Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrabAcademy lancar latihan baru demi keselamatan penghantar makanan
GrabAcademy telah melancarkan inisiatif latihan baharu dipanggil RideSafe 2026 bagi menyokong keperluan khusus bagi pekerja penghantar makanan.
Dibangunkan dengan kerjasama Persatuan Keselamatan Menunggang Singapura (RSAS) dan Persatuan Penyokong Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA), program baharu itu meneruskan usaha berterusan GrabAcademy dalam menyokong pekerja penghantar makanan menerusi pembelajaran dan pembangunan kemahiran.
Menurut kenyataan media oleh GrabAcademy pada 12 Julai, latihan baharu itu merupakan usaha penerusan Program Pembangunan Kemahiran Menunggang Lanjutan (ARDP), yang menggabungkan teori menunggang secara berhemah dengan kemahiran praktikal.
Hal tersebut demi membantu penghantar menangani cabaran seperti mengimbangi muatan berat di bahagian belakang serta mengharungi laluan bandar yang sesak dengan lebih yakin dan tepat.
Pelancaran program baharu itu telah dirasmikan Menteri Negara (Tenaga Manusia merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia), Encik Dinesh Vasu Dash, yang turut menyaksikan 40 rakan penghantar Grab menyertai sesi latihan sulung tersebut di pusat latihan di Ayer Rajah Crescent pada 12 Julai.
Dalam ucapannya, Encik Dinesh berkata:
“Keselamatan pekerja platform adalah tentang memastikan setiap penunggang dapat pulang ke rumah dengan selamat selepas seharian bekerja.
“Ia juga bermakna memberikan ketenangan kepada keluarga apabila insan tersayang mereka berada di jalan raya untuk mencari rezeki, di samping membina ekonomi platform yang mengutamakan keseimbangan antara fleksibiliti dan produktiviti dengan kesejahteraan mereka yang memastikan sektor ini terus bergerak.
“Malangnya, beberapa kemalangan dan insiden yang berlaku baru-baru ini sememangnya telah memberi perhatian kepada sektor ini, khususnya dari segi keselamatan pekerja platform, termasuk penunggang penghantaran.
“Pelancaran RideSafe hari ini merupakan contoh baik bagaimana kerjasama seperti ini dapat menterjemahkan keutamaan keselamatan kepada tindakan praktikal di jalan raya.
“Kursus seperti ini membantu penunggang mengenal pasti risiko lebih awal, menunggang dengan lebih berhemah dan membuat keputusan lebih baik ketika berada di jalan raya, bergantung pada keadaan cuaca dan trafik.”
Peserta yang menjalani latihan menunggang secara praktikal menggunakan beg penghantaran makanan mereka sendiri.
Hal itu membolehkan tenaga pengajar membimbing mereka dalam keadaan yang mencerminkan situasi sebenar ketika menjalankan tugas penghantaran.
Justeru, kursus selama empat jam itu merangkumi pembelajaran teknik menunggang secara berhemah, kesedaran terhadap bahaya dan jangkaan risiko, pengendalian motosikal dan kawalan pada kelajuan rendah dan teknik brek ketika kecemasan serta kestabilan motosikal semasa membawa muatan penghantaran.
Turut hadir di acara pelancaran itu ialah Penolong Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), yang juga Penasihat NDCA, Cik Yeo Wan Ling.
Cik Yeo yang juga merupakan Anggota Parlimen (AP) GRC Punggol, berkata:
“Angka berkaitan keselamatan di tempat kerja menunjukkan penunggang masih berdepan risiko keselamatan ketika bekerja.
“Justeru, NDCA sentiasa menggesa agar sokongan terhadap aspek keselamatan diperkukuh, di samping langkah yang dapat melindungi mata pencarian mereka.”
