Topik diikuti
Pergi ke BHkuKos diesel melonjak, LTA kaji sokongan tambahan buat pengendali bas
Kos diesel melonjak, LTA kaji sokongan tambahan buat pengendali bas
Kos diesel melonjak, LTA kaji sokongan tambahan buat pengendali bas
Di tengah gelombang kenaikan harga global, didorong oleh krisis peperangan di Iran, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) sedang meneliti keperluan sokongan tambahan bagi pengendali bas tempatan.
LTA berhasrat memastikan ketahanan perkhidmatan awam ini.
“Selain harga pasaran lebih tinggi, kami mendapati bahawa pengendali menanggung kos tambahan untuk menjamin bekalan diesel mereka. Kami akan membuat penilaian jika sokongan tambahan diperlukan bagi memastikan perkhidmatan bas tidak terjejas,” menurut LTA dalam satu kenyataan media pada 2 Jun.
Yuran perkhidmatan yang dilunaskan LTA kepada pengendali bas awam telah diselaraskan mengikut indeks tenaga pasaran, termasuk harga diesel.
Mekanisme ini berfungsi sebagai perisai, melindungi pengendali daripada sebahagian besar ketidaktentuan harga tenaga, kata pihak LTA.
Kesan lonjakan ini terasa: SBS Transit melaporkan kenaikan kos diesel dan elektrik lebih 80 peratus pada bulan Mac dan April, berbanding bulan Februari sebelumnya, menurut jurucakap pengangkutan awam itu, Cik Grace Wu.
Sementara itu, SMRT sedang memantau rapi situasi berkenaan kerana ketidaktentuan berterusan dalam pasaran tenaga dan minyak global boleh meningkatkan kos operasi dalam jangka panjang.
SMRT berkata ia akan terus bekerjasama rapat dengan Kementerian Pengangkutan (MOT) dan LTA untuk meneroka langkah lanjutan bagi mengurangkan kesan harga tersebut sedang keadaan dunia terus berkembang.
Kenaikan harga bahan api telah memberi kesan kepada perkhidmatan pengangkutan, kata Pemangku Menteri Pengangkutan, Encik Jeffrey Siow, pada 26 Mac lalu, dalam satu temu bual mengenai penilaian semasa beliau terhadap kesan konflik Timur Tengah ke atas sektor pengangkutan tempatan.
Pemerintah sedang memantau rapi situasi tersebut bagi menilai sama ada terdapat keperluan untuk masuk campur “pada masa akan datang”, kata Encik Siow.
Harga gas dan minyak berada dalam keadaan tidak menentu menyusuli serangan Amerika Syarikat dan Israel ke atas Iran pada 28 Februari, serta tindakan Teheran yang telah menutup Selat Hormuz, iaitu laluan air utama yang mengendalikan satu perlima daripada aliran minyak dan gas dunia.
Minyak mentah Brent, yang menjadi tanda aras minyak global, mencatatkan harga antara AS$92 ($117.55) dengan AS$114 ($145.67) setong pada Mei, dan didagangkan pada sekitar AS$95 pada 1 Jun, melonjak daripada sekitar AS$73 pada 27 Februari.
Pada April, Kementerian Pendidikan (MOE), Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) serta Kementerian Kesihatan (MOH) berkata pengendali perkhidmatan bas penting akan menerima pembiayaan sementara daripada pemerintah bagi mengimbangi kos operasi lebih tinggi akibat lonjakan harga bahan api.
Pembiayaan tersebut disalurkan kepada pengendali di bawah kontrak atau subsidi pemerintah yang mengendalikan perkhidmatan pengangkutan tetap ke sekolah rendah dan sekolah pendidikan khas, khidmat bagi golongan kurang upaya, dan pesakit yang menerima penjagaan jangka panjang serta khidmat dialisis masyarakat.
Pembiayaan tersebut merangkumi 13 peratus daripada hasil tambang pengangkutan dan akan digunakan bagi perkhidmatan yang disediakan dari April hingga Jun.
Kenaikan kos diesel turut menjejaskan sektor pengangkutan laut, dengan beberapa pengendali feri mengumumkan surcaj bahan api pada awal Mac bagi perjalanan ulang-alik ke Singapura.
