Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

GrabCab mula operasi pada Jul dengan 40 teksi hibrid

Jun 5, 2025 | 2:40 PM
GrabCab, teksi, GrabRentals
Khidmat pengendali teksi keenam di Singapura akan dimulakan dengan 40 kenderaan jenis hibrid Toyota Prius. - Foto ST

GrabCab akan dilancarkan dan mula beroperasi pada Julai 2025 sebagai pengendali teksi keenam dan terbaru di Singapura, dengan 40 teksi sebagai permulaan.

Mengumumkan perkara itu dalam satu taklimat media pada 4 Jun, GrabCab – anak syarikat cabang penyewaan Grab, iaitu GrabRentals – mengumumkan bahawa perkhidmatan teksinya akan dimulakan dengan 40 kenderaan jenis hibrid Toyota Prius generasi kelima yang baru.

Syarikat itu turut berkata ia akan menambah lebih banyak model kereta termasuk Hyundai Kona hibrid bermula Ogos, serta sebuah model kenderaan yang sepenuhnya elektrik (EV) pada 2025.

GrabCab juga menyasarkan untuk memenuhi keperluan minimum bilangan kenderaan bagi pengendali khidmat tahan teksi, iaitu sebanyak 800 teksi, sebelum memasuki tahun ketiga operasinya.

Menurut Pengarah GrabRentals, Encik Victor Sim, setakat 4 Jun, pengendali itu telah menerima antara 700 dengan 800 permohonan pendaftaran daripada pemandu yang berminat untuk menyewa kenderaan GrabCab.

Daripada jumlah itu, sekitar 400 hingga 500 pemohon yang layak telah dipilih sebagai kumpulan pertama pemandu GrabCab, lapor The Straits Times (ST).

Encik Sim berkata GrabCab memilih pemohon yang memiliki Lesen Vokasional Pemandu Teksi (TDVL) dengan “rekod keselamatan memandu yang baik”.

Pemohon yang tidak mempunyai TDVL akan diarahkan supaya mengikuti kursus TDVL di pusat latihan yang diluluskan, dengan yuran kursus dibiayai sepenuhnya oleh GrabCab.

Kadar sewa bagi kenderaan GrabCab boleh mencecah sehingga $117 sehari, namun 100 pemandu pertama yang mendaftar dengan syarikat itu akan menikmati kadar istimewa iaitu $112 sehari.

Sebagai perbandingan, kadar sewa teksi model Toyota Prius bermula sekitar $110 sehari bagi syarikat ComfortDelGro, sekitar $109.80 sehari bagi Prime Taxi dan $100 sehari bagi Strides.

Bagi kenderaan model biasa GrabCab yang boleh memuatkan empat penumpang, kadar tambang permulaannya ialah $4.60. 

Kadar jarak pula ialah 26 sen bagi setiap 400 meter untuk jarak di bawah 10 kilometer, dan 26 sen bagi setiap 350 meter selepas 10 kilometer. 

Bagi setiap 45 saat menunggu, penumpang akan dikenakan caj sebanyak 26 sen.

Tambang bagi model Toyota Prius di bawah ComfortDelGro, Trans-Cab, Strides Premier dan Prime Taxi adalah sama.

Bagi EV GrabCab yang boleh memuatkan empat penumpang, kadar tambang permulaan ialah $4.80, dengan kadar jarak dan caj menunggu sama seperti kenderaan GrabCab biasa.

Encik Sim berkata struktur tambang GrabCab mengikut kadar yang dikenakan pengendali lain.

Apabila ditanya mengenai kelebihan GrabCab berbanding pengendali teksi lain, Encik Sim menjelaskan bahawa manfaat yang boleh ditawarkan kepada pemandu datang daripada perkakasan teknologi serta kerjasama kukuhnya dengan pengendali stesen pengecasan dan stesen minyak.

Beliau menambah GrabCab dapat menawarkan diskaun bagi minyak dan pengecasan EV sehingga 25 peratus di beberapa tempat tertentu.

“Kami akan menumpukan perhatian kepada masalah kekurangan pemandu negara,” kata Encik Sim.

Beliau turut menambah, GrabCab memberi tumpuan kepada usaha “mengaktifkan semula” sejumlah besar pemandu yang memiliki TDVL tetapi tidak aktif memandu, serta mendekati mereka yang masih ragu-ragu untuk mendapatkan TDVL.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg