Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Lelaki ditangkap selepas cuba serang paderi dalam gereja di Upper Thomson

Feb 9, 2025 | 1:55 PM
Kejadian berlaku pada pagi 9 Februari di gereja Katolik, Church of the Holy Spirit, yang terletak di Upper Thomson.
Kejadian berlaku pada pagi 9 Februari di gereja Katolik, Church of the Holy Spirit, yang terletak di Upper Thomson. - Foto TANGKAP LAYAR DARI GOOGLE MAPS

Seorang lelaki berusia 22 tahun telah ditangkap selepas didakwa cuba menyerang seorang paderi di sebuah gereja Katolik yang terletak di Upper Thomson, pada pagi 9 Februari.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh Pasukan Polis Singapura (SPF) di Facebook pada 9 Februari, polis menyatakan mereka telah menerima panggilan bantuan dari Church of the Holy Spirit sekitar 10.30 pagi.

“Siasatan awal mendapati bahawa seorang lelaki berusia 22 tahun, warga Singapura berbangsa Cina, didakwa cuba menyerang seorang paderi di gereja tersebut selepas acara keagamaan (dijalankan) ketika orang ramai sedang beredar,” kata polis.

Siasatan awal polis mendapati bahawa lelaki tersebut merupakan pengunjung tetap gereja itu, lapor The Straits Times (ST). 

Polis menambah bahawa lelaki itu telah ditahan serta-merta oleh kakitangan keselamatan gereja.

Tiada senjata ditemui pada lelaki tersebut, dan dia telah diserahkan kepada anggota polis di lokasi.

Paderi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan dan polis telah menahan lelaki itu atas kesalahan gangguan awam. 

Suspek akan dirujuk ke Institut Kesihatan Mental (IMH) untuk penilaian lanjut, kata polis.

“Kami ingin mengingatkan orang awam supaya mengelak daripada membuat spekulasi kerana siasatan masih dijalankan,” tambah SPF.

Orang awam juga dinasihatkan untuk bekerjasama dengan kakitangan keselamatan yang dikerahkan di tempat ibadat, kerana mereka bertugas untuk memastikan persekitaran yang selamat untuk semua, jelas polis.

Pada November 2024, seorang paderi telah ditikam oleh seorang lelaki bersenjatakan pisau ketika beliau sedang mengadakan acara keagamaan di Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah.

Penyerang tersebut, Basnayake Keith Spencer, 37 tahun, telah didakwa dengan satu pertuduhan menyebabkan kecederaan parah secara sengaja menggunakan pisau, terhadap Paderi Christopher Lee, 57 tahun.

Menurut dokumen mahkamah, paderi itu telah ditikam pada bahagian mulut, dan mengalami luka sedalam lapan sentimeter pada lidah, luka tiga sentimeter pada bibir atas dan luka empat sentimeter pada sudut mulut.

Pengunjung gereja lain telah merampas senjata Basnayake sebelum pegawai polis tiba di lokasi untuk menangkapnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg