GrabCab, pengendali teksi keenam dan terkini di Singapura, mula beroperasi dengan lebih 40 teksi yang akan dilancarkan sepanjang Julai.
Bilangan tersebut dijangka berkembang dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Bagi kenderaan model biasa GrabCab yang boleh memuatkan empat penumpang, kadar tambang permulaannya ialah $4.60, manakala tambang mengikut jarak ialah 26 sen bagi setiap 400 meter untuk jarak di bawah 10 kilometer, dan 26 sen bagi setiap 350 meter selepas 10 kilometer.
Bagi setiap 45 saat menunggu, penumpang akan dikenakan caj 26 sen.
Tambang itu sama dengan kadar yang ditetapkan pengendali lain, seperti ComfortDelGro, Trans-Cab, Strides Premier dan Prime Taxi.
GrabCab dilancarkan pada 2 Julai menerusi satu majlis pelepasan kenderaan yang diadakan di ibu pejabat Grab di one-north.
Pengendali teksi itu, yang merupakan anak syarikat cabang penyewaan Grab, GrabRentals, mengumumkan kemasukannya ke pasaran pada 4 Jun dengan 40 kereta hibrid elektrik Toyota Prius generasi kelima yang baru.
Di bawah syarat lesen menyediakan khidmat mengambil penumpang di tepi jalan atau street-hail, GrabCab diberi tempoh tiga tahun untuk memperluas bilangan kenderaannya bagi memenuhi keperluan minimum sebanyak 800 teksi secara berperingkat, lapor The Straits Times (ST).
Seorang jurucakap Grab berkata pengendali itu menyasarkan untuk memenuhi keperluan minimum tersebut sebelum memasuki tahun ketiga operasinya.
Grab mengumumkan akan menambah dua lagi model kereta, iaitu Hyundai Kona hibrid elektrik, yang akan mula disewakan pada 3 Julai dan mula beroperasi pada Ogos, serta sebuah kenderaan elektrik sepenuhnya yang dijangka tiba “pada bila-bila masa” dalam 2025.
Kadar sewa bagi kenderaan GrabCab bermula pada $106.20 sehari, dan dengan insentif, kadar tersebut boleh turun serendah $95.70 sehari.
Kadar itu setara dengan kadar sewa teksi model Toyota Prius yang dikenakan pengendali lain, seperti ComfortDelGro ($117 sehari), Prime Taxi ($109.80 sehari) dan Strides Premier ($100 sehari).
Sebanyak 14 teksi Toyota Prius terlibat dalam majlis pelancaran, dan sekitar 30 pemandu GrabCab turut menghadiri acara tersebut.
Dalam ucapannya semasa majlis pelancaran rasmi, Pengarah Urusan Operasi Kumpulan Grab, Encik Yee Wee Tang, berkata:
“Aplikasi e-hailing (menempah kenderaan secara dalam talian) sangat sesuai untuk ramai penumpang, namun masih terdapat golongan seperti warga emas dan pelancong luar negara yang masih memerlukan khidmat mendapatkan kenderaan di jalan raya, yang mana teksi mengisi permintaan tersebut.
“Pada masa yang sama, dengan menggabungkan teksi dengan kenderaan sewa privet dalam satu wadah, kami dapat memperkukuh rangkaian keseluruhan kami untuk menyediakan perjalanan yang lebih boleh dipercayai dan mudah diakses oleh penumpang di seluruh Singapura.”
GrabCab turut menawarkan ciri pertama dalam industri, seperti bonus pemanduan selamat, yang memberi ganjaran sehingga $3,000 dalam tempoh tiga tahun bagi pemandu yang tidak terlibat dalam kemalangan.
Ia juga menyediakan sistem padanan pemandu gantian dalam aplikasi pemandu yang membolehkan pemandu utama berhubung dengan pemandu pengganti.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg