Golongan bujang boleh memohon flat fleksi dua bilik di semua lokasi daripada jualan Bina Ikut Tempahan (BTO) yang akan datang pada Oktober.
Lebih 1,900 flat tersebut akan ditawarkan dalam 10 daripada 15 projek BTO yang akan dilancarkan, kata Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dalam satu kenyataan pada 4 Oktober.
Flat tersebut terletak di Ang Mo Kio, Bedok, Bukit Batok, Jurong West, Kallang/Whampoa, Pasir Ris dan Sengkang.
Menurut The Straits Times, HDB tidak mendedahkan tarikh pelancaran.
Sebelum ini, golongan bujang berumur 35 tahun dan ke atas, yang layak buat kali pertama, boleh memohon flat fleksi dua bilik baru hanya di 12 estet tidak matang seperti Choa Chu Kang, Jurong East dan Woodlands.
Mereka tidak boleh membeli unit baru di estet matang termasuk Bedok, Kallang/Whampoa dan Queenstown.
Mulai pelancaran jualan Oktober ini, flat akan dikategorikan sebagai flat Prime, Plus atau Standard, menggantikan klasifikasi semasa, iaitu estet matang atau estet tidak matang.
HDB memberitahu bahawa ia akan terus memperuntukkan sehingga 65 peratus daripada flat fleksi dua bilik, yang tidak ditetapkan untuk warga emas, bagi golongan bujang membuat permohonan buat kali pertama dalam projek merentas semua kategori.
Golongan bujang ini akan tertakluk kepada pendapatan maksimum semasa sebanyak $7,000.
Rangka kerja baru itu akan membolehkan golongan bujang yang layak membeli flat jualan semula Prime dua bilik, atau unit Standard atau Plus dalam sebarang saiz, kecuali flat tiga generasi.
Mereka juga boleh membeli flat jualan semula dua bilik yang dijual di bawah model Perumahan Awam Lokasi Utama (PLH), yang diperkenalkan pada November 2021.
Sebelum ini, golongan bujang tidak dibenarkan membeli flat PLH, walaupun di pasaran jualan semula.
Mereka yang membeli flat jualan semula untuk tinggal bersama ibu bapa atau anggota keluarga lain boleh membeli flat Prime atau PLH jualan semula yang lebih besar, jika mereka memenuhi syarat kelayakan.
Rumah flat Prime dan Plus, yang terletak lebih dekat dengan kemudahan seperti stesen MRT dan pusat bandar, akan datang dengan syarat jualan semula lebih ketat, seperti tempoh penginapan minimum 10 tahun dan pengurangan subsidi.
Menurut HDB, ini adalah untuk “mengawal permintaan dan memastikan flat ini mampu milik serta boleh diakses oleh pelbagai pembeli, walaupun pada saat jualan semula”.
Golongan bujang yang layak membeli rumah pertama mereka boleh memanfaatkan geran sehingga $60,000 di bawah Geran Perumahan Tabung Simpanan Pekerja (CPF) Dipertingkat (EHG) apabila mereka membeli flat baru.
Mereka yang membeli flat jualan semula juga boleh menerima EHG, dan sehingga $40,000 daripada Geran Perumahan CPF, serta sehingga $15,000 daripada Geran Perumahan Berhampiran.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg