Golongan muda mungkin membawa senjata di tempat awam sebagai satu bentuk ‘aksesori fesyen’.
Mereka kemudian akan mengacu-acukannya semasa pertengkaran.
Demikian menurut seorang kaunselor yang bekerja dengan belia berisiko.
Encik Narasimman Tivasiha Mani, pengasas bersama pertubuhan amal Impart, berkata beliau telah melihat peningkatan dalam jumlah golongan muda yang membawa senjata sebagai aksesori dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini.
“Sebahagian daripada senjata ini kelihatan agak menarik, jadi (golongan muda) membelinya dan membawanya untuk menunjuk-nunjuk,” katanya.
Beliau berkata, beberapa senjata itu didapati dijual di wadah seperti Carousell, Telegram dan Facebook, dan akan digunakan apabila golongan muda itu terlibat dalam pertikaian dengan orang lain.
Kenyataan beliau itu susulan beberapa siri kejadian dalam setahun kebelakangan ini yang melibatkan golongan muda dalam jenayah ganas, lapor The Straits Times.
Pada Mac, seorang remaja berusia 16 tahun disabit kesalahan merusuh dengan senjata berbahaya selepas dia mengacukan pisau lipat kepada seorang lagi remaja semasa serangan berkumpulan melibatkan lima individu lain berumur antara 13 dengan 17 tahun.
Remaja tersebut, yang belum dijatuhkan hukuman, telah bertanya kepada mangsa sama ada dia mahu “mencuba pisau” itu.
Pada September 2024, seorang lelaki berusia 22 tahun didakwa atas tuduhan membunuh selepas satu pergaduhan di Kitchener Road.
Tiga lelaki lain dan dua wanita turut didakwa atas kesalahan merusuh dengan senjata berbahaya dalam kejadian yang sama.
Pada Jun 2024 pula, seorang remaja berusia 19 tahun didakwa atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata berbahaya.
Dia didakwa menetak seorang lelaki berusia 20 tahun dengan parang semasa pergaduhan di Sembawang.
Encik Amalraj Thevar Manivannan, 27 tahun, ialah rakan kepada mendiang Encik Dhinessh Vasie, yang meninggal dunia dalam pergaduhan di Kitchener Road.
“Dia masih muda dan masih panjang perjalanannya,” kata Encik Amalraj tentang mangsa yang berusia 25 tahun itu.
Seorang bapa kepada bayi perempuan berusia tiga bulan, Encik Amalraj berkata beliau bimbang golongan muda mungkin membawa senjata di tempat awam.
“Kebimbangan saya adalah apabila anak perempuan saya mula bersekolah.
“Adakah akan cukup sokongan menentang keganasan dan penggunaan senjata seperti ini, atau keadaan akan jadi lebih teruk?” katanya.
Angka rasmi dari 2019 hingga 2023 menunjukkan jumlah pesalah berumur antara 10 dengan bawah 21 tahun yang terlibat dalam kesalahan di bawah Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya telah meningkat daripada 92 kepada 133.
Kesalahan di bawah Akta tersebut kebanyakannya melibatkan belia yang dilihat membawa senjata berbahaya seperti pisau.
Akhbar The Straits Times mendapati senjata seperti pisau kerambit dijual di wadah dalam talian seperti Carousell dan Shopee, dalam pelbagai corak, dan terdapat video yang menunjukkan cara penggunaannya.
Pisau kerambit ialah senjata yang dikawal di bawah undang-undang.
Memiliki senjata yang dikawal termasuk pisau lipat, pisau graviti dan ‘knuckle duster’ – logam yang dipakai di atas buku jari – tanpa kebenaran yang sah boleh membawa hukuman penjara sehingga lima tahun, dengan sekurang-kurangnya enam sebatan untuk kesalahan pertama.
Encik Narasimman berkata penggunaan senjata dalam dunia permainan video boleh mempengaruhi golongan muda untuk membawa senjata dalam kehidupan sebenar.
