Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kes tikam paderi di Gereja St Joseph: Lelaki didakwa miliki senjata

Bagi setiap pertuduhan miliki senjata, pesalah boleh dikena hukuman penjara sehingga 3 tahun, sekurang-kurangnya 6 sebatan
Mar 17, 2025 | 12:52 PM
Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, didakwa mempunyai pisau lipat berukuran 14.5 sentimeter, sebilah pisau lipat yang lain dan alat cangkuk pancing pada hari serangan di Gereja St Joseph pada November 2024.
Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, didakwa mempunyai pisau lipat berukuran 14.5 sentimeter, sebilah pisau lipat yang lain dan alat cangkuk pancing pada hari serangan di Gereja St Joseph pada November 2024. - Foto ST

Lelaki yang dituduh menikam seorang paderi di Gereja St Joseph pada November 2024 telah dikenakan pertuduhan tambahan pada 17 Mac.

Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, kini menghadapi tiga pertuduhan memiliki senjata pada hari serangan, 9 November 2024, selain satu pertuduhan yang dikemukakan sebelum ini, selepas dia didakwa menggunakan pisau untuk menyebabkan kecederaan parah secara sengaja.

Dia didakwa mempunyai pisau lipat berukuran 14.5 sentimeter, sebilah pisau lipat yang lain dan alat cangkuk pancing, ketika di gereja itu.

Warga Singapura itu tidak ditawarkan jaminan pada 17 Mac dan persidangan sebelum perbicaraannya akan berlangsung pada 14 April, lapor The Straits Times.

Basnayake didakwa telah mendekati Paderi Christopher Lee, yang ketika itu berusia 57 tahun, di gereja di Upper Bukit Timah Road itu sejurus sebelum 6.30 petang pada 9 November 2024.

Paderi Lee sedang menjalankan satu upacara keagamaan apabila Basnayake didakwa menikamnya, menyebabkannya luka lapan sentimeter pada lidahnya, luka tiga sentimeter pada bibir kiri atasnya dan luka empat sentimeter pada sudut mulutnya.

Orang ramai telah melucutkan senjata Basnayake sebelum pegawai polis tiba di tempat kejadian itu untuk menangkapnya.

Sebuah video yang tular dalam talian berikutan serangan itu menunjukkan seorang lelaki kurus berbaju-T putih berlumuran darah dibawa keluar dari gereja itu dengan tangan dipegang di belakang.

Dalam satu kenyataan sebelum ini, polis berkata mereka tidak mengesyaki kejadian itu adalah tindakan pengganasan dan menambah bahawa tiada bukti yang menunjukkan bahawa ia adalah serangan bermotifkan agama.

Paderi Lee dibenarkan keluar dari hospital pada 15 November 2024.

Polis kemudian membawa Basnayake yang digari kembali ke gereja itu pada bulan berikutnya (Disember).

Dia dilihat menunjukkan kepada pegawai polis lokasi yang dikunjunginya pada hari serangan sebelum dibawa semula ke kenderaan polis.

Bagi kesalahan menyebabkan kecederaan parah dengan senjata dengan sengaja, pesalah boleh dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup, atau dipenjara sehingga 15 tahun, didenda serta disebat.

Bagi setiap pertuduhan memiliki senjata, pesalah boleh dikenakan hukuman penjara sehingga tiga tahun serta sekurang-kurangnya enam sebatan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg