Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Polis: Barang mencurigakan di Gereja St Joseph di Bukit Timah tidak merbahaya

Dec 21, 2025 | 10:11 AM
Pada 21 Disember, Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan tentang satu kejadian pada 7.10 pagi yang melibatkan penemuan barang mencurigakan di Gereja St Joseph.
Pada 21 Disember, Pasukan Polis Singapura (SPF) dimaklumkan tentang satu kejadian pada 7.10 pagi yang melibatkan penemuan barang mencurigakan di Gereja St Joseph. - Foto ST

Barang mencurigakan yang ditemui di Gereja St Joseph di Bukit Timah pada pagi 21 Disember disahkan tidak berbahaya dan keadaan di kawasan itu terkawal, kata polis.

Dalam satu kemas kini pada 11.08 pagi, Pasukan Polis Singapura (SPF) berkata pegawainya dan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) mencapai kesimpulan tersebut susulan pemeriksaan menyeluruh.

Siasatan masih dijalankan dan orang ramai dinasihatkan mengelak kawasan itu buat masa ini, tambah polis.

Dalam satu hantaran Facebook pada 21 Disember, polis berkata mereka dimaklumkan mengenai satu kejadian di gereja itu pada 7.10 pagi.

Pada 9.16 pagi, polis kemudian melaporkan bahawa sesuatu barang mencurigakan telah ditemui di gereja itu yang terletak di 620 Upper Bukit Timah Road.

Gereja itu telah dikosongkan sementara operasi polis diteruskan.

Pada 10.05 pagi, polis telah mengerahkan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan SAF untuk menyokong operasi tersebut.

Menurut akhbar The Straits Times (ST), pegawai polis berada di pintu masuk mengarahkan kenderaan untuk keluar. Tiada sesiapa dibenarkan memasuki kawasan tersebut.

ST juga melapor bahawa kenderaan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) dilihat memasuki kawasan gereja pada 9.17 pagi.

Laman web Gereja St Joseph menunjukkan bahawa misa (upacara keagamaan) pada 21 Disember telah dibatalkan buat masa kini.

Mengulas kejadian itu dalam catatan Facebook, Menteri Negara (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Tenaga Manusia), Encik Dinesh Vasu Dash, menyeru orang ramai supaya bertenang dan bersatu sebagai sebuah masyarakat.

Menyuarakan sentimen yang sama, Mayor Majlis Pembangunan Masyarakat (CDC) North West, Encik Alex Yam mengingatkan orang ramai agar tidak terburu-buru membuat kesimpulan.

“Ini bukan kali pertama komuniti St Joseph berdepan dengan sesuatu kejadian, dan setiap kali (ia berlaku), pihak gereja serta masyarakat umum telah bangkit dengan lebih kuat, lebih bersatu dan lebih berdaya tahan.

“Adalah wajar dan berhemah untuk mengambil langkah berjaga-jaga serta mematuhi arahan pihak berkuasa, namun kita tidak seharusnya membiarkan rasa takut menguasai diri kita,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg