Topik diikuti
Pergi ke BHkuGrace Fu: Pemerintah sedia bantu penjaja jika perlu, pantau kesan kos naik ke atas makanan
Grace Fu: Pemerintah sedia bantu penjaja jika perlu, pantau kesan kos naik ke atas makanan
Grace Fu: Pemerintah sedia bantu penjaja jika perlu, pantau kesan kos naik ke atas makanan
Pihak berkuasa sedang memantau rapi kesan peningkatan kos terhadap harga makanan, khususnya bagi para penjaja, kata Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu.
Beliau berkata kementeriannya, bersama agensi berkanun di bawahnya, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan (NEA), telah mengadakan perbincangan dengan para penjaja dan pengedar makanan.
Beliau menarik perhatian bahawa walaupun harga borong makanan adalah stabil, peningkatan kos logistik telah memberi impak kepada harga makanan.
Membantu para penjaja mengekalkan mata pencarian mereka menjadi keutamaan bagi pihak berkuasa, kata beliau.
“Kami faham bahawa kos bahan makanan membentuk sebahagian besar daripada perbelanjaan mereka, dan kami sedia membantu mereka jika diperlukan,” ujarnya.
Perkembangan ini berlaku di tengah-tengah ketidaktentuan harga minyak dan gas ekoran tercetusnya peperangan terhadap Iran oleh Amerika Syarikat dan Israel, yang bermula pada Februari lalu.
Cik Fu berkata demikian kepada pihak media semasa lawatan kemasyarakatan menteri ke kawasan Canberra di GRC Sembawang pada 6 Jun.
Ini merupakan persinggahan kelima sejak Timbalan Perdana Menteri Encik Gan Kim Yong melawat Fengshan di GRC East Coast pada 26 April bagi lawatan pertama bagi penggal pentadbiran kerajaan kali ini.
Di samping sokongan pemerintah, usaha di peringkat komuniti juga dapat membantu menangani peningkatan kos sara hidup, kata beliau.
Acara tersebut turut menyaksikan pelancaran dua skim bantuan yang bertujuan untuk membantu penduduk Canberra menangani tekanan akibat peningkatan kos.
Inisiatif pertama merupakan kerjasama antara pertubuhan akar umbi dengan kumpulan sukarelawan Heartwarmers, yang diberi nama Projek SAVE (Menyokong Akses kepada Nilai Keperluan).
Melalui inisiatif suku tahunan ini, sebuah kedai runcit sementara (pop-up) akan dibuka di Kelab Masyarakat (CC) Canberra yang menawarkan antara 30 dengan 50 barangan keperluan rumah popular untuk jualan, kata Anggota Parlimen (AP) bagi kawasan Canberra di GRC Sembawang, Encik Gabriel Lam.
Setiap isi rumah boleh membeli barangan tersebut yang bernilai sehingga $100 pada harga $50 sahaja, jelas beliau.
Skim ini terbuka kepada semua isi rumah di Canberra yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anggota keluarga warga negara Singapura, tanpa mengira jumlah pendapatan.
“Langkah ini pastinya dapat membantu mengurangkan tekanan kos sara hidup, termasuk bagi golongan berpendapatan sederhana,” kata Encik Lam, sambil menambah bahawa skim itu dijangka memberi manfaat kepada sehingga 5,000 isi rumah di kawasan berkenaan.
Penduduk yang berminat boleh mendaftarkan diri di https://go.gov.sg/cccps, manakala butiran lanjut mengenai proses penebusan akan diumumkan pada suku ketiga 2026.
Skim kedua, Brew Specials, merupakan satu kerjasama dengan kedai kopi 313 KPT di Blok 313A Sembawang Drive.
Di bawah skim Brew Specials, warga emas yang memegang kad konsesi Generasi Perintis, Generasi Merdeka atau PAssion Silver bakal menikmati minuman terpilih, seperti kopi dan teh, pada harga 50 sen secawan.
Pemimpin akar umbi menyasarkan untuk memperluas skim ini ke lebih banyak kedai kopi dari semasa ke semasa, di samping menggalakkan lebih ramai peniaga tempatan untuk turut serta.
Kedua-dua skim tersebut dilancarkan pada 6 Jun sebagai sebahagian daripada Canberra Cares, sebuah inisiatif komuniti yang diperkenalkan pada 2025 dengan tujuan untuk memperkukuh sokongan bagi keluarga di kawasan berkenaan.
Encik Lam menyifatkan Canberra Cares sebagai “inisiatif penduduk”, di mana pelbagai skim yang diperkenalkan adalah berdasarkan perbincangan bersama penduduk di kawasan tersebut.
“Melangkaui Canberra Cares, kami tetap komited untuk sentiasa peka dengan keperluan penduduk kami yang sentiasa berubah, kerana komuniti yang berkembang maju adalah komuniti yang tiada sesiapa pun yang terpinggir,” kata beliau.
