Topik diikuti
Pergi ke BHkuGiat dalam bola sepak dron bantu lupakan penyakit
Selepas bersara, Encik Samsuden Ali, 75 tahun, menghabiskan sebahagian besar masanya di rumah apabila masalah kesihatan mengehadkan pergerakan dan rutin hariannya.
Menghidap darah tinggi, kolesterol tinggi, semput serta masalah pinggang yang menyebabkannya sukar berdiri lama dan berjalan jauh, beliau bergantung pada Alat Mobiliti Peribadi (PMD) untuk bergerak.
Hari-harinya banyak diisi dengan menonton televisyen dan berkaraoke.
Namun, kehidupannya mula berubah pada 2025 apabila beliau diperkenalkan kepada bola sepak dron menerusi Pusat Penuaan Aktif (AAC) Jia Ying.
Walaupun tidak pernah mengendalikan dron sebelum ini, beliau memberanikan diri mencuba sukan yang menggabungkan teknologi, kemahiran mengawal dron dan kerjasama berpasukan itu.
Pada mulanya, beliau mengakui latihan bukan sesuatu yang mudah kerana perlu mempelajari cara mengawal pergerakan dron menggunakan alat kawalan.
Namun, dengan latihan dan sokongan rakan sepasukan, beliau semakin yakin sehingga berpeluang mewakili pusatnya dalam Kejohanan Bola Sepak Dron Perak Singapura yang pertama di Compass One pada 1 Ogos lalu.
“Pada mulanya memang susah. Kami tidak tahu mana kiri, mana kanan. Tetapi lama-kelamaan kami belajar sedikit demi sedikit,” katanya.
Bagi Encik Samsuden, pengalaman itu bukan sekadar memperkenalkannya kepada sukan baharu, malah memberinya sebab untuk keluar dari rumah, bertemu rakan dan terus kekal aktif.
“Saya tidak fikir tentang penyakit saya. Saya fikir tentang permainan dan kawan saya,” katanya.
Selain bola sepak dron, beliau turut menyertai kegiatan lain di pusat tersebut bersama isterinya yang telah menjadi sukarelawan di pusat itu selama enam tahun.
Ia termasuk program hidroponik dan kegiatan bersama pelajar sekolah.
Walaupun pasukannya tidak berjaya muncul juara, beliau tetap hadir sehingga pertandingan berakhir bagi memberi sokongan kepada pasukan lain.
“Kalau kalah, kita cuba lagi. Ini permainan. Semua orang hendak menang, tetapi yang penting kita jangan putus asa,” katanya.
Bapa kepada lima orang anak dan datuk 10 cucu itu berharap lebih ramai warga emas berani mencuba kegiatan baharu walaupun berdepan masalah kesihatan.
Beliau percaya bola sepak dron bukan sahaja membantu warga emas kekal aktif, malah membuka peluang menjalin persahabatan, menghilangkan rasa sunyi dan menikmati kehidupan dengan lebih bermakna.
“Saya harap lebih ramai warga emas sertai program seperti ini. Bila bermain, kita lupa sekejap tentang penyakit dan dapat berkawan dengan ramai orang,” katanya.
