Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrace Fu: 7 syarikat diberi notis undang-undang, henti kegiatan pembakaran di Indonesia
Grace Fu: 7 syarikat diberi notis undang-undang, henti kegiatan pembakaran di Indonesia
Pemerintah akan terus pantau keadaan, sedia ambil tindakan lanjut di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan
Grace Fu: 7 syarikat diberi notis undang-undang, henti kegiatan pembakaran di Indonesia
Tujuh syarikat telah diberikan notis undang-undang yang meminta mereka supaya menghentikan kegiatan pembakaran di tanah milik mereka di Indonesia serta mengemukakan pelan untuk memadamkan kebakaran tersebut, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Semasa berucap di Sidang Media Pasukan Bertindak Jerebu di Pusat Akhbar Nasional (NPC) pada 16 Oktober, Cik Fu menyatakan bahawa siasatan setakat ini menunjukkan sebahagian daripada jerebu yang menyelubungi Singapura sejak beberapa minggu kebelakangan ini berpunca daripada kebakaran di tanah milik tujuh syarikat itu di Indonesia.
Beliau menambah Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) telah menghantar notis langkah pencegahan kepada syarikat tersebut di bawah Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (THPA) Singapura.
Notis tersebut diberikan kepada pihak-pihak yang bertanggungjawab menyebabkan atau membiarkan kebakaran berlaku.
“Kami akan terus memantau keadaan serta tindak balas syarikat-syarikat tersebut terhadap notis-notis ini,” kata Cik Fu.
“Jika perlu, kami akan mengambil tindakan lanjut di bawah THPA berdasarkan maklumat dan bukti yang ada.”
Tiga daripada firma tersebut – Bumi Andalas Permai, Bumi Mekar Hijau dan SBA Wood Industries – pernah menerima notis serupa semasa krisis jerebu pada 2015. Kes-kes tersebut masih belum ditutup.
Empat syarikat lain yang turut menerima notis berhubung jerebu yang sedang berlaku sekarang adalah Paramitra Mulia Langgeng, Sumatera Alam Anugerah, Hutan Lestari Raya dan Bangkanesia.
NEA menjejaki titik panas dan asap di rantau ini untuk mengenal pasti syarikat yang menyumbang kepada jerebu, dan ia komited untuk menyiasat semua syarikat lain yang bertanggungjawab, tambah Cik Fu.
Cik Fu menyatakan bahawa keadaan jerebu di negara ini berisiko mencapai tahap berbahaya, dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara (PSI) 24 jam melebihi 300 dalam beberapa hari mendatang akibat keadaan cuaca.
Keadaan dijangka bertambah baik menjelang lewat Oktober atau awal November apabila negara ini melalui musim peralihan monsun.
Notis itu mewajibkan syarikat mengerahkan anggota bagi memadam atau mencegah kebakaran daripada merebak di tanah milik atau yang mereka duduki.
Mereka turut dikehendaki menghentikan sebarang kegiatan pembakaran di tanah itu, serta mengemukakan pelan tindakan untuk memadamkan kebakaran dan mencegah kejadian serupa berulang pada masa hadapan.
Beliau menambah, NEA akan mengeluarkan notis serupa kepada lebih banyak syarikat, serta mempertimbangkan langkah-langkah lain, jika terdapat petunjuk mereka turut menyebabkan kebakaran yang mengakibatkan jerebu rentas sempadan.
Menurut Cik Fu, proses mengenal pasti syarikat-syarikat terbabit melibatkan usaha menganalisis imej satelit dan data meteorologi untuk menentukan punca kemungkinan jerebu tersebut.
“Untuk menentukan syarikat manakah yang bertanggungjawab, maklumat daripada pelbagai sumber diperlukan, dan bukan semua maklumat tersebut berada di bawah bidang kuasa Singapura,” jelas Cik Fu.
Sidang media itu diadakan sehari selepas Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyatakan bahawa Singapura sedang meneliti syarikat-syarikat yang mungkin bertanggungjawab terhadap kebakaran yang menyebabkan jerebu.
Beliau berkata Singapura akan mengambil tindakan sewajarnya di bawah THPA, serta meneroka kemungkinan tindakan bersama dengan negara-negara lain.
Dalam sidang media bersama pada 16 Oktober itu, Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, turut menggariskan langkah bagi memastikan kesinambungan persekolahan sekiranya PSI 24 jam mencecah tahap berbahaya.
Ini termasuk menjadualkan semula kertas peperiksaan peringkat ‘O’, serta menutup sekolah dan beralih kepada pembelajaran dari rumah (HBL) bagi peringkat prasekolah hingga sekolah menengah.
Pemangku Menteri Tenaga Manusia, Cik Jasmin Lau, turut menggesa majikan supaya merancang perubahan kepada aturan kerja dan langkah perlindungan bagi pekerja.
Ini sebagai persediaan menghadapi keadaan jerebu yang mungkin semakin buruk sehingga mencecah tahap berbahaya.
Langkah-langkah ini termasuk membenarkan pekerja bekerja dari rumah, terutama bagi mereka yang lebih rentan.
Beliau merujuk kepada garis panduan tiga pihak mengenai permohonan aturan kerja fleksibel, yang menetapkan bahawa majikan mesti menimbangkan permohonan daripada pekerja dengan sewajarnya.
“
“Kami akan terus memantau keadaan serta respons syarikat-syarikat tersebut terhadap notis-notis ini. Sekiranya perlu, kami akan mengambil tindakan lanjut di bawah THPA berdasarkan maklumat dan bukti yang ada.”