Berita Harian (BH) dan AMP akan menganjurkan acara Golf Amal BH-AMP, pada 22 Julai di Orchid Country Club.
Acara amal itu diadakan sempena meraikan sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura atau SG60 dan bertujuan mengumpul dana untuk disalurkan semula kepada masyarakat. Ia juga diadakan sehari selepas Hari Keharmonian Kaum pada 21 Julai.
Ia merupakan julung-julung kali BH menganjurkan golf amal.
Sasarannya adalah untuk mengumpul $300,000 daripada penaja korporat dan individu, dengan jumlah sumbangan akan dibahagi dua antara AMP dan BH.
AMP akan menyalurkan dananya kepada benefisiari badan itu sementara BH akan menyalurkan dananya kepada Persatuan Kanak-Kanak Singapura (SCS) dan juga dalam bentuk hadiah buku kepada pelajar institusi pengajian tinggi.
Acara ini dipengerusikan bersama oleh Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, dan Pengarah Eksekutif AMP Singapura, Encik Mohksin Mohd Rashid. Penaungnya ialah mantan Presiden, Puan Halimah Yacob.
Encik Nazry berkata: “Acara golf amal BH ini diharap dapat memperkukuh imej BH bukan sahaja sebagai wadah media yang mewakili suara masyarakat Melayu/Islam, malah sebagai entiti yang menyumbang kepada masyarakat dan negara.
“Kerjasama dengan AMP juga memberi isyarat tentang kesediaan BH untuk menjalin ikatan lebih kukuh dengan rakan kongsi dalam usaha untuk mendekati masyarakat.”
Menurut Pengerusi AMP, Ustaz Fathurrahman Dawoed, acara ini bukan sekadar permainan golf, namun satu peluang untuk memperkukuh semangat kebersamaan sambil menyumbang kepada masyarakat.
Beliau berkata: “Melalui acara golf amal ini, kami berharap untuk menggembleng sokongan dan mengumpul dana dalam usaha membantu keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan.
“Kami amat menghargai kerjasama ini dan berharap dapat terus membawa perubahan yang positif,” tambahnya.
Selain itu, acara ini dapat menghasilkan bantuan bukan sahaja kepada masyarakat Melayu/Islam, bahkan masyarakat Singapura yang memerlukan, secara am.
Golf amal ini juga dirancang dengan kerjasama sekumpulan pemain golf veteran yang terdiri daripada Encik Zainal Samat, Encik A Rahim Jaafar, Encik Mohd Said Abdul Latif dan Encik Ibrahim Atan.
Semasa ditemui BH, Encik Zainal mengongsi harapannya untuk berbakti kepada masyarakat melalui sukan kegemarannya itu.
Beliau juga menekan kepentingan mengekalkan hubungan yang baik dengan penyumbang dan penaja korporat, supaya dapat meneruskan inisiatif-inisiatif amal seperti ini.
“Selain menderma kepada yang memerlukan, acara ini adalah peluang untuk kami semua menunjuk tanda terima kasih kepada penaja, rakan kongsi dan organisasi korporat yang telah banyak menyumbang kepada projek-projek kami,” jelas Encik Zainal.
Pihak penganjur mengalu-alukan sumbangan penderma. Imbas kod QR yang tertera untuk melahirkan minat untuk menderma.
Segala pertanyaan boleh disampaikan melalui BHAMPcharitygolf@amp.org.sg.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg