Sasar pembeli produk premium, Grey By Ortenhill tetap yakin pada potensi bazar
Sasar pembeli produk premium, Grey By Ortenhill tetap yakin pada potensi bazar
Di tengah-tengah bazar yang dipenuhi gerai makanan dan minuman, Encik Trisno Ishak memilih laluan yang dianggap berisiko – menjual kasut dan barangan kulit premium.
Namun, bagi Encik Trisno, 47 tahun, risiko tersebut sebenarnya membuka peluang baru kerana beliau percaya pada kuasa perbelanjaan pengunjung bazar yang sanggup membayar harga premium bagi produk bermutu.
“Saya rasa hari ini pelanggan mampu beli produk premium. Tugas saya adalah untuk pastikan saya tawarkan produk bermutu tinggi yang memenuhi keperluan mereka,” katanya.
Di bawah jenama tersebut, beliau menawarkan pelbagai produk termasuk sandal dan beg tangan dengan harga antara $159 dengan $259.
Menurut beliau, landskap bazar kini sudah berubah.
Jika dulu ia sinonim dengan membeli makanan murah dan berjalan-jalan, hari ini bazar menjadi satu pengalaman sosial yang lebih menyeluruh.
“Sekarang mereka datang untuk pengalaman sepenuhnya.
“Mereka beli minuman, makan, kemudian membeli-belah dan sebelum pulang, mereka minum kopi atau teh,” ujarnya.
Perubahan itu, katanya, membuka ruang kepada perniagaan runcit seperti kasut, beg dan pakaian untuk berkembang seiring perniagaan makanan dan minuman di bazar tempatan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kehadiran gerai makanan sebenarnya membantu menarik aliran pelanggan ke kawasan bazar.
“Dalam konsep bazar, makanan memang penting.
“Tanpa perniagaan makanan, sukar untuk menarik perhatian pelanggan,” katanya berdasarkan pengalaman 13 tahun berniaga di bazar sebelum ini.
Antara bazar terawal beliau menyertai adalah di kawasan Geylang Serai pada 2013.
Selain menawarkan produk bermutu, Encik Trisno menekankan bahawa pengalaman pelanggan memainkan peranan penting dalam memastikan jualan memberangsangkan.
Menurutnya, antara faktor yang meningkatkan pengalaman membeli-belah ialah hiasan gerai yang menarik, layanan pelanggan yang baik serta promosi istimewa.
“Sebagai peniaga, persekitaran gerai kami mesti menarik supaya dapat mencuri perhatian pelanggan.
“Pada masa yang sama, kami sering menawarkan promosi istimewa di bazar yang disertai.
“Apabila semua ini dilakukan, pelanggan akan rasa gembira untuk berbelanja bersama kami,” katanya.
Tahun ini, Grey By Ortenhill akan menyertai tiga bazar berbeza, termasuk di Wisma Geylang Serai, Celebfest dan Absolut Singapore.
Selain itu, produk beliau turut ditawarkan di kedai fizikalnya di 8 Jalan Pisang serta di OrchardGateway.