“Ia menjadi satu kebiasaan bagi mereka untuk memiliki senjata, kerana dalam permainan, senjata meningkatkan peluang mereka untuk menang.
“Ini membentuk pemikiran bahawa keganasan adalah satu pilihan,” tambahnya.
Anggota Parlimen (AP), GRC Ang Mo Kio, Encik Darryl David, telah membangkitkan isu itu di Parlimen pada September 2024 selepas beberapa kes rusuhan melibatkan belia bawah umur 21 tahun dan senjata berbahaya.
Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Nasional merangkap Ehwal Dalam Negeri, Encik K. Shanmugam, dalam jawapan bertulis, berkata terdapat purata 10 kes rusuhan dengan senjata berbahaya setiap tahun antara 2019 dengan 2023.
Lebih tinggi sedikit daripada separuh melibatkan pesalah di bawah umur 21 tahun.
Encik David berkata golongan muda mungkin terpengaruh dengan kandungan ganas yang mereka tonton di media sosial.
“Apabila mereka menerima semua kandungan tanpa tapisan ini tanpa bimbingan yang betul, ia boleh membawa kepada tindakan ganas dalam kehidupan sebenar.
“(Tindakan ganas) juga mungkin berpunca daripada kekurangan struktur sosial dan kekeluargaan yang mencukupi, serta ketidakupayaan mengurus kemarahan, kekecewaan dan ketidakpuasan hati,” katanya.
Encik Narasimman berkata golongan muda kekurangan kawalan emosi kerana otak mereka masih belum berkembang sepenuhnya.
“Kemahiran fungsi eksekutif mereka (pada usia itu) mungkin lemah, jadi mereka cenderung bertindak mengikut emosi.
“Impulsif adalah satu ciri ketara dalam kalangan belia yang menggunakan senjata.
“Mereka tidak tahu apakah yang perlu dilakukan apabila berasa terancam, dan keinginan untuk melawan sangat kuat, jadi mereka memilih menggunakan senjata,” katanya.
Encik David berkata pendidik dan kaunselor boleh membantu belia mengemudi pelbagai maklumat yang tersedia untuk mereka.
“Sebagai seorang pendidik, saya percaya kita tidak pernah ada generasi yang terdedah kepada begitu banyak maklumat dengan tahap kematangan yang begitu rendah.
“Ia adalah gabungan yang sangat berbahaya,” kata Encik David, yang sebelum ini merupakan Timbalan Pengarah di Sekolah Reka Bentuk Politeknik Temasek.
Beliau berkata lebih banyak boleh dilakukan untuk menunjukkan kepada belia terdapat saluran lain untuk berkongsi ketakutan dan kebimbangan mereka.
“Dengan belia, kita perlu membantu mereka belajar bagaimana menangani ketakutan dan kebimbangan, dan mencegah emosi ini daripada diterjemahkan kepada tindakan ganas.
“Kita boleh ajar mereka cara mengurus perasaan, dan mencari saluran yang sihat untuk melepaskannya,” katanya.
Semasa sesi kaunseling bersama belia berisiko, Encik Narasimman memberi tumpuan kepada memahami latar belakang mereka dan mengajar mereka cara untuk mengawal emosi.
Ini termasuk melengkapi mereka dengan kemahiran mengatasi masalah seperti melalui senaman pernafasan atau menggenggam tangan untuk membantu mereka tenang ketika marah.
Memandangkan kejadian keganasan kebanyakannya melibatkan lelaki, sebahagian daripada tugas Encik Narasimman adalah mengubah penceritaan mereka tentang apakah ertinya menjadi seorang lelaki.
Beliau menambah: “Ramai daripada mereka diberitahu supaya jangan menangis, kerana lelaki mesti kuat dan tahan lasak.
“Tetapi apabila belia ini tidak selari dengan emosi mereka, mereka menyimpannya di dalam hati, dan ia mungkin meledak akhirnya nanti.”
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg