Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga emas kekal aktif melalui program kunjung, bantu jiran
Warga emas kekal aktif melalui program kunjung, bantu jiran
‘Neighbourhood Kakis’, kendalian Persatuan Rakyat, pupuk semangat kejiranan, agih makanan kepada keluarga memerlukan
Warga emas kekal aktif melalui program kunjung, bantu jiran
Persatuan Rakyat (PA) akan memperluas inisiatif inovatif ke arah usaha membangun masyarakat dan memupuk semangat kejiranan, yang dipanggil, Neighbourhood Kakis, ke lebih banyak kawasan undi, termasuk Mountbatten.
Menerusi usaha yang diperkenalkan pada 2024, golongan warga emas berusia 50 tahun dan ke atas diperkasa agar menjadi penyumbang masyarakat menerusi tugasan kejiranan, yang boleh dilaksanakan dalam tempoh sejam.
Daya usaha itu menggalakkan peserta membentuk kumpulan masyarakat mikro berdasarkan minat dan kemahiran yang dikongsi bersama, seperti kumpulan yang menziarahi warga emas uzur bagi menceriakan mereka yang hidup terasing dan bersendirian; kegiatan membungkus dan mengedar makanan atau barangan runcit kepada keluarga rentan; atau mengisi peti sejuk untuk kegunaan masyarakat memerlukan.
Bagi setiap tugasan yang diselesaikan, mereka akan menerima ganjaran wang sagu hati $2.
Pada majlis pembukaan Kelab Masyarakat Mountbatten yang baharu pada 4 April, Menteri Undang-Undang merangkap Menteri Kedua (Ehwal Dalam Negeri), Encik Edwin Tong, berkata terdapat keperluan bagi menggalakkan warga emas kekal sihat, berhubung secara sosial dan aktif dari segi mental.
“Kita perlu mengubah cara kita melihat warga emas, dan yang lebih penting bagaimana mereka melihat diri mereka sendiri – bukan sekadar sebagai penduduk yang menerima bantuan dan perkhidmatan, tetapi sebagai penyumbang aktif kepada masyarakat.
“Neighbourhood Kakis merupakan satu cara untuk memastikan mereka kekal aktif, terlibat (dalam kegiatan kejiranan) dan berhubung dalam kejiranan mereka.
“Menerusi inisiatif ini, warga emas boleh melayari dan mendaftar untuk melaksanakan tugasan mudah yang boleh disiapkan dalam tempoh sejam,” kata Encik Tong yang juga Anggota Parlimen GRC East Coast.
Beliau turut berkongsi sejak projek perintis itu dilaksanakan, lebih 1,400 warga emas telah mendaftar, dan lebih 30,000 tugasan merangkumi lebih 20 jenis urusan kemasyarakatan telah diselesaikan.
Antaranya, termasuk mengumpul buah-buahan dan sayur-sayuran dari pasar raya, membungkus serta mengagihkannya kepada keluarga berpendapatan rendah, menghantar makanan kepada warga emas yang tinggal bersendirian, serta mengisi semula peti sejuk masyarakat.
Seorang penduduk, Encik Mohd Saad Ahmad, 75 tahun, memberitahu Berita Harian (BH) beliau dan isteri, Cik Salmah Said, teruja mengekalkan kecergasan sambil mengeratkan hubungan dengan jiran melalui kegiatan menziarahi warga emas yang tinggal berhampiran.
Menurut Encik Mohd Saad, beliau akan meninjau keadaan jirannya dan mengucapkan, “Selamat Pagi”, serta bertanya khabar.
Katanya, sesetengah warga emas ini mempunyai penyakit seperti angin ahmar.
Walaupun kelihatan seperti perkara kecil, usaha tersebut mampu menceriakan hati warga emas yang mungkin tinggal bersendirian dan berada dalam kesunyian.
Dalam satu lawatan ke Toa Payoh Central, Encik Mohd Saad mendapati jirannya tidak boleh berbahasa Inggeris, lalu beliau menggunakan dialek Hokkien untuk berkomunikasi.
Berkongsi tentang penggunaan bahasa ‘rojak’ pelbagai bahasa dalam lawatan, beliau berkata:
“Saya berbual dengan orang Hokkien, sedikit-sedikit bolehlah. Saya fikir saya patut gunakan Hokkien, Teochew, Hailam… ‘hao ma’, ‘apa khabar’, ‘lu aiak pak buai’.”
Sebelum bersara, Encik Mohd Saad bekerja sebagai pekerja pembersihan, manakala isterinya merupakan suri rumah.
Setiap bulan, mereka akan menjemput jiran ke rumah sebanyak dua tiga kali, biasanya pada Jumaat.
Sambil tersenyum kecil, beliau menjelaskan bagi setiap sesi lawatan, mereka boleh mengunjungi sekitar 10 rumah pada waktu pagi dan 10 lagi pada waktu petang.
Pasangan suami isteri itu bersungguh-sungguh melawat jiran mereka, malah menganggap kegiatan tersebut sebagai satu bentuk senaman.
“Memandangkan kami tiada anak, lebih baik kami keluar melawat jiran daripada hanya duduk di rumah,” jelasnya.
Encik Mohd Saad menambah terdapat juga jiran yang meminta bantuan mereka.
“Saya akan laporkan kepada Rangkaian Penduduk (RN), contohnya jika ada kerosakan di rumah jiran seperti di bilik air mereka atau ada barang yang rosak. Saya akan cuba dapatkan bantuan melalui RN,” ujarnya.
