Google, MOE lancar makmal AI di institut pengajian tinggi S’pura
Google, MOE lancar makmal AI di institut pengajian tinggi S’pura
Bagi mempercepatkan penerapan kecerdasan buatan (AI) dan mempersiapkan tenaga kerja Singapura, Google dan Kementerian Pendidikan (MOE) telah melancarkan Google AI Living Labs secara rasmi di Institut Pengajian Tinggi (IHL) pada 10 Februari.
Makmal pertama ditubuhkan pada Oktober 2025 di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur, dengan makmal tambahan dijangka dibuka di Politeknik Nanyang (NYP) dan institusi lain menjelang 2027.
“Bagi belia Singapura, kemahiran AI akan menjadi sama penting dengan kemahiran matematik.
“Oleh itu, kami mahu memastikan setiap rakyat Singapura dilengkapi dengan pengetahuan AI yang relevan sejak usia muda,” kata Pengarah Urusan, Google Singapore, Encik Ben King.
“Itulah sebabnya kami melancarkan Google AI Living Labs, bagi membekalkan seramai 50,000 pelajar dan pendidik Singapura dengan bukan sahaja kemahiran memahami inovasi terkini AI, bahkan untuk mencipta bersama AI.
“Kami membawa masa depan teknologi terus ke kampus, memastikan penemuan AI sejagat seterusnya bermula di bilik darjah Singapura,” tambah Encik King.
Google AI Living Lab di ITE Kolej Timur merangkumi kemudahan seluas 325 meter persegi yang direka untuk mengaplikasikan teori AI dalam dunia sebenar.
Kemudahan itu berfungsi sebagai ruang ujian atau ‘sandbox’ dinamik membolehkan pelajar, pendidik dan rakan industri bereksperimen, mencipta prototaip dan mengembangkan projek berasaskan AI yang relevan untuk persekitaran akademik serta tempat kerja moden.
Kemudahan itu dibahagikan kepada dua zon – AI Discovery Zone dan AI Sandbox Studio.
AI Discovery Zone adalah ruang dengan konsep terbuka seluas 170 meter persegi yang direka untuk lawatan kumpulan besar dan pengalaman pembelajaran mendalam.
Ruang itu dilengkapi tempat duduk gaya amfiteater dan dua stesen AI khusus yang memberi peluang kepada pengunjung meneroka alat AI baru, dalam persekitaran yang menggalakkan kerjasama dan perkongsian.
Manakala, AI Sandbox Studio merupakan ruang seluas 155 meter persegi berkonsep bengkel, dan peserta dapat mengusahakan tugasan AI menggunakan peranti mereka sendiri, dengan bimbingan tenaga pengajar.
Sebuah stesen AI khas di sudut studio tersebut membolehkan kumpulan kecil menguji, mempamerkan dan memperbaiki penyelesaian AI mereka bersama-sama.
Pelancaran Google AI Living Labs bertujuan membangunkan bakat AI yang kukuh melalui bengkel latihan praktikal dan pensijilan bagi pelajar serta karyawan pertengahan kerjaya.
Selain memberi latihan AI kepada para pendidik, makmal itu juga berfungsi sebagai penghubung antara bidang akademik dengan industri.
Ini dilakukan melalui usaha menghubungkan syarikat-syarikat kecil dan sederhana (SME) tempatan dengan para pelajar, bagi membolehkan mereka berganding bahu mencipta penyelesaian AI.
Mengulas mengenai makmal AI baru itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) ITE, Encik Peter Lam berkata:
“Kemudahan ini akan membolehkan pelajar kami melaksanakan projek akhir dalam membangunkan penyelesaian AI bagi menangani cabaran dunia sebenar yang diketengahkan oleh SME kami.
“Selain projek praktikal, makmal ini juga membolehkan pendidik meneroka dan menyepadukan alat AI generatif (GenAI) dalam pengajaran mereka melalui bengkel latihan praktikal.
“Kami teruja untuk memperkasa pelajar serta golongan pengajar lebih luas supaya mereka dapat berjaya dalam masa depan digital.”
Mengukuhkan aspirasi Singapura sebagai hab terkemuka bagi AI dan inovasi digital, makmal ini merupakan satu usaha strategik untuk menerapkan keupayaan AI merentasi pendidikan, industri dan tenaga kerja.

