik taraf GSCB setelah memenangi Peraduan Reka Bentuk Geylang Serai yang dilancarkan pada Januari 2021.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg