Akaun Khas untuk mereka yang berusia 55 tahun dan ke atas akan ditutup mulai separuh kedua Januari 2025 – antara perubahan dalam sistem Tabung Simpanan Pekerja (CPF) pada tahun depan.
Perubahan lain termasuk peningkatan dalam Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan dan caruman CPF untuk pekerja platform, serta had gaji bulanan CPF lebih yang tinggi, seiring dengan pendapatan yang meningkat.
Mulai separuh kedua Januari, simpanan dalam Akaun Khas anggota CPF yang terjejas akan dipindahkan ke Akaun Persaraan, sehingga Jumlah Persaraan Penuh kohort itu.
Sebarang baki simpanan Akaun Khas akan dipindahkan ke Akaun Biasa mereka.
Anggota mempunyai fleksibiliti untuk mengeluarkan wang apabila perlu atau memindahkannya ke Akaun Persaraan mereka, sehingga Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan.
“Prinsip di sebalik penutupan Akaun Khas bagi anggota berusia 55 tahun dan ke atas adalah untuk memastikan simpanan CPF yang sesuai supaya hanya simpanan CPF yang komited untuk keperluan persaraan jangka panjang memperoleh kadar faedah jangka panjang yang lebih tinggi,” kata Lembaga CPF pada 16 Disember.
Dana dalam Akaun Persaraan akan terus memperoleh kadar faedah jangka panjang lebih tinggi (kadar minimum 4 peratus setahun) dan menerima bayaran bulanan yang lebih tinggi semasa persaraan, tambahnya.
Pemegang akaun CPF akan dimaklumkan melalui surat pemberitahuan cetak dan juga menerusi e-mel atau SMS selepas Akaun Khas mereka ditutup.
Mulai 1 Januari, Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan akan dinaikkan kepada $426,000, iaitu empat kali Jumlah Persaraan Asas, berbanding tiga kali pada masa ini.
Ia adalah jumlah maksimum yang boleh ditokok anggota CPF berusia 55 tahun dan ke atas ke dalam Akaun Persaraan mereka untuk mendapat bayaran bulanan yang lebih tinggi.
Mereka yang menokok sehingga $426,000 boleh menerima bayaran bulanan sekitar $3,330 sebulan seumur hidup dari usia 65 tahun.
Ini adalah peningkatan daripada sekitar $2,530 sebulan sekarang, berdasarkan Jumlah Persaraan yang Dipertingkatkan semasa sebanyak $308,700.
Had gaji bulanan CPF juga akan dinaikkan, seiring dengan pendapatan yang meningkat, dan untuk membantu rakyat Singapura yang berpendapatan pertengahan membuat lebih banyak simpanan untuk persaraan.
Mulai 1 Januari, had itu akan dinaikkan kepada $7,400, tetapi had gaji tahunan CPF sebanyak $102,000 kekal tidak berubah.
Kadar caruman CPF untuk pekerja lanjut usia juga akan dinaikkan untuk mengukuhkan kecukupan persaraan mereka.
Mulai 1 Januari, kadar caruman bagi anggota berusia atas 55 tahun hingga 65 tahun akan dinaikkan sebanyak 0.5 mata peratusan untuk majikan dan 1 mata peratusan untuk pekerja.
Dengan penutupan Akaun Khas, peningkatan dalam caruman CPF akan diperuntukkan sepenuhnya kepada Akaun Persaraan, sehingga Jumlah Persaraan Penuh kohort mereka.
Akan terdapat juga lebih banyak bantuan untuk warga emas dengan simpanan persaraan yang lebih rendah.
Mulai 1 Januari, had geran untuk Skim Simpanan Persaraan yang Dipadankan akan dinaikkan kepada $2,000 setahun, daripada $600, dan had usia akan ditiadakan.
Di bawah skim ini, warga emas dengan simpanan persaraan yang lebih rendah akan menerima bayaran bulanan yang lebih tinggi kerana pemerintah memadankan tokokan wang tunai kepada Akaun Persaraan mereka.
Lembaga CPF berkata peningkatan tersebut akan menggandakan bilangan anggota yang layak kepada sekitar 800,000 orang setahun, membolehkan mereka meningkatkan simpanan persaraan dengan lebih cepat.
Skim Ihsan Senja juga akan dipertingkatkan pada Januari, dengan bayaran suku tahunan meningkat sebanyak 20 peratus untuk mengukuhkan sokongan bagi sekitar 290,000 warga emas Singapura yang layak yang mempunyai kurang simpanan untuk persaraan.
Pendapatan bulanan isi rumah bagi setiap orang yang layak juga akan dinaikkan daripada $1,800 kepada $2,300.
Antara lain, syarikat platform – seperti Grab dan foodpanda – akan memotong caruman CPF daripada pekerja platform mereka mulai 1 Januari.
Langkah ini mandatori bagi pekerja platform yang lahir pada atau selepas 1 Januari 1995, manakala mereka yang lebih berusia boleh memilih untuk membuat sumbangan secara sukarela.
SEKILAS PERUBAHAN SISTEM CPF PADA 2025
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg