Syarikat perlombongan gergasi BHP telah melancarkan Hab kecerdasan buatan (AI) Industri pertamanya di Singapura bagi mempercepatkan penerimaan dan inovasi AI dalam sektor perlombongan dan sumber.
Pelancaran ini adalah hasil kerjasama AI Singapura (AISG) dan sokongan daripada Enterprise Singapore (EnterpriseSG), kata BHP dalam satu kenyataan media pada 27 Mei.
Pelancaran Hab AI BHP ini menyusuli pembukaan beberapa pusat AI di Singapura, termasuk Grab, PwC dan Oracle.
Hab ini akan berfungsi sebagai pusat untuk menerapkan teknologi AI bagi menangani cabaran kompleks di seluruh syarikat BHP, dengan fokus untuk meningkatkan keselamatan, produktiviti, serta menyepadukan automasi dan membuat keputusan berasaskan data ke dalam operasi teras.
Dijadualkan untuk dibuka pada Mei, hab ini akan menghimpunkan pasukan pakar AI untuk memimpin kerjasama antara BHP dan rakan tempatan, membangunkan penyelesaian praktikal bagi masalah operasi.
BHP memilih Singapura kerana ekosistem inovasi yang dinamik, infrastruktur digital yang maju, dan keselarasan yang kukuh dengan matlamat syarikat untuk mengembangkan teknologi yang memberikan nilai nyata.
Kerjasama dengan AISG ini membina atas usaha AI BHP yang telah membawa kepada penambahbaikan dalam proses perolehan dan ramalan kewangan, serta kecekapan operasi – seperti menjimatkan tiga bilion liter air dan 118 GWh tenaga sejak tahun kewangan 2022 di lombong tembaga Escondida di Chile melalui kawalan loji berkuasa AI.
Hab ini direka untuk mengukuhkan keupayaan digital BHP di rantau ini dan mewujudkan peluang berterusan untuk inovasi dan pembinaan keupayaan di seluruh operasi globalnya.
Ketua Pegawai Teknikal BHP, Encik Johan van Jaarsveld, berkata syarikat itu melihat peluang besar untuk bekerjasama dengan AISG dan pemimpin global lain untuk “membangunkan penyelesaian praktikal dan inovatif yang menjadikan operasi kami lebih selamat, produktif, dan menetapkan piawaian baru untuk industri”.
Beliau menambah: “Kerjasama ini mencerminkan komitmen BHP untuk membangunkan keupayaan AI dalaman.”
Pengarah Inovasi AI AISG, Encik Laurence Liew berkata kerjasama ini menunjukkan bahawa “apabila organisasi komited untuk menjadi sedia AI dan melabur dalam membangunkan keupayaan AI, mereka mencipta nilai perniagaan yang nyata dan kelebihan daya saing”.
EnterpriseSG, yang telah bekerjasama dengan BHP sejak 2001 untuk menjadikan Singapura sebagai hab perdagangan logam dan mineral, telah menyokong pelancaran hab ini.
“Pelancaran Hab AI BHP di Singapura menandakan satu pencapaian penting bagi hab perdagangan logam dan mineral Singapura,” kata Penolong Pengarah Urusan EnterpriseSG, Encik Lee Pak Sing.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg